Sokongan kuat bagi dorong pelanggan bersihkan meja di tempat makan awam, malangnya kurang diamalkan
"Terdapat "jurang" antara sentimen bagi memastikan meja makan di tempat-tempat awam bersih dengan amalan sebenar, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Sabtu (6 Feb).
SINGAPURA: "Terdapat "jurang" antara sentimen bagi memastikan meja makan di tempat-tempat awam bersih dengan amalan sebenar, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Sabtu (6 Feb).
Dalam tinjauan yang dijalankan pada hujung 2020, NEA mendapati bahawa 90 peratus responden mengatakan bahawa para pelanggan harus diwajibkan membersihkan meja masing-masing setelah makan di tempat awam.
Ia juga mendapati bahawa 76 peratus responden berkata bahawa mereka akan memulangkan dulang dan/atau pinggan mangkuk apabila makan di tempat awam.
Bagaimanapun, secara purata kadar pemulangan dulang di pusat penjaja "kini sekitar 30 peratus saja".
Ini menunjukkan bahawa "amalant sebenar tidak sama dengan tingkah laku seseorang individu apabila menyentuh tentang usaha memulangkan dulang", menurut NEA.
Terdapat juga perbezaan yang ketara pada kadar pemulangan dulang dalam kalangan pusat penjaja di sini.
Pusat penjaja di Tiong Bahru, Marine Parade Central, Bukit Merah Central, Adam Road, Hab Tampines Kita dan Kampong Admiralty, melaporkan kadar pemulangan dulang yang lebih tinggi iaitu lebih 60 peratus, menurut agensi tersebut.
Kebanyakan pusat penjaja yang lain mencatat paras bawah 30 peratus.
Tinjauan lain oleh NEA membayangkan bahawa orang ramai lebih berkemungkinan akan membersihkan meja masing-masing sekiranya infrastruktur pemulangan dulang ditempatkan di kawasan-kawasan yang lebih senang dipandang mata.
Kumpulan makan yang besar juga kurang berkemungkinan memulangkan dulang masing-masing, menurut NEA, dan kumpulan-kumpulan sedemikian mungkin memerlukan dorongan daripada para pekerja pembersihan dan sukarelawan untuk membersihkan meja mereka.
KEMPEN MEJA BERSIH
NEA melancarkan Kempen Meja Bersih bagi menggalak para pelanggan supaya menjaga kebersihan di tempat-tempat makan awam.
Ia bermatlamat untuk mengingatkan para pelanggan di tempat-tempat makan awam supaya membersihkan meja, dengan membuang tisu, pinggan mangkuk pakai buang yang sudah digunakan dan memulangkan dulang serta pinggan mangkuk masing-masing.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Dr Amy Khor di Pusat Penjaja Yuhua Village dan kedai kopi Broadway di Toh Guan Road hari ini (6 Feb).
Peringatan, seperti poster, kain rentang, isyarat visual dan pengumuman audio akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di kesemua 111 pusat penjaja, kedai kopi dan pusat makanan mulai bulan ini, menurut NEA.,
Lebih banyak rak untuk memulangkan dulang juga akan disediakan di pusat-pusat penjaja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.