Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sokongan keluarga dorong kecemerlangan dua finalis Anugerah Sukan SG

Boling ialah sukan yang sinonim dengan aktiviti keluarga sebilangan anggota masyarakat. Konsep permainannya yang ringkas dan tidak begitu lasak ataupun intensif, menjadikan sukan itu sesuai dimainkan oleh segenap lapisan usia.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Boling ialah sukan yang sinonim dengan aktiviti keluarga sebilangan anggota masyarakat.

Konsep permainannya yang ringkas dan tidak begitu lasak ataupun intensif, menjadikan sukan itu sesuai dimainkan oleh segenap lapisan usia.

Seperti ramai keluarga lain, itulah aktiviti yang diterapkan dalam keluarga Nur Irdina Hazly sejak beliau kecil lagi.

Bermula sebagai aktiviti riadah bersama keluarga, ia mula mencetuskan minat dalam dirinya.

"Saya mula menceburi sukan ini kerana ibu bapa saya. Waktu saya masih kecil saya harus mengikuti mereka kerana mereka sering bermain boling dan saya tidak boleh ditinggalkan di rumah. Jadi saya selalu menonton mereka bermain dan pada satu hari saya rasa saya ingin cuba. Jadi dari sana saya menemui minat untuk sukan boling," kata Irdina kepada wartawan Syawal Yusoff.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Berbekalkan minat serta kebolehannya, ibu bapa Irdina mengambil keputusan untuk menghantarnya ke sebuah akademi boling untuk mengasah bakatnya.

Lama kelamaan, bakatnya semakin terserlah sehinggalah beliau diterima masuk ke Sekolah Sukan Singapura.

Irdina yang berusia 16 tahun kini, menuntut di dalam tahun pertama program International Baccalaureate (IB) di sekolah itu selain mengimbangi jadual latihan sehingga dua jam sehari, empat hari dalam seminggu.

Walaupun jadualnya sibuk, beliau gigih mengharunginya kerana memburu impian yang lebih besar.

"Saya harap untuk menjadi juara dunia dan untuk menjadi seorang pemain boling yang dapat memberi inspirasi kepada pemain lain," ujar Irdina.

(Gambar: Nur Irdina Hazly)

Sepanjang enam tahun menceburi sukan itu, beliau juga sudahpun menyertai pelbagai pertandingan di dalam dan luar negara.

Antara pencapaian dan kemenangan yang membanggakan beliau termasuklah Kejuaraan Terbuka Nasional tahun lalu.

"Saya bersaing dengan pemain boling dari pasukan-pasukan lebih dewasa. Mereka semua sudahpun memenangi sukan SEA dan sebagainya. Saya dapat mengalahkan mereka, ia agak 'cool'," kata Irdina yang juga meminati sukan bola keranjang.

BELANJA LEBIH S$10,000 UNTUK SUKAN

Selain kerja kerasnya, sokongan keluarga juga kata Irdina adalah antara faktor kejayaan beliau.

Ibunya, Cik Noorfizah Hashim, ialah antara 'orang kuat' yang sering menghantarnya ke latihan.

"Semasa beliau menyatakan hasrat bahawa beliau mahu terus menceburi bidang sukan boling dan kami saya suami isteri kami berbincang dan kami rasakan baiklah kami akan memberikan sokongan sepenuhnya kerana sukan boling ini merupakan sukan yang agak mahal dan memerlukan komitmen yang agak tinggi daripada waris jugalah dari segi masa, kewangan," kata Cik Noorfizah, ibu dua orang anak.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut Cik Noorfizah beliau sekeluarga sudahpun membelanjakan lebih S$10,000 untuk menyokong kerjaya anak bongsu mereka itu.

Namun, sebagai seorang pendidik, beliau juga memahami akan perlunya keseimbangan dalam pembangunan anaknya.

"Saya sangat percaya dengan pembangunan holistik seseorang anak. Jadi kami tidak hanya tertumpu pada bidang akademik saja. Jadi anak-anak juga boleh melihat potensi mereka ataupun kelebihan mereka dalam bidang lain iaitu sukan terutamanya dan semestinya sukan merupakan suatu perkara yang menyihatkan," tambahnya.

Selain cemerlang di arena sukan, Cik Noorfizah turut berharap anaknya dapat berbakti kepada masyarakat.

Lantaran itu, beliau berkongsi, beliau sering membawa Irdina untuk melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Meluahkan harapannya: "Saya harapkan yang beliau berbakti semula kepada negara dan sudah tentunya masyarakat. Saya hanya mengharapkan untuk beliau mewakili Singapura di peringkat sedunia untuk jadi inspirasi kepada pemain-pemain boling yang lain yang muda. Saya hanya menyokong dan sentiasa berikan yang terbaik selagi mampu."

BERALIH DARI BOLA SEPAK KE BOLING

Sokongan keluarga itulah yang menjadi pembakar semangat seorang lagi atlit sukan boling negara, Aiman Raedyn Lim Jen, 19 tahun.

Beliau mula berjinak-jinak dalam sukan tersebut apabila sukan kegemarannya, bola sepak tidak ditawarkan sebagai Kegiatan Ko-Kurikular (CCA) di sekolah menengahnya pada ketika itu.

"Saya memasuki Sekolah Katolik Hai Sing jadi mereka tidak menawarkan sukan bola sepak. Jadi saya tengok apa CCA lepas itu saya nampak ada boling. Jadi saya rasa macam nak sertai boling," kata Aiman, yang sebelum itu hanya ada pengalaman bermain boling secara suka-suka bersama ayahnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bermula sebagai sebuah aktiviti untuk mengisi masa lapang di sekolah, ia kini sudah menjadi sebahagian besar kehidupan belia itu.

Bakatnya terus digilap sehingga ditawarkan untuk menyertai pasukan negara.

"Apabila jurulatih saya tengok saya main lepas itu dia kata saya ada potensi, dia ajak saya sertai akademinya. Dari situlah dia kata saya boleh jadi atlit negara. Jadi saya rasa itu yang membuat saya nak lebih kompetitif dalam boling," jelas Aiman.

(Gambar: Aiman Raedyn Lim Jen)

Melalui boling, Aiman sudahpun mewakili negara di pertandingan boling di Asia termasuk Malaysia, Thailand, Filipina dan sejauh Peru.

Pelbagai pingat dan piala sudahpun dimenanginya sepanjang enam tahun yang lalu.

Namun, penuntut tahun kedua kursus Perakaunan dan Kewangan di Politeknik Temasek itu masih mengharapkan untuk merebut satu lagi gelaran, suatu hari nanti.

(Gambar: Aiman Raedyn Lim Jen)

"Saya hendak menjadi Juara Dunia Boling. Selepas itu saya hendak membuat boling lebih dikenali dalam Singapura dan satu dunia sebab saya agak boling boleh jadi satu sukan yang terbesar di dunia," ujarnya.

Harapan sedemikian juga turut dikongsi keluarga terdekat Aiman yang senantiasa menyokong kerjayanya itu.

"(Berbakti) untuk negara dan masyarakat. Itu yang paling penting. Saya minta anak-anak generasi akan datang atau sekarang mula dari sekarang maju dari segi sukan, inilah contoh daripada Aiman," kata datuk saudaranya, Hashim Ibrahim.

(Gambar: Aiman Raedyn Lim Jen)

13 PENCALONAN UNTUK ANUGERAH SUKAN SG 2024

Kecemerlangan kedua-dua Irdina dan Aiman dalam sukan boling membuat mereka terpilih sebagai finalis Anugerah Sukan Singapura 2024.

Aiman dicalonkan dalam dua kategori:
'Olahragawan Lelaki Muda Terbaik' dan 'Olahragawan Lelaki Muda/Olahragawati Wanita Muda Pasukan Terbaik (Acara)' untuk Pasukan Muda Boling di Kejuaraan Boling Tenpin Asia ke-22

Irdina pula dicalonkan dalam kategori 'Olahragawan Lelaki Muda/Olahragawati Wanita Muda Pasukan Terbaik (Acara)' untuk Pasukan Muda Boling di Kejuaraan Boling Tenpin Asia ke-22

Sebanyak 13 anugerah akan disampaikan pada tahun ini.

Keputusan akan diumumkan di majlis yang berlangsung pada Isnin malam (3 Jun).

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan