Solat subuh S’pura tidak terjejas dengan perubahan pada waktu Subuh Johor
Baru-baru ini imej kenyataan mengenai waktu solat Subuh bagi negeri Johor menjadi tular di lelaman media sosial.
(Gambar fail: AFP)
BERITAmediacorp: Baru-baru ini imej kenyataan mengenai waktu solat Subuh bagi negeri Johor menjadi tular di lelaman media sosial. Kenyataan itu yang ditulis oleh Mufti Negeri Johor, Yahya Ahmad menjelaskan bahawa bermula Januari 2020, umat Islam Johor akan menunaikan solat Subuh mereka 8 minit lebih lewat daripada biasa disebabkan oleh kedudukan darjah matahari.
Diterbitkan oleh Jabatan Mufti Johor, kenyataan yang ditulis sepenuhnya dalam aksara Jawi itu menyatakan bahawa perubahan pada darjah kedudukan matahari menjadi faktor utama di sebalik waktu solat Subuh mereka menjadi lapan minit lebih lewat daripada biasa.
“Ketentuan perubahan darjah kedudukan matahari di bawah ufuk dalam menentukan waktu terbit matahari Fajr Sadiq daripada 20 darjah yang diguna pakai sebelum ini kepada 18 darjah.
“Ketetapan ini menyebabkan waktu solat Subuh bagi seluruh negeri Johor Darul Takzim perlu ditambah 8 minit daripada waktu Subuh semasa,” menurut kenyataan itu.
S’PURA TIDAK TERJEJAS
Memberikan responsnya sama ada masyarakat Muslim Singapura terjejas ataupun tidak dengan perubahan tersebut, ahli falak Singapura Ustaz Firdaus Yahya menyatakan umat Islam Singapura tidak terjejas dengan perubahan tersebut.
Meskipun Singapura sangat dekat dengan Johor, Ustaz Firdaus menjelaskan ketetapan yang digunakan oleh ahli falak Malaysia adalah berdasarkan kepada ijtihad mereka tentang waktu Fajar Sadiq bermula.
Fajar Sadiq merujuk kepada waktu Subuh yang bermula apabila keadaan langit di ufuk timur mula bercahaya dengan cahaya putih yang melintang.
“Waktu Subuh bermula apabila keadaan langit di ufuk timur mula bercahaya dengan cahaya putih yang melintang. Ini dinamakan sebagai Fajar Sadiq. Namun cahaya ini tidaklah begitu terang apabila ia mula timbul. Kajian golongan pakar astronomi di Malaysia itu tertumpu kepada bilakah Fajar Sadiq ini bermula. Mereka mendapati bahawa cahaya ini mula kelihatan apabila matahari berada 18 darjah di bawah ufuk timur.
“Kriteria yang digunakan sebelum ini ialah Fajar Sadiq bermula apabila matahari berada 20 darjah di bawah ufuk. Perubahan 2 darjah ini menyamai lebih kurang 8 minit. Maka, dengan kriteria baru 18 darjah, bermaksud matahari memerlukan 8 minit untuk bergerak daripada posisi 20 darjah bawah ufuk kepada 18 darjah di bawah ufuk. Oleh itu, waktu Subuh bermula lebih lewat daripada dahulu,” jelasnya.
S’PURA BERPEGANG KEPADA KRITERIA ASAL
Ustaz Firdaus yang merupakan salah seorang daripada tenaga penting dalam penentuan waktu solat Singapura menyatakan perubahan yang daripada 20 darjah kepada 18 darjah yang dilakukan oleh Pejabat Mufti Malaysia adalah berlandaskan kepada kaedah usul fiqh, Ijtihad.
Ijtihad adalah proses penetapan sesuatu hukum baru berdasarkan hujah dan dalil logik (aqli) dan naqli (teks al-Quran dan Hadith).
Meskipun menurutnya ijitihad baru tidak membatalkan ijtihad yang lama, Ustaz Firdaus menekankan bahawa umat Islam bagi setiap daerah dan kawasan perlu mengikuti perintah penguasa masing-masing. Dalam hal ini, ia merujuk kepada Pejabat Mufti bagi setiap daerah dan kawasan tertentu.
Lantaran itu, Ustaz Firdaus menasihati umat Islam Singapura supaya mematuhi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang berpegang kepada kriteria asal 20 darjah bagi waktu Subuh.
Beliau turut menyarankan agar masyarakat Muslim Johor mematuhi arahan yang diberikan Sultan dan jabatan agama mereka yang mengeluarkan ijitihad baru yang kini menambah 8 minit pada waktu solat Subuh mereka.
“Dalam kaedah ilmu Fiqh, keputusan penguasa sesebuah kawasan atau negara bagi masalah ijtihad perlu dipatuhi oleh mereka yang di bawah penguasaan negara atau kawasan itu. Mereka yang berada di negeri Johor wajib patuh arahan yang diberikan oleh Sultan mereka dalam penentuan awal waktu Subuh ini. Dan mereka yang berada di negara Singapura wajib patuh arahan yang diberikan oleh Mufti Singapura dalam penentuan awal waktu Subuh ini,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.