Skip to main content

Singapura

SPF keluarkan amaran bersyarat terhadap peguam M'sia; komen mengenai pengedar dadah, hina mahkamah

Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu (9Jul) mengesahkan Pejabat Peguam Negara (AGC) telahpun mengeluarkan perintah untuk menyiasat peguam Malaysia, Zaid Abd Malek, atas dakwaan menghina mahkamah.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu (9Jul) mengesahkan Pejabat Peguam Negara (AGC) telahpun mengeluarkan perintah untuk menyiasat peguam Malaysia, Zaid Abd Malek, atas dakwaan menghina mahkamah.

SPF memaklumkan perkara itu dalam jawapannya kepada pertanyaan Bernama mengenai kenyataan yang disiarkan di Facebook Zaid pada 7 Julai 2022 berhubung "penahanannya di lapangan terbang Singapura oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) soal siasat Polis Singapura dari 4 hingga 6 Julai 2022."

Perintah itu dikeluarkan 17 Mac 2020 berhubung penerbitan artikel pada 14 Feb 2020 mengenai penolakan saman difailkan rakyat Malaysia yang disabitkan bersalah mengedar dadah, A Gobi dan K Datchinamurthy, berhubung kaedah pelaksanaan hukuman yang didakwa diamalkan oleh penjara pihak berkuasa.

Artikel itu merujuk kepada kenyataan dibuat Zaid atas kapasitinya sebagai pengarah pertubuhan bukan kerajaan, Lawyers for Liberty (LFL).

Menurut SPF, Zaid dalam beberapa kenyataannya menyatakan Mahkamah Singapura tidak berlaku adil dan mengabaikan proses yang sepatutnya dengan tergesa-gesa mengadakan perbicaraan dan Mahkamah Singapura "berhasrat menolak saman serta meneruskan pelaksanaan hukuman".

“Kenyataan itu disiarkan dalam talian dan diakses orang awam di Singapura,” menurut SPF, sambil menambah Zaid berada di luar negara semasa perintah itu dikeluarkan pada 2020 dan belum ke Singapura sehingga ketibaannya pada Isnin (4 Julai 2022).

Zaid berkata beliau tiba di Lapangan Terbang Seletar pada 12.15 tengah hari bagi membantu dan memberikan nasihat undang-undang kepada keluarga banduan Kalwant Singh, yang dihukum mati pada Khamis (7 Jul).

Bagaimanapun, beliau tidak diberikan pelepasan imigresen seperti biasa dan sebaliknya diberitahu supaya menunggu sehingga dua pegawai tiba empat jam kemudian di lapangan terbang itu. Mereka menyampaikan arahan kepada Zaid untuk menghadiri soal siasat polis berkaitan dengan siasatan di bawah Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016 (AOJPA).

Menurut SPF, Zaid memaklumkan kepada pihaknya beliau bersedia untuk disoal siasat pada 6 Julai 2022 dan pegawai kemudian menetapkan soal siasat dengannya di Kompleks Polis Cantonment.

"Selepas itu, Zaid dibenar meninggalkan lapangan terbang," menurut SPF.

Zaid menghadiri soal siasat di Kompleks Polis Cantonment pada tarikh ditetapkan untuk membantu siasatan berkaitan kesalahan AOJPA.

Sebelum soal siasat bermula dari 10.17 pagi hingga kira-kira 12.05 tengah hari, Zaid dimaklumkan beliau boleh meminta rehat pada bila-bila masa tetapi tidak berbuat demikian sepanjang sesi itu.

Polis maklum bahawa Zaid meninggalkan kompleks berkenaan sejurus selepas selesai memberi keterangan. 

Selepas selesai soal siasat pada hari yang sama, menurut SPF dalam rundingan dengan AGC, ia mengeluarkan amaran bersyarat 24 bulan kepada Zaid dan LFL sebagai ganti pendakwaan bagi kesalahan menghina mahkamah di bawah Seksyen 3(1)(a) AOJPA pada 6 Julai 2022 sebelum berlepas pulang pada hari berikutnya.

“Zaid menerima kedua-dua amaran yang diberikan kepadanya dan LFL atas kapasitinya sebagai Pengarah LFL.

“Zaid tiba di Kompleks Polis Cantonment untuk menerima amaran itu pada 6 Julai 2022 kira-kira 8.48 malam dan meninggalkan bangunan itu kira-kira 9.20 malam,” menurut SPF.

Di bawah Seksyen 11 AOJPA, penerbitan berhubung penghinaan mahkamah, jika disiarkan melalui Internet atau media elektronik lain, dianggap diterbitkan di Singapura jika ia diakses oleh orang awam di Singapura. 

Zaid dalam kenyataannya berkata beliau "ditahan dan disiasat berhubung kenyataan yang dikeluarkan di Malaysia dan bukan di Singapura."
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita