Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SPF dan enam bank halang penipuan S$5.1 juta, cegah tindakan cuba membunuh diri

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu operasi bersama antara Pasukan Polis Singapura (SPF) dengan enam bank di Singapura membantu menghalang kerugian jutaan dolar kepada para penipu dan juga menghentikan percubaan membunuh diri oleh seorang mangsa yang kehilangan lebih daripada S$5,000.

Operasi empat hari itu dijalankan oleh Pusat Antipenipuan SPF dan enam bank iaitu CIMB, DBS, HSBC, OCBC, Standard Chartered Bank dan UOB, menurut kenyataan media SPF pada Sabtu (19 Nov).

Pihak polis dan bank menghalang kerugian lebih S$5.1 juta daripada lebih 1,100 mangsa semasa operasi itu dari 14 hingga 17 November.

Para pegawai dari Pusat Antipenipuan serta kakitangan enam bank itu menjalankan campur tangan secara langsung dengan menganalisa aliran dana daripada lebih 90 akaun bank yang muncul dalam laporan pelaburan dan penipuan pekerjaan.

Tujuh divisyen darat polis bersama-sama dengan Pusat Antipenipuan dan enam bank bekerjasama untuk mendekati mangsa yang memindahkan wang ke dalam akaun-akaun bank yang "terkait dengan penipuan", menurut SPF.

Para mangsa kemudian dimaklumkan bahawa mereka mungkin menjadi mangsa penipuan dan dinasihatkan supaya menghentikan sebarang pemindahan kewangan selanjutnya.

Polis menyatakan ramai mangsa hanya sedar mereka ditipu selepas pihak berkuasa mendekati dan meyakinkan mereka.

Hasil penipuan lebih daripada S$1.5 juta telah dirampas dan polis turut menghalang kerugian berjumlah lebih daripada S$5.1 juta.

PERCUBAAN MEMBUNUH DIRI DICEGAH

Polis juga menghalang percubaan membunuh diri oleh seorang mangsa yang ditipu dalam penipuan pekerjaan.

Semasa berhubung melalui telefon, lelaki itu menjadi tertekan apabila dia menyedari telah kehilangan lebih daripada S$5,000.

Dia telah meminjam wang daripada rakan-rakannya untuk membiayai "pekerjaannya", kata polis.

"Merasaikan ada sesuatu yang tidak kena, polis pergi ke kediaman mangsa untuk memeriksanya dan berjaya menghalangnya daripada mencederakan dirinya sendiri."

BAGAIMANA PENIPUAN BERLAKU

Mangsa penipuan pelaburan sering dihubungi melalui platform media sosial dan diperkenalkan kepada peluang pelaburan oleh para penipu yang mendakwa sebagai karyawan kewangan, menurut SPF.

Mangsa kemudian akan tertarik dengan janji meraih pulangan yang mudah dan memindahkan wang ke dalam akaun-akaun bank.

Dalam banyak kes, mangsa akan memperoleh sedikit keuntungan daripada pelaburan pada peringkat awal yang menyebabkan mereka percaya bahawa skim itu sah dan menguntungkan.

Bagaimanapun, mangsa kemudiannya diminta membayar yuran pentadbiran, guaman atau cukai untuk menerima keuntungan mereka.

Selepas mangsa melakukan deposit yang besar, penipu tidak lagi dapat dihubungi.

Sementara itu, para mangsa penipuan pekerjaan biasanya akan membalas iklan pekerjaan untuk mendapatkan wang tunai pantas di platform media sosial dan aplikasi pesanan ringkas.

Mangsa kemudian diminta memesan barangan melalui platform online untuk memberikan penilaian untuk syarikat-syarikat, kononnya untuk meningkatkan kadar penjualan atau menambah baik penilaian perniagaan tersebut.

Apabila skim itu berlanjutan ke tahap mangsa memindahkan sejumlah besar wang, penipu tidak lagi dapat dihubungi dan meninggalkan mangsa dengan tangan kosong, menurut SPF.

Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila menerima tawaran pelaburan atau peluang pekerjaan yang tidak diminta melalui platform media sosial atau aplikasi pesanan..

Untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram, orang ramai harus sentiasa menolak permintaan untuk menggunakan akaun bank peribadi untuk menerima dan memindahkan wang untuk orang lain.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan