Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sokongan mencurah perniagaan, badan masyarakat dorong kakitangan TTSH

Sedang Hospital Tan Tock Seng (TTSH) terus berjuang melawan kelompok kes COVID-19, pelbagai perniagaan dan pertubuhan masyarakat tampil dengan inisiatif dari bawah untuk menunjukkan sokongan mereka kepada kakitangan hospital itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Sokongan mencurah perniagaan, badan masyarakat dorong kakitangan TTSH

Kandungan di dalam pek-pek yang diagihkan oleh CDC Barat Laut kepada anggota kakitangan TTSH pada 12 Mei 2021. (Gambar: CDC

Diterbitkan : 13 May 2021 03:03PM Dikemas Kini : 13 May 2021 03:05PM

SINGAPURA: Sedang Hospital Tan Tock Seng (TTSH) terus berjuang melawan kelompok kes COVID-19, pelbagai perniagaan dan pertubuhan masyarakat tampil dengan inisiatif dari bawah untuk menunjukkan sokongan mereka kepada kakitangan hospital itu.

Pada petang Rabu (12 Mei), anggota kakitangan TTSH diberikan satu 'pek jagaan' yang berisi pelbagai cenderahati sebagai sebahagian daripada Projek #SGHeroes, sebuah projek yang disokong oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Barat Laut dan pertubuhan akar umbi Yew Tee.

Pelbagai syarikat swasta juga menghulurkan sumbangan tanda penghargaan kepada para pekerja jagaan kesihatan dengan menyediakan minuman 'bubble tea' serta perjalanan menaiki kereta sewa privet pada harga diskaun, misalnya.

Inisiatif merakamkan penghargaan yang datang mencurah-curah itu membangkitkan semangat anggota kakitangan TTSH yang memberitahu Mediacorp mereka berterima kasih atas sokongan luar biasa dan berasa terdorong untuk terus melakukan apa yang dilakukan selama ini.

SOKONGAN MASYARAKAT

Pek-pek jagaan yang diberikan kepada para pekerja jagaan kesihatan termasuk pil vitamin, pelekat melegakan batuk dan sakit, produk jagaan kulit, cemilan serta minuman.

Sebanyak 5,000 kad ucap terima kasih yang ditulis oleh para pelajar dan penghuni dari estet-estet perumahan di bawah CDC Barat Laut juga akan disertakan bersama dalam pek jagaan tersebut.

Encik Alex Yam, datuk bandar CDC Barat Laut, juga akan menghoskan satu episod Facebook secara langsung yang dipanggil 'Happy Kopitiam — Nurses Appreciation Night' pada Jumaat untuk menggalak para penghuni menunjukkan penghargaan mereka kepada kakitangan jagaan kesihatan.

Encik Yam berkata: "Kami mahu membuat sumbangan kecil untuk menunjukkan kepada wira-wira barisan hadapan kami di TTSH bahawa kami menghargai usaha mereka dan mereka seharusnya meneruskan perjuangan dengan yakin dan bangga."

TTSH mengesan kes pertama COVID-19 pada 27 April apabila seorang jururawat di Wad 9D hospital itu diuji positif koronavirus.

Sejak itu, TTSH mengenal pasti 43 kes yang merangkumi 10 pekerja hospital, 26 pesakit dan tujuh pelawat serta anggota keluarga mereka.

CDC Tengah Singapura bekerjasama dengan rantaian minuman 'bubble tea', Gong Cha, dalam usahanya untuk membawa keriangan kepada anggota kakitangan hospital.

Pek penghargaan 'Giraffes Appreciation Pack' yang mengandungi kad ucapan terima kasih, baucar percuma minuman Gong Cha, makanan ringan dan barangan mesra alam akan diberikan kepada 12,000 pekerja hospital. Tema zirafah itu adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada anggota kakitangan yang sanggup mengambil risiko demi menjaga pesakit mereka.

Cik Denise Phua, datuk bandar CDC Tengah Singapura, berkata: "Kami mengharungi masa mencabar jadi saya berharap hadiah kecil ini boleh menunjukkan penghargaan kami kepada para pekerja jagaan kesihatan yang tidak mementingkan diri sendiri ketika menjaga pesakit-pesakit."

Syarikat khidmat kereta sewa Gojek Singapore pula membuat sumbangannya sebagai sebahagian daripada inisiatif 'GoHeros'. Ia mengedarkan baucar Gojek bernilai S$10 kepada setiap satu kakitangan hospital. Apabila dihubungi, Gojek tidak mendedahkan jumlah baucar yang sudahpun diagihkan setakat ini.  

Sumber : Today/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa