Solat Jumaat di masjid-masjid berjalan seperti biasa, dua hari selepas insiden bungkusan mencurigakan di Masjid Al-Istiqamah
Tinjauan BERITA Mediacorp ke Masjid Al-Istiqamah menunjukkan solat Jumaat berjalan dengan lancar dengan orang ramai membanjiri masjid yang terletak di Serangoon North itu.
Tiada langkah-langkah keselamatan tambahan juga kelihatan dilaksanakan.
Para jemaah yang ditemui bagaimanapun tidak menjadikan insiden tersebut sebagai hambatan untuk menunaikan solat di masjid tersebut.
Encik Sarip, 74 tahun yang tinggal berdekatan Masjid Al-Istiqamah datang ke masjid itu setiap minggu untuk menunaikan solat Jumaat.
"Saya tidak rasa atau fikir apa-apa, seperti biasa, fikiran kosong saja. Perkara itu mungkin terjadi pun mungkin orang itu letak, tinggalkan dan jalan. Kita pun tidak tahu niat dia, ada permusuhan atau tidak. Tak akan berpanjangan perkara ini. Kita datang solat pun seperti biasa."
"Harusnya kita bersatu, berteguh. Masalahnya bukannya kita minta perkara ini terjadi, tetapi solat tetap solat. Mudah-mudahan tidak ada apa-apa," tambah beliau lagi.
Khutbah Jumaat bertajuk “Ketabahan di Sebalik Kepayahan” disampaikan kepada jemaah di masjid-masjid di Singapura.
Khutbah itu membawa mesej yang sangat relevan dalam konteks kejadian bungkusan mencurigakan yang menurut Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam ketika berkongsi dengan wartawan pada Khamis (25 Sep), diterima oleh beberapa masjid baru-baru ini.
Khususnya, intipati khutbah Jumaat itu menyebut bahawa ujian boleh datang dalam bentuk penghinaan dan kezaliman, termasuk kepada rumah Allah.
Ia selaras dengan misi perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. "bahawa jika perbuatan sedemikian berhasrat untuk menggugat keamanan dan kesejahteraan umat dan negara, ketahuilah bahawa ia sebenarnya hanya akan menguatkan semangat dan
usaha kita untuk memperjuangkan keamanan dan kesejahteraan."
Dan jika ada yang bertujuan merosakkan hubungan sesama agama dan bangsa, sebagai umat Islam, kita "tidak seharusnya menyamakan perbuatan seseorang, atau segelintir manusia, dengan keseluruhan sesuatu bangsa atau agama."
Maka itu, umat Islam Singapura diseru agar "jadikan peristiwa sebegini sebagai peringatan agar kita terus menjaga perpaduan. Jaga keharmonian kehidupan kita sesama manusia."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.