Solat Jumaat & solat berjemaah dibenarkan semula di 66 masjid mulai 26 Jun
Umat Islam di Singapura boleh menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di 66 masjid merata Singapura mulai Jumaat (26 Jun).
SINGAPURA: Umat Islam di Singapura boleh menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di 66 masjid merata Singapura mulai Jumaat (26 Jun).
Jumlah jemaah bagaimanapun akan dihadkan kepada hanya 50 orang pada satu-satu masa.
Jemaah yang mendirikan solat Jumaat dan solat berjemaah lima waktu di 66 masjid tersebut juga perlu mendaftar terlebih dahulu melalui ourmosques.commonspaces.sg.
Perkembangan terkini itu diumumkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan pada Ahad (21 Jun).
SOLAT JEMAAH & JUMAAT DISAMBUNG SEMULA PADA 26 JUN
Dalam pada itu, MUIS turut mengumumkan bahawa solat Jumaat akan disambung semula mulai Jumaat (26 Jun) dengan jumlah jemaah dihadkan kepada 50 orang.
Bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat, Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa untuk menggandakan sesi solat Jumaat bagi setiap masjid.
Ini bermakna bermula 26 Jun, setiap masjid akan menawarkan dua sesi solat Jumaat.
Solat Jumaat akan diselangkan 30 minit antara dua sesi tersebut bagi memastikan jemaah dapat diuruskan dengan selamat.
Dalam pada itu juga, MUIS mengumumkan solat Jumaat dan khutbahnya akan disingkatkan kepada 20 minit saja.
Semasa menyampaikan khutbah, imam akan berdiri sekurang-kurangnya 2 meter dari saf pertama.
Imam juga akan memakai pelindung muka.
Jemaah akan mengerjakan ibadah tersebut di tempat-tempat yang ditandakan dengan jarak 1 meter.
PENDAFTARAN BAGI SOLAT JEMAAH DAN JUMAAT
Hanya mereka yang mendaftar dibenarkan masuk ke masjid. Pendaftaran online akan dibuka pada Rabu (24 Jun) pada jam 9.00 pagi.
Dengan keterbatasan tempat dan had jumlah pengunjung kepada 50 orang, jemaah hanya boleh melakukan pendaftaran satu kali sahaja bagi tiga sesi solat Jumaat mendatang - iaitu pada 26 Jun, 3 Julai dan 10 Julai.
Ini bermakna seseorang itu hanya dibenarkan mendaftar sekali sahaja dalam tempoh 3 minggu.
Pendaftaran adalah berdasarkan kepada mereka yang membuat pendaftaran awal.
Jawatankuasa itu menegaskan bahawa mereka yang tidak membuat pendaftaran tidak akan dibenarkan memasuki masjid untuk menunaikan ibadah tersebut.
Bagi mereka yang tidak mendapat slot untuk menunaikan solat Jumaat, Jawatankuasa Fatwa menasihatkan mereka supaya mendirikan solat Zuhur di rumah sahaja.
Jawatankuasa itu turut menasihatkan para jemaah supaya jangan bergaul dan berkumpul dengan jemaah lain apabila berada di masjid.
Jemaah juga dinasihatkan supaya meninggalkan premis masjid sebaik sahaja selesai menjalankan ibadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.