Sokongan padu masyarakat bukti kerja keras yang dilakukan Masjid Khadijah dan RRG dalam melawan extremisme: Teo Chee Hean
Kerja-kerja Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) kini lebih penting lagi sedang kumpulan-kumpulan pengganas di rantau ini membina semula keupayaan mereka.

SINGAPURA: Kerja-kerja Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) kini lebih penting lagi sedang kumpulan-kumpulan pengganas di rantau ini membina semula keupayaan mereka.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean turut berpendapat bahawa landskap keganasan global kian berkembang.
Ini di tengah-tengah pengaruh dan penggunaan media sosial yang berleluasa yang menyumbang kepada peningkatan kes radikalisasi secara sendiri di dunia.
Oleh itu, pemerintah menghargai usaha RRG sepanjang dua dekad lalu dalam menangani ancaman ekstremisme.
Encik Teo berucap di majlis buka puasa yang dianjurkan RRG hari ini (11 Apr).
Dalam ucapannya, Encik Teo turut menyentuh tentang konflik di Ukraine, yang merupakan "isu eksistensial bagi
negara-negara kecil seperti Singapura."
Beliau berkata Singapura memandang serius terhadap sebarang pelanggaran prinsip-prinsip teras Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang melarang tindakan kasar terhadap sebuah negara berdaulat.
"Kami memandang serius terhadap sebarang pelanggaran prinsip-prinsip teras ini, tidak kira bila dan di mana ia berlaku. Inilah sebabnya Singapura mengutuk keras serangan Rusia ke atas Ukraine," jelas Encik Teo.
SEMINAR SUKU TAHUNAN RRG SENTUH TENTANG ISU ANCAMAN KESELAMATAN
Encik Teo turut mengikuti seminar suku tahunan RRG di Masjid Khadijah.
Seminar kali ini juga menyentuh tentang konflik Ukraine-Russia dan isu-isu ancaman keselamatan yang bukan tradisional seperti sentimen anti-keagamaan, percakapan yang berbaur kebencian dan ideologi pelampau.
Menurut Setiausaha RRG, Dr Mohamed Ali, seminar tersebut adalah penting bagi para anggota RRG terus memahami isu-isu keselamatan dan menjangkakan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi.
Dengan itu, kata Dr Mohamed Ali, anggota RRG akan menjadi lebih yakin untuk membimbing masyarakat berkenaan tindakan terhadap isu-isu keganasan.
Dalam pada itu, Encik Teo merakamkan penghargaannya buat RRG atas usaha berterusan mereka dalam mendekati masyarakat untuk membanteras keganasan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada RRG atas dedikasi anda menentang radikalisasi dan ekstremisme. Kita baru sahaja memperingati 20 tahun penangkapan Jemaah Islamiyah (JI) di Singapura,"
"Peristiwa tersebut mengajar kita bahawa kita tidak boleh bergantung hanya kepada agensi-agensi keselamatan untuk menentang keganasan dan ekstremisme. Sebaliknya, kita perlukan seluruh masyarakat untuk sentiasa berwaspada dan bekerjasama," ujar Encik Teo.
Encik Teo juga berkata bahawa beliau yakin RRG akan terus memainkan peranan penting dalam menangani ektremisme di Singapura dengan sokongan pemerintah dan masyarakat setempat.
PENGUMPULAN DANA DILANCARKAN BAGI KERJA NAIK TARAF MASJID KHADIJAH
Di acara yang sama, Encik Teo melancarkan pengumpulan dana bagi kerja-kerja naik taraf Masjid Khadijah serta Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC).
Antara lain, satu galeri terbuka RCC akan dibangunkan di Masjid Khadijah.
Enam badan masyarakat - Pergas, AMP, Jamiyah, Liga Muslim Kadayanallur Singapura, Persatuan India Muslim Bersatu dan Persatuan Bangladesh Singapura - turut menyumbang dana bagi projek tersebut.
Kerja-kerja naik taraf yang menelan belanja S$2 juta itu dijangka siap menjelang April tahun depan
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.