Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sokongan segera S$560 juta untuk isi rumah melalui baucar CDC, rebat api air dan tokokan pendidikan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2022 04:45PM Dikemas Kini : 18 Feb 2022 09:45PM

SINGAPURA: Semua isi rumah Lembaga Pembangunan dan Perumahan(HDB) yang layak akan menerima seganda jumlah rebat api air pada April, Julai dan Oktober tahun ini, sebagai sokongan segera bagi membantu keluarga menangani harga lebih tinggi ekoran kenaikan inflasi dan kos sara hidup, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong. pada Jumaat (18 Feb).

Baucar GST - Rebat U-Save yang dipertingkat itu adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga Tambahan berjumlah S$560 juta yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan beliau hari ini, bertujuan membantu keluarga Singapura menangani tekanan kos sara hidup dengan menyediakan sokongan bagi keperluan harian mereka.

Encik Wong berkata, Pemerintah sedang memantau dengan teliti risiko kenaikan inflasi dan kos sara hidup, dan beliau akur kebimbangan segera yang dihadapi perniagaan dan isi rumah.

"(Kami) akan memberi sokongan tambahan yang ketara dalam Belanjawan ini untuk membantu mereka mengharungi tempoh masa harga yang lebih tinggi," katanya.

Berikut ialah ringkasan Pakej Bantuan Keluarga Tambahan:

*Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) S$100 bagi semua isi rumah Singapura

Baucar itu akan diedarkan kepada semua isi rumah Singapura menjelang 2022 untuk membantu menampung perbelanjaan harian. Baucar ini boleh digunakan di kedai-kedai dan penjaja kejiranan perumahan.

Butiran lanjut akan diumumkan oleh CDC.

*Terima seganda Baucar GST biasa - rebat U-Save pada 2022

Bagi baki tiga suku tahun 2022, isi rumah HDB yang layak akan menerima rebat untuk bil api air mereka berjumlah seganda daripada jumlah biasa.

Rebat tambahan akan diberi kepada isi rumah yang layak pada masa yang sama dengan Baucar GST biasa mereka - rebat U-Save pada April, Julai dan Oktober tahun ini.

Ini bermakna isi rumah HDB satu dan dua bilik boleh menerima tambahan S$285 dalam rebat api air tahun ini, manakala mereka yang tinggal di flat lebih besar akan menerima jumlah lebih sedikit.

Rebat tambahan ini akan memanfaatkan sekitar 950,000 isi rumah Singapura.

*Tokokan S$200 ke Akaun Pembangunan Kanak-kanak (CDA), Akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Pos Menengah (PSEA)

Tokakan sekali sahaja bagi kanak-kanak berusia 20 tahun ke bawah pada 2022, sebagai tambahan kepada sumbangan tahunan Edusave oleh Pemerintah.

Mereka yang berusia antara sifar dan enam tahun dijangka menerima tokokan ke CDA mereka mulai September dan seterusnya.

Tokokan ke akaun Edusave (untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 16 tahun) dan PSEA (bagi pelajar berumur 17 hingga 20) dijangka diberikan pada bulan Mei.

Sekitar 790,000 kanak-kanak dan pelajar dijangka mendapat manfaat daripada skim ini.

Sumber : Today/HA/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan