Sokongan untuk keluarga dan pekerjaan dibincangkan dalam sesi dialog pasca Belanjawan MESRA
Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) menggulung sesi Dialog pasca Belanjawan pada Sabtu (22 Mac).
SINGAPURA: Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) menggulung sesi Dialog pasca Belanjawan pada Sabtu (22 Mac).
Sesi di Kelab Masyarakat Tampines West itu dihadiri kira-kira 100 pemimpin akar umbi.
Barisan panel sesi tersebut termasuk Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, Zaqy Mohamad, Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat dan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Beberapa isu penting yang diketengahkan oleh peserta termasuk kos sara hidup dan cabaran pekerjaan yang semakin dipengaruhi oleh kemajuan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI).
“Di antara keprihatinan yang telah diketengahkan oleh hadirin hari ini adalah kos sara hidup, terutama sekali bagi mereka yang mempunyai keluarga, tidak kira besar atau kecil. Apakah sokongan yang kita adakan untuk mereka dan kami telah ketengahkan kepada mereka beberapa tokokan yang ada daripada pemerintah untuk menolong mereka, dalam segi keluarga dengan anak-anak mereka. Di antaranya adalah kalau mereka keluarga besar memang sekarang kita ada skim untuk keluarga besar,” kongsi Dr Wan Rizal.
Isu pekerjaan turut dibangkitkan, khususnya mengenai bagaimana para pekerja dapat terus relevan dalam dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi oleh teknologi.
Dr Wan Rizal menjelaskan bahawa terdapat pelbagai inisiatif dan skim untuk mereka meningkatkan kemahiran menerusi program-program SkillsFuture.
“Bagaimana mereka dapat terus relevan dalam pekerjaan di mana kita mendapati lebih banyak kecerdasan buatan seperti AI kini mempengaruhi pekerjaan sekarang. Jadi bagaimana mereka meningkatkan kemahiran mereka dan itulah di antara inisiatif SkillFuture yang kita ketengahkan supaya mereka dapat meningkatkan lagi kemahiran mereka untuk terus relevan dalam pekerjaan,” tambah beliau.

“Saya juga mendengar isu mengenai keluarga yang mempunyai anak kurang upaya dan kita perlu memberikan lebih banyak sokongan kepada mereka. Ini adalah perjuangan yang akan terus kami usahakan. Walaupun banyak skim yang sedia ada, kita perlu memastikan implementasi yang lebih baik kepada masyarakat umum,” tambah Dr Wan Rizal.

Muhamed Zhaffi Bin Mohamed Ibrahim, Naib Pengerusi Brickland MAEC, menyatakan, “Ia membantu pemimpin akar umbi yang berada di lapangan untuk berkongsi sentimen masyarakat, mengemukakan isu-isu mendesak kepada menteri serta membangkitkan perkara yang terlepas pandang berkaitan dengan belanjawan.”
Menurut beliau, sesi dialog tersebut memberi peluang kepada pemimpin masyarakat untuk menyuarakan suara rakyat dan memastikan isu-isu penting yang mungkin terlepas pandang mendapat perhatian pihak yang berkenaan.
Dua sesi dialog yang diadakan menarik kehadiran lebih 250 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Mereka termasuk sukarelawan M³@Bandar, sukarelawan akar umbi, pemimpin agama dan masyarakat, serta wakil-wakil daripada organisasi Melayu/Muslim, termasuk golongan belia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.