Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sokongan untuk keluarga libatkan usaha seluruh masyarakat: Indranee Rajah

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Oct 2022 07:02PM Dikemas Kini : 11 Oct 2022 08:34PM

SINGAPURA: Semua orang boleh memainkan peranan dan bukan bergantung saja kepada dasar-dasar Pemerintah untuk membina sebuah persekitaran yang menggalakkan bagi keluarga-keluarga muda untuk berkembang maju.

Ini terutamanya dengan adanya cabaran baru yang timbul akibat pandemik. 

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Cik Indranee Rajah berkata demikian dalam satu temu bual bersama Mediacorp, menyusuli pengumuman Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (10 Okt) berkaitan semakan terhadap dasar-dasar keluarga. 

Menurut Cik Indranee, aturan kerja fleksibel amat penting dalam strategi Singapura melangkah ke hadapan. 

Beliau menerangkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak tetapi pelibatan majikan juga amat penting dalam hal tersebut. 

Ini terutama sekali dengan konteks sekarang dengan adanya kekurangan tenaga kerja dan ramai yang meletak jawatan menunjukkan ramai pekerja berasa tertekan dan mengutamakan keseimbangan  hidup antara tuntutan kerja dan keluarga. 

"Jadi pada saya, pesanan yang ingin saya sampaikan kepada majikan adalah dasar-dasar mesra keluarga serta menggunakan lensa berdasarkan keluarga dalam amalan HR anda, dalam konteks sekarang, memberikan anda kelebihan daya saing. 

"Justeru, mudah-mudahan ia boleh menjadi keadaan menang-menang bagi kedua-dua pihak dengan adanya daya penghasilan di tempat kerja serta keluarga. 

"Dan ia tidak berakhir pada majikan. Ia harus menjadi pendekatan yang melibatkan seluruh masyarakat. Supaya kita dapat mencapai apa yang dipanggil sebuah Singapura untuk keluarga," ujar Cik Indranee. 

Oleh kerana pendekatan sedemikian memerlukan pelibatan seluruh masyarakat, Cik Indranee juga menjelaskan beberapa lagi sokongan tambahan untuk menggalak lebih ramai rakyat tempatan untuk memulakan keluarga dan membesarkan anak. 

Salah satu daripadanya termasuk usaha membantu keluarga tempatan dengan kos membesarkan anak pada peringkat awal yang menurut Cik Indranee, memerlukan pendekatan berhati-hati.

"Perkara kedua adalah perumahan, untuk melihat bagaimana kami boleh bantu keluarga muda kali pertama untuk mendapatkan peluang lebih besar dalam mendapatkan flat. 

"Perkara ketiga yang kami sedang semak semula dan mengkaji adalah untuk melihat sama ada terdapat apa-apa lagi yang perlu kami lakukan berhubung cuti penjagaan dan juga untuk melihat bagaimana kami boleh menggalakkan para bapa untuk berkongsi beban penjagaan dalam cuti mereka. Kerana seperti yang ada tahu, kadar pengambilan cuti paterniti hanya sekitar 50 peratus," tambah Cik Indranee. 

Cik Indranee juga mengutarakan salah satu sebab mengapa cuti paterniti tidak digunakan adalah kerana para majikan tidak begitu menggalakkannya.

Oleh itu, beliau menekankan lagi peranan penting para majikan dalam hal tersebut.

Sumber : CNA/IA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan