Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Solat berjemaah biarlah di dalam masjid & patuhi prosedur, nasihat MUIS

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengingatkan masyarakat Muslim setempat agar mengerjakan solat berjemaah hanya di dalam masjid dengan pendaftaran slot yang sah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengingatkan masyarakat Muslim setempat agar mengerjakan solat berjemaah hanya di dalam masjid dengan pendaftaran slot yang sah.

Ia juga memberi amaran dalam satu kenyataan media hari ini (14 Jul) bahawa masjid-masjid mungkin berdepan risiko ditutup sekiranya prosedur langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) dilanggar.

Kenyataan MUIS itu dikeluarkan menyusuli satu video yang tersebar di media sosial baru-baru ini, menunjukkan perhimpunan orang ramai mengerjakan solat secara berjemaah di luar pekarangan Masjid Sultan.

"Kami ingin mengingatkan masyarakat bahawa solat berjemaah seharusnya dilakukan di dalam masjid-masjid, dengan pendaftaran (slot) yang sah. Masjid-masjid mempunyai prosedur pengurusan selamat yang jelas dan mantap untuk memastikan solat berjemaah dilakukan dengan selamat," menurut MUIS dalam kenyataannya.

Secara alternatif, tambah MUIS, individu juga boleh menunaikan solat berjemaah di rumah bersama para anggota keluarga.

"Dalam persekitaran seperti yang dilihat dalam video tersebut, ia akan menjadi amat sukar untuk menjalankan pengesanan kontak dan mengambil sebarang tindakan pemulihan bagi membendung jangkitan selanjutnya," jelas MUIS.

Mentelah lagi, tekan MUIS, penularan COVID-19 dalam masyarakat kekal "suatu bahaya yang jelas dan wujud" terutama dengan varian koronavirus yang baru dan lebih mudah berjangkit.

"Sekali-sekala, kami menyaksikan individu yang merupakan kes positif COVID-19 mengunjungi masjid-masjid kami seperti kes baru-baru ini di Masjid Al-Abrar."

"Selain itu, kami juga tidak mahu berdepan risiko masjid-masjid ditutup kerana mencabuli prosedur SMM. Misalnya, para jemaah mengerjakan solat di luar zon-zon selamat yang ditetapkan masjid-masjid," tambah MUIS.

"Kami memahami keiinginan masyarakat untuk kembali ke masjid bagi solat berjemaah seperti biasa. Bagaimanapun, kami memohon kesabaran serta kerjasama anda sedang negara beralih dari Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) dan kami menawarkan secara berperingkat-peringkat lebih banyak ruang selamat di dalam masjid-masjid kami," pintanya.

MUIS menyatakan melalui kerja keras dan kerjasama masyarakat, masjid-masjid di serata negara dapat terus dibuka sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan kecuali apabila ia perlu ditutup sekali-sekala bagi menjalani kerja pembersihan.

Sepanjang bulan lalu, sekitar 3,900 ruang solat ditambah sedang lebih banyak masjid menyertai program Masjid Lebih Selamat. MUIS menyatakan ia akan terus menambah jumlah ruang kosong seiring dengan kadar vaksinasi negara.

Apabila solat berjemaah di masjid pertama kali dibenarkan disambung semula, Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, mengingatkan masyarakat Islam bahawa “agama kita bertujuan untuk memudahkan dan bukan membebankan umatnya melebihi kemampuan mereka".

"Agama adalah fleksibel terutama apabila mereka tidak dapat menjalani kehidupan beragama seperti biasa. MUIS sudahpun berusaha sebaik mungkin dengan masjid-masjid, secara operasi dan keagamaan, untuk membenarkan solat berjemaah dengan cara yang selamat serta bertanggungjawab," kata Mufti.

"Akan ada keterbatasan dan saya ingin menggesa semua orang agar bersabar dan memainkan peranan kita dalam memastikan kita melalui fasa ini dengan selamat. Masa lebih baik akan tiba dan kita dapat mengerjakan solat Jumaat dengan lebih kerap," ujar beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan