Skip to main content

Singapura

Sokongan akar umbi, pemimpin 4G penting dalam pemilihan Heng Swee Keat: Pengamat

Pemilihan Menteri Kewangan Heng Swee Keat sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Tindakan Rakyat dianggap sebagai pengiktirafan dan tanda kepercayaan pemimpin generasi keempat (4G) dan akar umbi terhadap kepimpinannya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Pemilihan Menteri Kewangan Heng Swee Keat sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Tindakan Rakyat dianggap sebagai pengiktirafan dan tanda kepercayaan pemimpin generasi keempat (4G) dan akar umbi terhadap kepimpinannya.

Demikian pengamatan Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat dalam satu wawancara bersama Berita Mediacorp.

“Kalau kita melihat proses politik Singapura ini, parti politik dan sebagainya, seorang pemimpin itu perlu mendapat sokongan dari akar umbi, iaitu aktivis-aktivis yang kemudian memainkan peranan penting sebagai saluran antara pemerintah dengan rakyat biasa. Jadi sokongan dari akar umbi itu penting... pemimpin akar umbi yang akan memilih siapakah yang akan memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP)."

Tambahnya, dasar-dasar pemerintah yang disampaikan kepada rakyat, biasanya dilakukan menerusi akar umbi atau PAP sendiri. Maka itu, sokongan para pemimpin masyarakat dan aktivis sangat penting.

“Sokongan yang diberikan kepada Encik Heng Swee Keat daripada aktivis-aktivis itu menunjukkan keyakinanan parti daripada bawahan bahawa beliau mempunyai kaliber untuk memimpin Singapura", kata beliau.

Encik Heng, akur Dr Norshahril, mempunyai keupayaan teknikal dalam bidang kewangan berdasarkan portfolio beliau sebagai menteri kewangan. Bagaimanapun, beliau berharap Encik Heng dapat lebih menonjol mengutarakan buah fikiran beliau mengenai isu sosial, domestik dan juga dasar-dasar berhubung luar negara,.

“Kita belum lagi melihat atau mendengar buah fikiran beliau tentang isu-isu lain seperti isu-isu domestik, isu-isu dasar keluarga, dasar masyarakat, serta juga isu-isu dasar luar misalnya - tentang hubungan Singapura dengan kuasa-kuasa besar Amerika Syarikat dan juga China. Walaupun beliau mungkin ada pandangan beliau sendiri tentang masalah kewangan yang dihadapi di peringkat global tapi dasar-dasar luarnya belum kita dengar secara jelas.

"Dan yang penting sekali adalah apakah pemikiran beliau tentang hubungan dua hala di rantau ini, negara-negara jiran kita seperti Malaysia dan juga Indonesia. Mungkin beliau ada pandangan tapi kerana portfolio yang beliau pegang iaitu kewangan, mungkin kita perlu mendengar dengan lebih jelas lagi apakah inisiatif-inisiatif baru yang akan diketengahkan oleh pemerintahan beliau.”

Beliau juga berpendapat, Singapura mahukan pemimpin yang bukan sahaja dapat mengimbangi keperluan masyarakat yang rencam tetapi juga tegas.

“Singapura adalah sebuah masyarakat yang rencam dan mungkin ada pelbagai pandangan yang diutarakan dalam masyarakat dan sama-sama kuat. Jadi, kita mahukan seorang pemimpin yang mendengar masalah-masalah dalam masyarakat, mengimbangi kedua-dua pandangan yang berbeza tapi dalam masa yang sama mengambil pendekatan yang tegas – apakah dasar-dasar yang perlu untuk membawa Singapura ke hadapan dan maju."

Dan beliau percaya, ia boleh dicapai menerusi gandingan mantap antara Encik Heng dan Encik Chan Chun Sing selaku Penolong Setiausaha Agung Kedua.

Kedua-dua pemimpin, menurut beliau, mempunyai kemampuan dan kekuatan masing-masing.

“Encik Heng dari segi keupayaan teknikal beliau dalam dasar kewangan. Kita lihat Encik Chan itu sendiri, berdasarkan pengalaman beliau dalam Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, ini adalah satu gandingan yang mantap, antara kedua-duanya untuk membawa Singapura ke hadapan, mengatasi masalah-masalah yang sukar.”

Dr Norshahril juga berkata, pendekatan Encik Heng dalam mendekati rakyat juga akan mempunyai kesan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sejauh ini kita lihat pemilihan parti PAP itu sendiri, tetapi di masa hadapan mungkin beliau perlu memimpin PAP untuk memenangi pilihan raya akan datang untuk memastikan beliau juga meraih sokongan daripada masyarakat," tambahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita