SP Group lancar kredit hijau bagi galak pelanggan sokong projek tenaga diperbaharui
Para pengguna elektrik di Singapura boleh memilih untuk "menghijaukan" sebahagian daripada penggunaan tenaga mereka di bawah satu skim baru, menurut SP Group pada Khamis (1 Okt).
Pemandangan daerah CBD di Singapura. (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Para pengguna elektrik di Singapura boleh memilih untuk "menghijaukan" sebahagian daripada penggunaan tenaga mereka di bawah satu skim baru, menurut SP Group pada Khamis (1 Okt).
Di bawah inisiatif itu, para pelanggan boleh membeli "kredit hijau" dan memadankan penggunaan tenaga mereka dengan jumlah tenaga sama yang dijana melalui projek
tenaga yang boleh diperbaharui.
Skim yang diberi nama Kredit Hijau Saya itu boleh diakses melalui aplikasi mudah alih SP Utilities.
Pelanggan boleh memilih projek tenaga diperbaharui yang mana satu yang ingin mereka sokong dan sebahagian daripada penggunaan elektrik setiap bulan akan dipadankan dengan kredit hijau. Projek-projek itu termasuk kemudahan kuasa suria atas bumbung Katoen Natie dan ladang kuasa suria Krong Pa di Vietnam.
Pembelian kredit hijau itu akan menghasilkan sijil tenaga yang boleh diperbaharui, sekali gus menunjukkan anggaran pengeluaran karbon dioksida yang sudah dielakkan.
Menurut SP Group, ia adalah pengeluar tempatan bertauliah yang pertama bagi Sijil Tenaga Diperbaharui Antarabangsa (I-REC) di rantau Asia Pasifik. Sijil itu mengaitkan unit-unit tenaga diperbaharui yang dijana dengan pengenalpastian unik yang boleh dipantau.
Para pelanggan "boleh rasa terjamin dengan integriti setiap I-REC tempatan" yang diberikan pentauliahan bebas oleh I-REC Standard Foundation, menurut syarikat itu.
Kredit Hijau Saya akan membolehkan para pelanggan untuk mengimbangi kesan penggunaan kuasa elektrik mereka dan menyumbang kepada "tenaga rendah karbon dan tenaga bijak" di Singapura, kata Ketua Pegawai Eksekutif SP Group Stanley Huang.
Menurut SP Group, 100 peratus kuasa elektrik yang digunakan di ibu pejabatnya sendiri di Kallang Sector menerima sijil tenaga yang boleh diperbaharui.
Skim kredit hijau itu diumumkan selepas syarikat tersebut melancarkan kalkulator bagi memantau pengeluaran karbon melalui aplikasi mudah alihnya pada awal tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.