Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sokongan baharu bagi pekerja diberhentikan kerja tidak gantikan pampasan sedia ada, kata Menteri MOM

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Feb 2024 07:31PM Dikemas Kini : 29 Feb 2024 09:42PM
SINGAPURA: Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng memberitahu Parlimen pada Khamis (29 Feb) bahawa sokongan baharu bagi golongan pekerja yang diberhentikan tidak akan menggantikan pampasan pemberhentian pekerja sedia ada.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Pritam Singh mengenai perincian skim sokongan yang akan dilancarkan lewat tahun ini.

"Apa yang kita ingin lakukan adalah menyediakan sokongan ini supaya para pekerja yang diberhentikan boleh mencari masa, mengambil lebih banyak masa untuk mencari pekerjaan yang sesuai untuk mereka, dan bukannya tergesa-gesa menerima apa sahaja pekerjaan yang mereka boleh dapat," kata Dr Tan.

Beberapa Anggota Parlimen juga bangkit bertanya tentang pendekatan Pemerintah bagi menangani cabaran untuk menggajikan semula pekerja.

AP GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat bertanya mengapa rakyat Singapura menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan baharu selepas menganggur selama lebih enam bulan.

Dr Tan berkata ia disebabkan oleh beberapa perkara termasuk jangkaan pemohon kerja itu sendiri dan jurang dalam set kemahiran yang diperlukan.

Menjawab satu lagi pertanyaan mengenai sokongan bagi sektor-sektor dengan kadar pemberhentian kerja yang tinggi, Dr Tan berkata kementeriannya akan mempertingkat program-program sedia ada yang bertujuan membantu para pekerja menukar pekerjaan dan meningkatkan kemahiran mereka.

Sementara itu, AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya: "Bolehkah menteri berkongsi mengenai pendekatan pemerintah untuk menggalak perniagaan-perniagaan mengutamakan latihan semula dan penempatan semula pekerja bagi para pekerjanya sebelum mengambil langkah untuk memberhentikan pekerja?"

"Kami sudah melancarkan jumlah besar inisiatif, bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak kami untuk berbuat demikian, untuk menggalakkan perniagaan-perniagaan supaya melabur dalam melatih semula pekerja mereka.

"Namun kami sedar, inisiatif-inisiatif ini boleh menelan belanja yang tinggi untuk perniagaan-perniagaan. Oleh itu, kami menyediakan sokongan untuk berkongsi kos itu bersama dengan majikan untuk melatih semula pekerja untuk menggalas peranan baharu atau meningkatkan peranan mereka," jelas Dr Tan.
Sumber : CNA/AI/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan