Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Speaker Dewan AS Nancy Pelosi bakal berada di S'pura sebagai sebahagian daripada lawatan Asia

Cik Pelosi yang akan tiba di S'pura esok, memimpin rombongan kongres seramai enam anggota semasa lawatan ke Asia, termasuk persinggahan di Jepun, Malaysia dan Korea Selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 Jul 2022 05:55PM Dikemas Kini : 31 Jul 2022 08:30PM
SINGAPURA: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi akan tiba di Singapura pada Isnin (1 Ogos) bagi lawatan dua hari, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Ahad (31 Jul).

Cik Pelosi memimpin rombongan kongres seramai enam anggota semasa lawatan ke Asia, yang juga termasuk persinggahan di Jepun, Malaysia dan Korea Selatan.

Semasa lawatan di Singapura, rombongan itu akan bertemu Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong serta sebilangan anggota Menteri Kabinet.

Dalam catatan di laman Twitter pada Ahad, Cik Pelosi berkata tujuan lawatan itu adalah bagi "mengesahkan lagi komitmen kukuh Amerika kepada negara-negara sekutu dan rakan-rakan di rantau ini".

"Di Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun, kami akan mengadakan sidang berperingkat tinggi bagi membincangkan bagaimana kami boleh mengukuhkan lagi kepentingan dan nilai-nilai bersama," kata beliau.

Ini termasuk keamanan dan keselamatan, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan, pandemik COVID-19, krisis iklim, hak asasi manusia dan tadbir urus demokratik, jelas beliau.

Kenyataan media yang dikeluarkan pejabat Cik Pelosi pada Ahad mendedahkan lawatan itu "akan memberi tumpuan kepada keselamatan bersama, kerjasama ekonomi dan tadbir urus demokratik di rantau Indo-Pasifik".

Cik Pelosi berkata rombongannya mengalu-alukan "sidang-sidang produktif yang akan terus memaklumkan kerja-kerja Kongres bagi melanjutkan nilai-nilai dan kepentingan kami dan mengukuhkan kerjasama di rantau ini.

Para anggota rombongan itu termasuk Pengerusi Gregory Meeks, Pengerusi Jawatankuasa Dewan Ehwal Luar; Pengerusi Mark Takano, Pengerusi Jawatankuasa Dewan berhubung Ehwal Veteran, Anggota Kongres Suzan DelBene, Anggota Kongres Raja Krishnamoorthi, serta Anggota Kongres Andy Kim.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan