Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Solat tarawih mungkin dibuka kepada lebih ramai jemaah tahun ini

Tempat yang disediakan bagi solat Jumaat setiap minggu juga dijangka ditambah lagi dalam waktu terdekat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kalau tahun lalu sebanyak 9,400 tempat disediakan setiap hari untuk solat tarawih di masjid-masjid merata Singapura, jumlahnya tahun ini mungkin jauh lebih tinggi.

Bukan itu sahaja. Tempat yang disediakan bagi solat Jumaat setiap minggu juga dijangka ditambah lagi dalam waktu terdekat.

solat jumaat
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Khabar baik ini disampaikan Menteri Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa beliau menziarahi Masjid Kampung Siglap bagi menunaikan solat Jumaat siang tadi (18 Mac).

PARA JEMAAH ALU-ALUKAN KELONGGARAN BOLEH RAPATKAN SAF

Semasa solat Jumaat pertama berlangsung di bawah peraturan 'baru' hari ini, jemaah sudah boleh merapatkan saf - suatu nikmat yang tidak dapat dirasakan sejak lebih dua tahun lamanya.

Kelonggaran tersebut semestinya membangkitkan kesyahduan solat Jumaat, sekaligus membuat para jemaah tersenyum.

jemaah

"Gembiralah. Dapat ramai-ramai, selalunya kita solat pun renggang-renggang. Jadi inilah kali pertama rapat-rapat," luah warga emas, Encik Ibrahim Sapuan.

Belia 21 tahun, Raees Hidayat, yang baru memeluk Islam tahun lalu turut berkongsi perbezaan ketara yang beliau rasakan.

jemaah

"Bila saya peluk agama Islam tahun lalu dan ziarah masjid, suasananya berlainan kerana tidak boleh solat bersebelahan rakan atau anggota keluarga tapi hari ini lain, sangat menggembirakan," kata Raees.

LEBIH RAMAI JEMAAH MUNGKIN BOLEH TUNAIKAN SOLAT JUMAAT, TARAWIH

Setiap zon solat di Masjid Kampung Siglap sebelum ini memerlukan sekitar tujuh garisan saf bagi menampung 100 jemaah.

Kini dengan saf yang dirapatkan, setiap zon hanya memerlukan tiga garisan saf sahaja bagi menampung jumlah jemaah yang sama.

Dalam erti kata lain, masih ada banyak ruang yang boleh diisi lebih ramai jemaah bagi setiap sesi solat berjemaah.

solat jumaat

Ini, menurut Encik Masagos, suatu rancangan yang ingin dilaksanakan jika keadaan terus mengizinkan dalam waktu terdekat, termasuk bagi solat tarawih pada bulan Ramadan nanti.

Mentelah lagi, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) sudahpun menyatakan, acara keagamaan kini boleh dihadiri lebih 1,000 jemaah asalkan jumlah itu tidak melebihi 50 peratus kapasiti masjid.

masagos zulkifli

"Umpamanya di Masjid Kampung Siglap ini, mengikut peraturan yang rasmi, ia boleh mengisi 2,400 jemaah dalam satu sesi.

"Jadi (memandang) ke depan, insya-Allah kita akan mengisi dengan 1,200 jemaah dan sekarang ini hanya 600 sahaja yang dapat mengisinya dalam satu waktu."

"Saya harap dengan adanya penetapan bahawa kita boleh melebihkan ruang untuk solat, begitu juga kita akan lakukan untuk tarawih," kata Encik Masagos.

LAHIRKAN HARAPAN BERBUKA PUASA DI MASJID

Kini, timbul juga harapan agar acara-acara keramaian dapat kembali diadakan di masjid.

jemaah

Jemaah Mohamed Robbani Azman berkata: "Dulu sebelum COVID kita dapat iftar di dalam masjid kan? Memandangkan sekarang tak boleh, harapan saya kita dapat hidupkan balik."

Lebih 65,000 tempat disediakan bagi solat Jumaat minggu ini dan 25 Mac depan.

Tempat bagi sesi pertama solat Jumaat hari ini (18 Mac) khususnya, habis ditempah di hampir kesemua masjid.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan