Skip to main content

Singapura

Sohibul korban SalamSG Korban mula terima daging korban minggu ini

Anggaran Waktu Membaca:
Sohibul korban SalamSG Korban mula terima daging korban minggu ini

Gambar hiasan kambing di Australia. (Gambar hiasan: Peter Parks/AFP)

SINGAPURA: Para sohibul korban yang membuat tempahan bagi penyembelihan kambing korban di Australia menerusi SalamSG Korban, akan mula menerima daging korban mereka minggu ini.

Mereka akan dihubungi Pengendali Korban yang Diluluskan bagi penghantaran daging korban ke rumah mereka.

Daging-daging korban yang didermakan sohibul korban juga akan diagihkan kepada para penerima Zakat, pekerja hijrahan dan golongan memerlukan.

Dalam wawancara BERITAmediacorp bersama Pengerusi Bersama SalamSG Korban, Khalid Shukur Bakri, beliau menganggarkan 300 hingga 800 individu daripada golongan tersebut akan menerima daging korban daripada SalamSG Korban tahun ini.

Pengagihan kepada golongan tersebut akan bermula pada pertengahan Julai.

PASUKAN DARI SG KE AUSTRALIA BAGI PASTIKAN SEMUANYA TERATUR

Kesemua 5,227 ekor kambing yang ditempah untuk ibadah korban oleh 52 masjid di sini telah selesai dan penyembelihan dilakukan di Australia pada 30 Jun lalu, bersamaan hari kedua Tasyrik (12 Zulhijjah).

Ia juga disaksikan sebuah pasukan pegawai masjid dan SalamSG Korban yang berangkat ke Australia bagi memastikan segalanya dijalankan mengikut aturan dan sebagai jaminan bagi sohibul korban.

Di sana, mereka memantau dan memastikan semua keperluan kawal selia seperti memiliki lesen yang sah dan pensijilan halal diluluskan oleh agensi berkaitan di Singapura dan Australia, dipenuhi oleh rumah penyembelihan yang dikendalikan oleh Pengendali Korban Sah (AKO).

Menurut Pengerusi SalamSG Korban, Ustaz Khairul Anwar Aznan, segala ibadah Korban telah dilaksanakan dengan sempurna.

"Pasukan dari SalamSG Korban mewakili semua sohibul korban yang menempah kambing Korban dari masjid-masjid kami. Berdasarkan pemantauan kami, ibadah Korban yang dilaksanakan oleh masjid-masjid di luar negara mematuhi tuntutan agama kita.

"Seperti nasihat oleh Pejabat Mufti (OOM), melakukan korban di luar negara tidak mengurangkan intipati dan syiar korban oleh para sohibul korban. Oleh itu, ibadah korban oleh orang Islam Singapura tidak berbeza dengan yang dijalankan di dalam negara," kata Ustaz Khairul.

Beliau berharap langkah tersebut dapat memperkukuh kepercayaan, keyakinan dan mengurangkan keprihatinan sohibul korban tentang korban mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita