Skip to main content

Singapura

SPF bakal miliki lebih banyak kuasa untuk lakukan pemeriksaan tanpa waran di bawah usulan pindaan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jan 2024 03:14PM Dikemas Kini : 11 Jan 2024 12:07AM
SINGAPURA: Rang undang-undang diperkenalkan di parlimen pada Rabu (10 Jan) bagi membolehkan pegawai polis melakukan pemeriksaan ke atas suspek tanpa waran dalam lebih banyak situasi, serta melakukan pemeriksaan ke atas suspek semasa penangkapan dijalankan bagi mengeluarkan barangan berbahaya.

Ini adalah sebahagian daripada sebilangan usulan oleh Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bagi meminda perundangan penting yang mentadbir urus proses keadilan jenayah Singapura.

Pindaan itu bertujuan melindungi orang awam dengan mengukuhkan kuasa pihak berkuasa bagi memerangi jenayah, termasuk jenayah seksual serius, dan mempertingkat proses mahkamah jenayah di negara ini, menurut kedua-dua kementerian itu.

Sekiranya Rang Undang-Undang Prosedur Jenayah (Pelbagai Pindaan) diluluskan di parlimen, polis akan diperkasa untuk memberi arahan kepada tertuduh untuk menjalani pemeriksaan perubatan forensik jika ia relevan, seperti mengambil swab DNA atau sampel darah.

Ia merupakan satu kesalahan bagi mereka yang enggan berbuat demikian tanpa sebab yang munasabah, dan Rang Undang-Undang itu memberi hukuman yang diusulkan.

Kedua-dua MinLaw dan MHA juga mengusulkan pilihan hukuman baharu dan lebih tegas bagi pesalah berbahaya yang melakukan jenayah ganas atau seks, termasuk hukuman penjara minimum dan penahanan menjangkaui tempoh di penjara sehingga seumur hidup.

KUASA LAKUKAN PEMERIKSAAN DAN SIASATAN

Rang Undang-Undang itu berusaha "mengemas kini dan meningkatkan" kuasa polis dan agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain, termasuk kuasa penangkapan, pemeriksaan dan siasatan, menurut MinLaw dan MHA dalam kenyataan media.

Ini akan melengkapi diri mereka dengan lebih baik bagi memerangi jenayah dan membawa kepada tahap kecekapan operasi yang lebih tinggi.

Misalnya, polis akan diberi kuasa untuk melakukan pemeriksaan tanpa waran apabila pihaknya mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suspek yang terbabit dalam kesalahan yang boleh bawa kepada penangkapan, memiliki atau mempunyai kuasa ke atas bukti.

Buat masa ini, pegawai polis hanya boleh melakukan pemeriksaan tanpa waran jika pihaknya percaya seseorang itu tidak akan, atau kemungkinan tidak akan, mengemukakan bukti semasa arahan dikeluarkan untuk menunjukkan bukti itu.

Suspek yang tidak memberi kerjasama boleh menghambat dengan melengahkan pemeriksaan dan menjejas bahan bukti, dedah MinLaw dan MHA.

Semasa sidang media pada Isnin, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam memberitahu media bahawa tidak mudah bagi pegawai polis di lapangan menentukan sama ada seseorang suspek itu akan mendengar arahan.

Di bawah Rang Undang-Undang itu, menghalang seseorang pegawai polis daripada melakukan pemeriksaan yang sah di sisi undang-undang adalah kesalahan yang juga boleh membawa kepada penangkapan.

Mereka yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Badan korporat, perkongsian liabiliti terhad, perkongsian atau persatuan yang tidak diperbadankan yang didapati bersalah boleh didenda sehingga S$10,000.

Rang Undang-Undang juga mengusulkan untuk memberi kuasa kepada polis untuk periksa suspek semasa waktu penangkapan bagi mengeluarkan barangan berbahaya seperti pisau cukur dan jarum.

Secara berasingan, kuasa agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain, termasuk Biro Narkotik Pusat dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan, akan diperluaskan bagi menangani urusan yang timbul dari kesalahan di bawah agensi mereka.

Misalnya, agensi-agensi itu boleh memberkas semula mereka yang melarikan diri dari tahanan. Mereka juga boleh menyiasat kesalahan melibatkan ikat jamin dan tindakan melarikan diri.

Pegawai penjara pula akan diberi kuasa untuk memburu dan memberkas pesalah yang melarikan diri daripada program berlandaskan masyarakat atau gagal kembali ke penjara selepas dipanggil semula.

Ini membolehkan agensi yang paling tahu dengan butiran kes yang khusus itu untuk melakukan penangkapan atau siasatan yang diperlukan, jelas MinLaw dan MHA.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita