Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin puji pegawai MOM Azrina Azim atas kerja keras, dedikasi jaga kebajikan penghuni dormitori pekerja asing
Cik Azrina Azim yang dikerahkan untuk bertugas di dormitori Avery Lodge bersama Pasukan Sokongan dan Jaminan ke Hadapan (FAST) pada 10 Mei lalu menerima kad Hari Ibu yang menyayat hati daripada anak perempuan sulungnya Jasmine.
Petugas barisan hadapan MOM Azrina Azim menerina kad ucapan Hari Ibu hasil tulisan tangan anak sulungnya, Jasmine. (Gambar: Alex Chua/Facebook)
SINGAPURA: Cik Azrina Azim yang dikerahkan untuk bertugas di dormitori Avery Lodge bersama Pasukan Sokongan dan Jaminan ke Hadapan (FAST) pada 10 Mei lalu menerima kad Hari Ibu yang menyayat hati daripada anak perempuan sulungnya Jasmine.
Dalam kad Hari Ibu itu, Jasmine menceritakan betapa bangga dan kagum beliau melihat tekad ibunya bertugas di barisan hadapan untuk tempoh masa yang panjang, terutamanya semasa bulan puasa.
"IBU BERDEPAN DENGAN SITUASI TANPA RASA TERAGAK-AGAK"
Dalam kad dengan tulisan tangannya sendiri, Jasmine turut menyanjungi pengorbanan ibunya, yang dianggap sebagai seorang ibu yang hebat dan seseorang yang sangat beliau kagumi.
"Sepanjang tempoh COVID-19 ini, ibu bertugas di dormitori tanpa rasa gentar, ibu berdepan dengan situasi itu tanpa rasa teragak-agak," tulis Jasmine dalam kad tersebut.
Meskipun dalam persekitaran kerja yang luar biasa, Jasmine berkata ibunya menggunakan segala daya kekuatannya untuk membantu pasukannya menangani cabaran-cabaran yang timbul. Walaupun perlu berdepan dengan waktu kerja yang panjang semasa bulan puasa, Jasmine kagum dengan semangat ibunya yang tetap menjalankan tugasnya dengan baik.
"Saya rasa ibu amat memberi inspirasi dan semangat kepada saya untuk turut melakukan yang terbaik," kata Jasmine, mengakhiri ucapannya.
Kad Jasmine itu dikongsi oleh jurugambar Alex Chua dalam catatan Facebooknya pada 30 Mei.
KAKITANGAN MOM AMBIL BERAT TERHADAP ANGGOTA PASUKAN
Mengulas catatan tersebut, Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin turut memuji usaha para kakitangan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Encik Tan yang pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Tenaga Manusia turut meluahkan rasa bangganya terhadap kakitangan MOM yang menurutnya, amat mengambil berat terhadap kebajikan para anggota pasukan masing-masing.
"Saya sentiasa bangga dengan kakitangan saya dari MOM. Saya amat menghargai kerja keras dan masa yang diluangkan mereka dan yang penting sekali, betapa mereka begitu mengambil berat tentang kebajikan anggota pasukan mereka," tulis Encik Tan dalam catatan Facebooknya pada 31 Mei.
Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin melawat bekas bangunan Sekolah Rendah East Coast yang kini digunakan untuk menempatkan pekerja asing.
TERHARU DIBERI PELUANG BERKHIDMAT
Setakat sehingga hujung bulan Mei, Cik Azrina, yang bertugas dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata beliau sudah enam minggu dikerahkan bertugas di Avery Lodge. Menurutnya, tugas di situ kadangkalanya mencabar, terutamanya semasa bulan puasa baru-baru ini, dengan masa bekerja yang panjang menguruskan dormitori.
Cik Azrina berkongsi bahawa pasukannya perlu menangani pelbagai isu melibatkan penghuni dan operasi di dormitori pekerja asing.
Namun, semangat berjuang dan daya tahan daripada rakan-rakan barisan hadapan dan juga para penghuni dormitori, sejujurnya, memberi kekuatan kepada beliau untuk melakukan yang terbaik."
"Saya amat berterima kasih dan terharu kerana diberi peluang untuk berkhidmat".
Cik Azrina menambah bahawa kedua-dua anak perempuannya berasa bangga dengan tugas beliau kerana mereka dapat merasakan bahawa apa yang beliau lakukan adalah sesuatu yang bermakna.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.