Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sokongan menyeluruh untuk jadikan SG mesra keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
Sokongan menyeluruh untuk jadikan SG mesra keluarga

(Gambar: Raj Nadarajan/Today)

BERITAmediacorp: Pemerintah akan menyediakan sokongan menyeluruh untuk membolehkan semua keluarga mencapai kestabilan dalam usaha menjadikan Singapura sebuah negara mesra keluarga.

Usaha-usaha meluas itu merangkumi pelbagai aspek termasuk pekerjaan, pendidikan anak-anak dan kesihatan.

Demikian ulasan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Masagos Zulkifli pada akhir perbahasan belanjawan di parlimen.

Encik Masagos memberitahu BERITAmediacorp, usaha membangunkan Singapura sebagai negara yang mesra keluarga memerlukan "peralihan dalam banyak dasar pemerintah."

"Kita akan membuat banyak penyesuaian dari sekarang sampai 2025 termasuk bagaimana undang-undang pekerjaan dapat disesuaikan supaya yang mahu menjalankan kerja yang disebut aturan kerja fleksibel dapat diraih oleh semua sekali. Kita juga melihat bagaimana pemerintah telah membuat berbagai-bagai  pengumuman di prasekolah dan juga dalam meningkatkan lagi bonus bayi bagi keluarga muda dan mengutamakan mereka yang belum ada rumah mendapat keutamaan untuk mendapat flat BTO mereka," kata Encik Masagos.

Itu menurut beliau adalah antara dasar dasar yang diubah untuk membina keluarga utuh di Singapura.

Ini supaya setiap keluarga, terutama yang berpendapatan rendah, dapat mencapai kestabilan dalam kehidupan, menjadikan mereka lebih berdikari selain mempertingkat mobiliti sosial mereka.

Lantaran itu, pemerintah akan memanfaatkan skim ComLink untuk menyepadukan sokongan yang sama merentas pelbagai program yang ditawarkan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah.

"Kita menumpukan kepada keluarga yang tinggal di rumah sewa yang mempunyai anak di bawah 18 tahun. Apakah kepentingan mereka? Satu, pekerjaan pekerjanya baik yang boleh mendanakan CPF mereka hingga mereka dapat keluar dari rumah sewa hingga memiliki rumah rumah sendiri.

"Juga penting dan dalam jangka waktu yang lebih panjang, bagaimana anak mereka kita memastikan dapat meraih daripada semua peluang-peluang yang diwujudkan," jelas beliau.

Encik Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan berkata pemerintah telah mengukuhkan dasar untuk membina keluarga yang kuat dan sihat.

Kementerian Kesihatan (MOH) sudah membina ekosistem bersepadu untuk menyokong kanak-kanak dan keluarga mereka merentasi keperluan kesihatan dan sosial.

"Kami telah pun memulakan beberapa percubaan program 'Family Nexus' di Tampines dan nanti di Choa Chu Kang dan juga di Sembawang di mana kami akan mewujudkan pusat-pusat untuk disebutkan 'dyad ibu dan anak' dan seseorang itu tidak akan ke satu pusat untuk hanya ibunya atau untuk hanya anaknya, tetapi di mana setiap anggota keluarga itu akan diberikan layanan dalam satu tempat."

"Ini telah menunjukkan kejayaan awal di Tampines, di mana bukan hanya diberikan koordinasi untuk seluruh keluarga, tetapi juga keperluan dari segi sosial, perubatan, kesihatan dan sebagainya diberikan pada satu tempat oleh semua agensi. 

Beliau turut menyentuh tentang pendekatan bagi menangani jumlah kes pesakit kencing manis dan tekanan darah tinggi dalam masyarakat Melayu.

Kata Encik Masagos: "Kita akan memberikan bukan hanya pendekatan-pendekatan daripada segi perubatan tetapi juga sosial dan agama supaya mereka ada motivasi untuk membaiki keadaan kesihatan mereka ataupun menghindarkan diri mereka daripada mengalami keuzuran yang tidak perlu mereka alami seawal-awalnya. 

Beliau menggalakkan orang ramai supaya bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri dan memanfaatkan inisiatif seperti Saham Kesihatan yang menggalak gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk Melayu/Islam.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan