Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Solat tarawih di Masjid Al-Muttaqin lebih lancar dengan sistem pengurusan jemaah baharu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat Islam menyambut ketibaan Ramadan dengan mengadakan solat tarawih di masjid-masjid tempatan.

Demi keselesaan jemaah untuk beribadah, sebilangan masjid telah melaksanakan berapa inisiatif baharu dalam pengurusan jemaah dan ruang solat.

Antara masjid tersebut yang mengambil langkah proaktif itu ialah Masjid Al-Muttaqin.

Menerusi sebuah program yang dihasilkan pihaknya sendiri, para jemaah boleh mendapatkan maklumat kapasiti ruang solat setibanya mereka masuk ke masjid.

“Alhamdulillah, sejak sebulan lepas, kami telah membangunkan satu sistem untuk kita memaparkan kepada para jemaah di mana ruang kosong yang ada di masjid. Melalui inisiatif ini sebenarnya kami dapat membantu para jemaah untuk mengetahui dan juga untuk pergi ke ruang-ruang yang kosong di tingkat atas,” kata Pengerusi Eksekutif Masjid, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf kepada wartawan Syawal Yusoff.

BERITA Mediacorp difahamkan, Masjid Yusof Ishak di Woodlands telah melaksanakan sistem yang serupa.

Menurut Encik Fairus, sistem tersebut mula diuji sewaktu sesi solat Jumaat sejak sebulan lalu.

Ia akan terus digunakan sehingga solat Aidilfitri.

SEKITAR 1,500 JEMAAH DIJANGKAKAN SETIAP MALAM

Pada malam pertama sesi solat tarawih pada Isnin (11 Mac), masjid itu sudah mula menyaksikan bilangan jemaah yang ramai.

Pada bulan Ramadan ini, Encik Fairus menjangkakan lebih 1,500 jemaah akan datang ke masjid tiga tingkat itu pada setiap malam berbanding kira-kira sekitar 1,000 jemaah pada tahun lalu.

Menurut Encik Fairus, ia dikunjungi ramai pekerja hijrahan yang bekerja di tapak pembinaan jalan berdekatan serta menyaksikan limpahan jemaah ekoran penutupan sementara Masjid Darul Makmur.

Ruang solat di tingkat satu dikhususkan buat jemaah lelaki dan golongan kurang upaya, manakala tingkat dua pula untuk jemaah wanita.

Ruang solat di tingkat tiga pula akan dibuka jika perlu.

Setiap solat tarawih merangkumi lapan rakaat berikutan dengan witir sebanyak tiga rakaat.

“Dengan keperluan masyarakat kita yang semakin menua, ramai yang datang dengan Alat Mobiliti Peribadi Bermotor (PMD) dan memerlukan kerusi. Bagi mereka agak mudah untuk pergi ke aras satu. Dengan kami memaparkan ruang kosong di tingkat atas itu dapat membantu para jemaah khususnya pada mereka yang sihat dan tidak memerlukan kerusi untuk naik ke tingkat atas,” tambah Encik Fairus.

Inisiatif tersebut disambut baik para jemaah.

“Kalau kita datang bersama keluarga, kita tidak perlu bimbang yang keluarga kita di mana? Anak kita di mana? Jadi kita tahu, oh di sistem ini ada tempat kosong untuk lelaki dan wanita. Ini akan memudahkan lagilah,” kata Cik Shalima Samadi, yang sudah lebih 30 tahun datang ke masjid itu.

Bagi pelajar Muhammad Syafiq Mohamad Sukairi, 19 tahun pula: “(Ia) Jimat masa jadi saya datang tidak perlu tunggu di aras satu. Terus ke tingkat yang kosong tu untuk saya solat.”

Dengan adanya sistem tersebut juga, pihak masjid dapat mengurangkan jumlah relawan yang diperlukan – daripada 50 kepada 30 relawan sahaja.

PELBAGAI KEGIATAN KEROHANIAN; KEMASYARAKATAN SEPANJANG RAMADAN

Sepanjang bulan Ramadan ini juga, Masjid Al-Muttaqin akan menganjurkan pelbagai kegiatan kerohanian dan kemasyarakatan.

Selain pengagihan bubur masjid pada setiap hari, ia juga menyediakan juadah untuk berbuka puasa dan sahur.

Satu lagi inisiatif baharu adalah 14 buah panel yang mengandungi pelbagai informasi menarik serta doa-doa yang boleh diamalkan para jemaah.

Kelas-kelas tadarus al-Quran juga diadakan setiap hari pada waktu pagi, dan juga selepas solat tarawih.

Ibu bapa dengan anak-anak kecil boleh juga mengerjakan solat terawih dengan tenang.

Mereka boleh memanfaatkan khidmat penjagaan untuk kanak-kanak yang berusia antara empat hingga lapan tahun juga disediakan.

Khidmat tersebut disediakan setiap Jumaat hingga Ahad dan dikendalikan para relawan masjid..
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan