Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SMS badan tidak berdaftar dilabel 'mungkin penipuan' mulai 31 Jan

Mulai 31 Januari, kiriman pesanan ringkas (SMS) dari pertubuhan yang belum berdaftar dengan pendaftaran pusat SMS akan dilabelkan sebagai "kemungkinan penipuan".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai 31 Januari, kiriman pesanan ringkas (SMS) dari pertubuhan yang belum berdaftar dengan pendaftaran pusat SMS akan dilabelkan sebagai "kemungkinan penipuan".

Sebagai sebahagian daripada langkah untuk melindungi para pengguna daripada skim penipuan, setiap pertubuhan yang mengirimkan SMS menggunakan ID penghantar alfanumerik - label SMS yang mengandungi abjad atau nombor lazimnya dihantar melalui aplikasi - perlu berdaftar dengan Daftar ID Pengirim SMS Singapura (SSIR).

Rejim penuh SSIR itu tidak terpakai ke atas label SMS dengan nombor telefon yang dihantar oleh kad SIM dan yang mana ID penghantar itu terkait dengan nombor telefon yang unik.

Serupa dengan 'penapis skim penipuan' dan 'tong sampah penipuan', para pengguna yang menerima kiriman SMS tidak berdaftar yang diberi label "kemungkinan penipuan" atau "likely scam" harus berwaspada, kata Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Khamis (26 Jan).

"Secara kolektif, ini akan meningkatkan daya tahan kita terhadap penipuan," menurutnya.

Semua pertubuhan yang menggunakan ID penghantar alfanumerik perlu berdaftar awal dengan SSIR, menggunakan nombor entiti unik tempatan (UEN) Singapura supaya ID mereka boleh didaftar sebelum 31 Januari.

IMDA menambah bahawa perniagaan berpangkalan di luar negara boleh mendapatkan nombor UEN Singapura dengan mendaftarkan diri dengan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA), sama ada sebagai sebuah anak syarikat tempatan atau pejabat cawangan luar negara.

"Pertubuhan yang belum mendaftarkan ID penghantar mereka dinasihati supaya berbuat demikian," menurut IMDA.

Menurut agensi itu, lebih daripada 2,600 ID penghantar SMS telah berdaftar setakat Januari ini.

IMDA menyatakan ia sudah pun menghubungi pertubuhan-pertubuhan seperti Persekutuan Perniagaan Singapura, Dewan Perniagaan Antarabangsa Singapura dan Persatuan Bank di Singapura untuk menggalakkan mereka supaya mendaftarkan diri bagi SSIR.

"Sejak penubuhan SSIR pada Mac 2022, terdapat pengurangan sebanyak 64 peratus kes penipuan melalui SMS dari suku keempat 2021 hingga suku kedua 2022.

"Jumlah kes penipuan yang dijalankan melalui SMS merangkumi sekitar 8 peratus daripada aduan skim penipuan pada suku kedua 2022, merosot daripada 10 peratus pada 2021," menurut IMDA.

Meskipun dengan langkah-langkah baru itu, IMDA mengingatkan orang ramai supaya kekal berwaspada.

"Para penipu akan terus mengubah helah dan taktik mereka dan tiada langkah sempurna meskipun sedang kami terus memantau dan melaksanakan langkah tambahan," tambahnya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan