Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SMU mungkin ambil tindakan terhadap Lee Yan Ru jika didapati bersalah

Selepas seorang siswa daripada universiti lain dibawa masuk ke bilik belajar di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan didakwa dicabul kehormatannya, SMU mengetatkan langkah-langkah keselamatannya sementara menunggu kes mahkamah itu selesai sebelum memutuskan tindakan terhadap tertuduh.

Anggaran Waktu Membaca:
SMU mungkin ambil tindakan terhadap Lee Yan Ru jika didapati bersalah

Lee Yan Ru di Mahkamah Negara pada 7 Sep 2020. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 10 Sep 2020 04:57PM Dikemas Kini : 10 Sep 2020 05:00PM

SINGAPURA: Selepas seorang siswa daripada universiti lain dibawa masuk ke bilik belajar di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan didakwa dicabul kehormatannya, SMU mengetatkan langkah-langkah keselamatannya sementara menunggu kes mahkamah itu selesai sebelum memutuskan tindakan terhadap tertuduh.

SMU memberitahu Mediacorp dalam kenyataannya pada Khamis (10 Sep) bahawa tertuduh, Lee Yan Ru, 24 tahun, masih merupakan siswa universiti tersebut sementara menunggu keputusan perbicaraannya dan prosiding disiplin universiti berkenaan.

Perbicaraan bagi kes Lee bermula minggu ini. Dia dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang gadis berusia 22 tahun di bilik belajar SMU sekitar 6.30 pagi pada 8 Januari tahun lalu, dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Jurucakap SMU berkata universiti tersebut berpegang kepada "pendirian yang tegas terhadap sebarang salah laku".

"Memandangkan kes Lee Yan Ru masih di bawah siasatan polis, SMU tidak mempunyai butiran mengenai insiden itu sedang ia dibicarakan di mahkamah.




"Jika didapati bersalah atas tuduhan salah laku oleh universiti itu, beberapa tindakan, termasuk digantung atau dibuang sekolah, mungkin dikenakan terhadap Lee, bergantung kepada tahap salah laku yang didedahkan."

Beliau juga berkata universiti berkenaan sudah meningkatkan ciri-ciri keselamatan kampus menyusuli saranan-saranan daripada pasukan semakan disiplin pada tahun lalu.

Langkah-langkahnya termasuk mengunci semua laluan melalui kad akses pintu kecil dan pintu berputar di tingkat bawah secara elektronik atau melalui pengatup (shutter) sebelum tengah malam.

Gadis berkenaan yang didakwa dicabul Lee bertemunya antara 12.30 tengah malam dengan 1.00 pagi pada hari kejadian.

Kampus tersebut juga memasang lebih banyak kamera litar tertutup seperti di laluan akses bangunan dan di ruang-ruang umum. Ia juga memperluaskan liputan CCTV di luar tandas dan kemudahan tempat mandi.

Gadis itu mendakwa semasa perbicaraan bahawa Lee mengekorinya ke tandas wanita.

SMU turut memasang lebih banyak papan tanda amaran terhadap pencerobohan dalam tandas dan kemudahan tempat mandi, dan melakukan rondaan dengan lebih kerap di kampus dan semakan kamera CCTV di semua bangunannya dan kawasan kampus.

Semakan disiplin siswa juga membawa kepada penubuhan unit sokongan siswa. Unit tersebut adalah respons pertama bagi kes gangguan dan salah laku seksual, dan akan memberi sokongan dan jagaan profesional kepada para siswa yang terjejas oleh gangguan dan salah laku.

Pihak pendakwa menutup kes tersebut pada Rabu, dan kedua-dua pihak akan bertemu bulan depan bagi memutuskan tarikh perbicaraan selanjutnya.

Tertuduh dijangka akan memberikan keterangan dan peguam bela pula akan mengemukakan hujah selepas itu.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan