Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Solat Jumaat terakhir di tapak sementara Masjid Khalid; pintu masjid di tapak asal dibuka 11 Jan

Sekitar 1,000 jemaah hadir bagi menunaikan solat Jumaat terakhir di tapak sementara Masjid Khalid di Onan Road hari ini (6 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sekitar 1,000 jemaah hadir bagi menunaikan solat Jumaat terakhir di tapak sementara Masjid Khalid di Onan Road hari ini (6 Jan).

Ini kerana para jemaah akan 'berpindah' kembali ke bangunan masjid baru di tapak asalnya di Joo Chiat Road bermula minggu depan. 

''

Para jemaah Masjid Khalid menunaikan solat di tapak sementara itu sepanjang lebih dua tahun lalu sejak bangunan masjid ditutup pada 2019 bagi kerja-kerja naik taraf. 

'

Pengerusi Masjid Khalid, Haji Alla'udin Mohamed berkata, "Tercapai juga penantian kita. Ramai yang menunggu pembukaan semula Masjid Khalid. Nampaknya masjid ini akan dibuka dengan kemudahan lebih baik, dengan bilik-bilik darjah untuk mengadakan kegiatan lebih daripada solat sahaja." 

Menjelang pembukaan semula Masjid Khalid di tapak asal, para jemaah juga mengharapkan masjid yang dinaik taraf itu nanti akan lebih memudahkan urusan para jemaah bagi beribadah. 

'

Salah seorang jemaah yang hadir semasa sesi solat Jumaat terakhir di tapak sementara Masjid Khalid, Encik Sarip berkata, "Masalah jumlah jemaah ramai harap-harap dapat ditangani. Pengurusan di pintu masuk adalah mustahak. Kita di sini sudah lama jadi kita tahu kerenah para jemaah." 

Dalam pada itu, rakannya Encik Bani pula menambah: "Sebagai jemaah, apa yang saya harapkan tempat baru akan lebih selesa supaya para jemaah kita boleh melakukan amal jariah dengan lebih baik." 

"Kalau boleh tempat sana biar selesa sikit dan bermacam kegiatan agama," jelas seorang lagi jemaah, Encik Munir.

MASJID KHALID SUDAH 90% SIAP; AKAN JALANKAN PROGRAM-PROGRAM BARU TERMASUK BERCIRIKAN SILANG AGAMA

Kakitangan masjid itu mengatakan bahawa masjid di tapak asal akan mula beroperasi pada waktu Zuhur hari Rabu (11 Jan).   

Ini bermakna para jemaah yang mahu menunaikan solat Subuh di Masjid Khalid, masih lagi perlu melakukannya di tapak sementara di Onan Road. 

Kerja-kerja naik taraf juga menurut Haji Alla'udin, sepatutnya selesai pada suku pertama tahun lepas.

Namun, ia tertunda sehingga setahun dek pandemik COVID-19 yang menjejas jumlah kakitangan untuk menjalankan kerja-kerja naik taraf. 

Menurut para pegawai masjid itu, kerja-kerja naik taraf bagi Masjid Khalid sudah lebih 90 peratus siap setakat Jumaat (6 Jan).

'
 
Antara yang masih perlu diusahakan termasuk mengecat semula kubah masjid serta memasang peralatan elektronik di dalam masjid. 

Selain menempatkan bilik-bilik darjah dan auditorium, bangunan setinggi empat tingkat ini juga menyediakan ruang solat lebih luas bagi tambahan sekitar 700 hingga 800 jemaah berbanding sebelum ini. 

Selepas menjalani kerja-kerja naik taraf nanti, Masjid Khalid mampu untuk menampung sehingga 1,800 jemaah dalam satu-satu masa, berbanding 1,000 jemaah sekarang.

"Kita antaranya akan ada auditorium kecil untuk adakan majlis pernikahan serta majlis perayaan kecil-kecil bagi masyarakat kita untuk gunakan," jelas Haji Alla'udin.

"Di bumbung juga kita akan adakan tempat rehat untuk murid-murid di dalam masjid ini juga. Masyarakat bukan Islam juga boleh menggunakannya apabila kita mengadakan perjumpaan bersama. Kita di Masjid Khalid menerajui Kumpulan Keharmonian Kaum dan Agama IRCC@Geylang Serai. Tempat masjid ini akan menjadi tempat untuk  menjalankan kegiatan perdamaian untuk masyarakat di Joo Chiat daripada kaum-kaum lain," tambah beliau.  

Menurut Haji Ala'uddin, jabatan dakwah Masjid Khalid juga akan menerajui beberapa program baru di masjid itu. 

"Dakwah ini bukan dari segi agama tetapi bermacam-macam aspek untuk kesenangan masyarakat. Kita hendak mengadakan satu tempat di mana semua golongan masyarakat boleh merujuk jika mereka ada kesusahan. Satu projek yang kita sudah mulakan adalah di mana kita menerangkan kepada masyarakat tentang inisiatif-inisiatif pemerintah."

"Kebanyakan masyarakat kita kurang faham untuk pergi ke kelab masyarakat, jadi kita bekerjasama dengan Kelab Masyarakat Geylang Serai untuk menyampaikan informasi untuk membantu masyarakat," ujar Haji Allau'din. 

SOLAT JUMAAT 13 JAN AKAN DIADAKAN DI BANGUNAN MASJID BARU DI TAPAK ASAL

Bagi sesi solat Jumaat yang akan dijalankan di bangunan baru pada 13 Januari nanti, tempahan slot diperlukan bagi sesi pertama. 

Bagi sesi kedua, tempahan slot tidak diperlukan. 

'

Langkah tersebut menurut kakitangan masjid adalah untuk mengelakkan daripada kesesakan semasa sesi solat Jumaat pertama di bangunan baru masjid itu. 

Orang ramai sudah boleh membuat tempahan slot menerusi https://prayerbooking.ourmasjid.sg/

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan