Sokongan baharu dorong pekerja muda ComLink+ kembali ke sekolah; dorong kemajuan jangka panjang keluarga: Zhulkarnain
SINGAPURA: Golongan pekerja muda berpendapatan rendah sering berdepan dilema apabila ingin meningkatkan kemahiran.
Dalam satu wawancara susulan perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi MSF, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Zhulkarnain Abdul Rahim menjelaskan bagaimana langkah baharu di bawah ComLink+ dapat membantu mengatasi hambatan tersebut serta menyokong kemajuan jangka panjang keluarga.
Menurutnya, kos pengajian dan risiko kehilangan pendapatan antara hambatan yang menyebabkan sebilangan keluarga ComLink+ teragak-agak untuk mempertingkatkan diri.
Oleh itu, MSF melancarkan Projek Perintis Sokongan Peningkatan Kemahiran ComLink+ pada Januari lalu bagi merangsang peluang pekerjaan mereka.
Di bawah skim itu, individu ComLink+ berusia 18 hingga 39 tahun yang mengikuti pengajian sepenuh masa atau latihan vokasional akan menerima bantuan sara hidup asas serta insentif S$500 bagi setiap suku tahun.
"Selalunya ‘freelancers’ atau pekerja bebas seumpamanya atau pekerja muda di bawah usia 39 tahun, mereka rata-ratanya berasa bahawa mereka mungkin tidak dapat latihan SkillsFuture kerana mereka bukan usianya dan kedua, mereka rasa bahawa pekerjaan mereka bagaimana, dan pendapatan mereka itu tidak stabil," kongsi Encik Zhulkarnain kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Jika mereka mengambil "time-off" atau atau berhenti sebentar untuk meningkatkan kemahiran mereka, mereka akan terlepas peluang," tambah beliau.
GALAK PEKERJA MUDA REBUT PELUANG TINGKATKAN KEMAHIRAN
Dengan sokongan itu, Encik Zhulkarnain berharap ia dapat menggalak para pekerja muda di bawah ComLink+ untuk merebut peluang tingkatkan kemahiran.
"Kita harapkan dengan ini, lebih ramai lagi yang dapat meningkatkan kemahiran mereka kerana mereka mungkin ada peluang dan mungkin ada minat. Dengan adanya insentif seperti ini, mereka dapat membuat keputusan untuk kembali ke sekolah untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya dapat mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik, yang berpendapatan lebih tinggi," ujar Encik Zhulkarnain.
Malah, keluarga-keluarga di bawah ComLink+ juga menghadapi cabaran yang rumit.
"Saya rasa setiap keluarga berbeza dan mempunyai keperluan, cabaran yang berbeza. Mereka juga memerlukan jenis dan tahap sokongan yang berbeza," kongsi jurulatih keluarga, Nurul Huda Muhammad Akmal Tay kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Bagi kebanyakan keluarga, ia lebih rumit. Ia bukanlah satu kemajuan yang sangat mudah dan bagi sesetengah daripada mereka, ini mungkin kali pertama lalui sistem tertentu, terutama berhubung pendidikan atau penjagaan kesihatan," tambah beliau.
PENTING KERJASAMA TERUS DENGAN JURULATIH KELUARGA, LAKAR HURAIAN DAN PELAN TINDAKAN KHUSUS
Justeru, penting untuk mereka terus bekerjasama dengan jurulatih keluarga bagi melakarkan huraian dan pelan tindakan khusus untuk kemajuan jangka panjang, menurut Encik Zhulkarnain.
Bagi memperkukuh sokongan itu, pemerintah mengumumkan dalam Belanjawan 2026 pada 12 Februari lalu, bayaran kerjasama sebanyak S$500 setiap suku tahun bagi keluarga yang komited bekerjasama dengan jurulatih keluarga.
"Ia menandakan bahawa mereka juga dapat membuat satu perancangan atau bertindak mengikut pelan atau tindakan yang dilakarkan bersama mentor keluarga mereka dan mereka akan dapat satu insentif ataupun dorongan untuk berusaha dengan lebih gigih," ujar Encik Zhulkarnain.
Bagi kesihatan mereka pula, penerima bantuan ComLink+ berusia antara 25 hingga 39 tahun boleh menyertai skim SG Lebih Sihat.
Di peringkat nasional, skim itu buat masa ini hanya ditawarkan buat mereka berusia 40 tahun ke atas.
Encik Zhulkarnain berkata: "Ramai keluarga berpendapatan rendah kita atau di bawah ComLimk+ ini tidak menitikberatkan dan mementingkan kesihatan. Mereka lebih tertumpu mencari rezeki untuk keluarga."
"Kita harapkan bahawa dengan adanya integrasi bersama sosial dan kesihatan ini, kita dapat membantu mereka untuk mempermudahkan segala urusan kesihatan yang mungkin terlepas pandang oleh keluarga-keluarga ini."
"Kesihatan ini satu isu yang boleh mengakibatkan kesulitan kewangan pada masa hadapan jika tidak dikawal lebih awal terlebih dahulu,"
Bermula tahun hadapan, mereka akan ada rancangan kesihatan khusus dan subsidi untuk sesi penilaian kesihatan, pengambilan vaksin dan perubatan tertentu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.