SMU, SingHealth latih mahasiswa tadbir jagaan kesihatan
Mulai Januari tahun depan, para mahasiswa dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) boleh mendaftarkan diri bagi modul-modul khusus dalam bidang pengurusan jagaan kesihatan supaya mereka dapat melakukan pengkhususan kedua dalam bidang Pengurusan dan Ekonomi Kesihatan.
(Gambar Hiasan: Universiti Pengurusan Singapura, SMU)
SINGAPURA: Mulai Januari tahun depan, para mahasiswa dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) boleh mendaftarkan diri bagi modul-modul khusus dalam bidang pengurusan jagaan kesihatan supaya mereka dapat melakukan pengkhususan kedua dalam bidang Pengurusan dan Ekonomi Kesihatan.
Program itu dihasilkan khusus bagi melatih generasi baru pentadbir jagaan kesihatan untuk bersiap sedia bagi menyertai industri itu apabila tamat pengajian kelak.
"Buat masa ini, kami kerap merekrut para pentadbir jagaan kesihatan baru, namun tidak semestinya daripada industri tersebut.
"Oleh itu... mereka perlu menjalani proses latihan. Kita harus membolehkan mereka untuk menjalani latihan amali serta menjalani pelbagai program bekerja sambil belajar," kata Ketua Pegawai Operasi SingHealth, Tan Jack Thian, di majlis pemeteraian kerjasama itu yang diadakan pada Selasa (14 Ogos).
"Melalui program ini, kami berharap dapat memupuk sekumpulan pentadbir jagaan kesihatan yang bersedia menyertai industri ini, supaya mereka boleh menjalankan tugas mereka dengan segera."
Encik Tan menambah bahawa para pentadbir tersebut sangat penting dalam tempoh beberapa tahun akan datang kerana lebih banyak hospital, poliklinik dan rumah-rumah jagaan bakal dibuka.
Kurikulum, yang dihasilkan secara bersama oleh SMU dan SingHealth, akan meliputi beberapa trend yang semakin penting dalam sektor jagaan kesihatan. Ini termasuk modul dalam bidang rangkaian bekalan, analitik data dan sosiologi perubatan.
Beberapa kursus juga akan dikendalikan secara bersama oleh fakulti peringkat C-suite SingHealth.
Para mahasiswa juga mempunyai pilihan untuk menjalani program latihan amali selama 10 minggu atau enam bulan di institusi-institusi jagaan kesihatan SingHealth.
Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Amy Khor, yang menyaksikan pemeteraian kerjasama itu pada Selasa, berkata bahawa para pentadbir hospital memainkan peranan penting dalam memastikan agar para pesakit mempunyai pengalaman yang holistik semasa menjalani rawatan.
Program itu dibuka kepada semua mahasiswa tahun pertama dan kedua di SMU.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.