Skip to main content

Singapura

Sokongan padu bagi hukuman mati jelas dari hasil tinjauan SG & negara jiran: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 May 2024 06:42PM Dikemas Kini : 08 May 2024 09:14PM
SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-Undang K Shanmugam menukil beberapa tinjauan tempatan mahupun serantau sebagai bukti sokongan padu terhadap hukuman mati ke atas para pengedar dadah.

Beliau menyampaikan satu kenyataan menteri di parlimen Rabu (8 Mei) mengenai pendekatan Singapura dalam mengawal masalah dadah.

"Terdapat sokongan meluas daripada para penduduk kami kerana kami selama ini berterus-terang dan terbuka tentang sebab dan keadaan hukuman mati dikuatkuasakan, mahupun mengenai bagaimana ia melindungi (masyarakat)," kata Encik Shanmugam.

Dapatan awal daripada tinjauan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) yang dijalankan pada 2023 menunjukkan, kira-kira 69 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa hukuman mati mandatori adalah hukuman yang wajar bagi pengedaran dadah dalam jumlah yang banyak.

Ini lebih tinggi berbanding 66 peratus yang dicatat pada 2021, tegas Encik Shanmugam, sambil menambah bahawa MHA akan menerbitkan laporan penuh mengenai tinjauan terbaharunya pada tahun ini.

Hampir 77 peratus responden tinjauan bersetuju bahawa hukuman mati boleh digunakan bagi kebanyakan jenayah serius - naik daripada hampir 74 peratus dua tahun lalu.

Beliau menarik perhatian kepada tinjauan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan pada tahun lalu, di mana hampir 91 peratus responden melahirkan sokongan bagi pendekatan bebas dadah Singapura.

Setinggi 87 peratus bersetuju bahawa undang-undang dadah Singapura berkesan untuk memastikan negara ini umumnya bebas dadah.

Menjangkaui Singapura, Encik Shanmugam menyebut tentang satu tinjauan pada 2021 yang dijalankan di beberapa bahagian rantau ini, di mana kebanyakan pengedar dadah ditangkap beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia menunjukkan 87 peratus responden percaya bahawa hukuman mati menghalang orang ramai daripada mengedar jumlah dadah cukup besar ke Singapura.

Peratusan serupa - 86 peratus - percaya bahawa hukuman mati menghambat orang ramai daripada melakukan jenayah serius di Singapura.

Seramai 83 peratus responden juga percaya hukuman mati lebih berkesan daripada hukuman penjara seumur hidup, dari segi mencegah orang ramai daripada membawa masuk dadah.

"Jadi mereka yang menyarankan bahawa hukuman mati seharusnya digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup, perlu melihat perangkaan-perangkaan ini. Sejauh mana dua hukuman itu menghambat kesalahan dadah adalah sangat berbeza," kata Encik Shanmugam.

"Tidak mudah bagi kami... untuk memutuskan hukuman mati sebagai sebahagian daripada hukuman yang termaktub dalam undang-undang. Namun ada bukti yang menunjukkan bahawa penting untuk melindungi rakyat kita, mencegah pembinasaan beribu-ribu keluarga, serta mencegah kehilangan beribu-ribu nyawa.

Encik Shanmugam juga percaya sokongan padu dapat diraih kerana rakyat Singapura yakin pemerintahnya melakukan perkara betul buat negara.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita