Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sokongan lebih menyeluruh, berdasarkan data untuk bantu masyarakat harungi 2023 yang mencabar

Anggaran Waktu Membaca:
Sokongan lebih menyeluruh, berdasarkan data untuk bantu masyarakat harungi 2023 yang mencabar

Para pemimpin politik Melayu pemerintah menasihatkan masyarakat untuk lebih berhemat dalam perbelanjaan mereka, kekal bersatu dan peka akan inisiatif sedia ada bagi bantu mereka harungi cabaran tahun 2023. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Badan-badan Melayu/Islam (MMO) bersedia memberi sokongan menyeluruh kepada masyarakat tahun ini agar kesan-kesan pandemik terhadap ekonomi tidak akan menghambat kemajuan masyarakat.

Di samping usaha lain, ini akan dilakukan menerusi empat bidang tumpuan M³ iaitu sokongan kepada keluarga, individu rentan, belia dan pekerja.

Usaha-usaha itu akan diterajui oleh para pemimpin politik Melayu pemerintah.

Dalam satu sidang media oleh mereka bagi merumuskan pencapaian dan cabaran masyarakat Melayu/Islam sepanjang tahun 2022, Menteri Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata MMO perlu peka dengan cabaran sedia ada dan menyesuaikan sokongan-sokongan yang dihulurkan.

"Dalam kita menghadapi segala cabaran, kita perlu persiapkan masyarakat kita dari segi asas ataupun apa yang kita harus siapkan seawal-awalnya dan juga siap untuk menyesuaikannya dengan hal-hal yang mungkin harus ditangani segera, kerja-kerja membangun dan membina masyarakat kita akan terus dilakukan. Pertama sekali kita bukan hanya menunggu masyarakat kita datang untuk kita menangani masalah mereka tetapi kita akan mendekati mereka," kata Encik Masagos.

Encik Masagos juga mengingatkan masyarakat bahawa tahun 2023 boleh jadi mencabar sedang dunia cuba menangani kesan-kesan COVID-19, konflik Ukraine-Rusia yang berterusan dan ketegangan antara kuasa besar Amerika Syarikat dengan China.
ULANG TAHUN M³ KELIMA, RANGKAIAN TERUS BERKEMBANG

Para pemimpin Melayu pemerintah juga gembira melihat lebih ramai anggota masyarakat yang sudah berjaya tampil ke hadapan menerusi M³ untuk membantu golongan memerlukan.

Menurut mereka, sepanjang lima tahun M³ diusahakan, pelbagai inisiatif baru sudah dikelolakan dengan bantuan banyak pihak.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam berkata, "Saya rasa M³ menyediakan struktur dari segi mengenal pasti apakah antara isu-isu utama yang menjadi keprihatinan masyarakat dan disebabkan itu, kami ada bidang tumpuan. Ia juga mencipta rangkaian yang mampan dalam kalangan masyarakat kita sendiri untuk melaksanakan usaha-usaha tersebut"
 
Cik Rahayu Mahzam berkata M³ menyediakan struktur dan rangkaian yang mampan bagi melaksanakan usaha sokongan buat masyarakat. (Gambar: MCI)

"Jadi kita semacam mewujudkan satu ekosistem dan budaya dalam masyarakat di mana orang datang kembali dan jadi ini adalah contoh bagaimana struktur M³ membolehkan pembangunan masyarakat yang berkesan dalam cara yang sistematik," tambah beliau.

Sejak dimulakan pada 2018, jumlah sukarelawan juga kian bertambah bagi program-program tertentu di bawah rangkaian itu.

Bagi projek yang diterajui Cik Rahayu sendiri, iaitu Pejabat Pementoran Belia (YMO) misalnya, jumlah sukarelawan yang tampil membimbing belia sudah menjangkau lebih 1,300 orang sejak ia dilancarkan pada 2019.

BAGAIMANA UNTUK ATASI CABARAN 2023?

Melihat keutuhan rangkaian yang dijana menerusi rangkaian M³, Cik Rahayu juga berharap masyarakat dapat bersatu dan berusaha ke arah satu visi yang sama iaitu membina Masyarakat Gemilang.

Ini kerana menurutnya, kesulitan boleh menimpa masyarakat jika tiada permuafakatan.

"Hakikat dengan MMO ini ialah semua orang ada idea berbeza bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu masyarakat. Jadi M³ memberi kita keupayaan untuk membuat kita ambil selangkah ke belakang dan fikirkan apa antara perkara utama? Apa yang kita ukur? " tegas Cik Rahayu.

Menyentuh hal itu juga, Encik Masagos berkata data-data baru menerusi banci penduduk, tinjauan dan kajian boleh membantu MMO memikirkan program dan huraian yang lebih berkesan untuk bantu masyarakat.

Bagi mengatasi cabaran tahun ini, Encik Masagos juga berharap masyarakat akan lebih berhemat dalam perbelanjaan mereka.

"Ini bukan masanya untuk buat pinjaman besar-besaran, lebih-lebih lagi kad kredit. Perkara kecil sebegini patut kita tahu dan tidak terjerat dengan masalah yang boleh berlipat kali ganda kerana kita tidak membuat keputusan yang baik," jelas Encik Masagos.

 

Dr Maliki berharap masyarakat lebih peka dengan bantuan serta sokongan yang sedia ada bagi mereka harungi cabaran 2023 dengan lebih baik lagi. (Gambar: MCI)
Sehubungan dengan itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman berharap masyarakat juga akan menjadi lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Oleh itu katanya juga, penting bagi M³ untuk menyediakan maklumat yang bersesuaian agar masyarakat tahu apa yang tersedia buat mereka.

"Ekonomi akan berubah secara dramatik. Pekerjaan akan berubah, kemungkinan untuk mereka tidak mampu mempertahankan pekerjaan mereka yang mereka sudah selesa. Adalah sangat penting untuk maklumkan kepada mereka bahawa sedang kita harungi ini semua, akan ada pekerjaan baru tapi mereka perlu bersedia untuk tingkatkan kemahiran, perlu bersedia untuk kecapi peluang-peluang baru," kata Dr Maliki.

Dalam mengharungi cabaran yang bakal mendatang dalam tahun 2023 ini, para pemimpin Melayu pemerintah berharap dorongan dan motivasi terus ditanam serta kesedaran tentang apa yang perlu dilakukan, akan diwujudkan dalam kalangan masyarakat.





 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan