Skip to main content

Singapura

SMRT Trains didenda S$240,000 selepas kakitangan maut ketika bertugas di Depot Bishan

SMRT Trains diarah membayar denda S$240,000 pada Isnin (5 Mei) atas kegagalan dalam aspek keselamatan di tempat kerja yang menyebabkan kematian seorang kakitangan ketika bertugas di Depot Bishan.

Anggaran Waktu Membaca:
SMRT Trains didenda S$240,000 selepas kakitangan maut ketika bertugas di Depot Bishan

Sebuah mesin penekan hidraulik (kiri) di Depot Bishan dan gambar fail sebuah kereta api SMRT (kanan) di depoh berkenaan. (Gambar: Dokumen mahkamah, CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: SMRT Trains diarah membayar denda S$240,000 pada Isnin (5 Mei) atas kegagalan dalam aspek keselamatan di tempat kerja yang menyebabkan kematian seorang kakitangan ketika bertugas di Depot Bishan.

Muhammad Afiq Senawi, seorang pegawai teknikal berusia 30 tahun, meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian muka dan dada ketika mengendalikan mesin penekan hidraulik.

Apabila kejadian itu berlaku pada 23 Mac 2020, Encik Afiq sudah bekerja di SMRT selama lebih dua tahun.

SMRT mengaku bersalah atas satu tuduhan gagal melaksanakan langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangannya, iaitu satu kesalahan yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak S$1 juta.

Pada hari kejadian, Encik Afiq sedang mengendalikan mesin penekan hidraulik bersama seorang lagi pegawai teknikal di sebuah bengkel penyelenggaraan di Depot Bishan.

Beliau memasukkan komponen baharu ke dalam mesin tersebut tanpa mengeluarkan komponen yang lama terlebih dahulu.

Ini menyebabkan komponen baharu itu menjadi tidak sejajar dan tekanan terkumpul dalam mesin tersebut.

Batang besi yang tidak dipasang dalam mesin itu kemudian terpelanting keluar dan menembusi pagar logam di sekeliling mesin itu sebelum ia melanggar bahagian bawah rahang Encik Afiq.

Beliau dirawat di tempat kejadian dan di hospital, di mana beliau kemudian meninggal dunia.

SMRT mengaku gagal memasang tolok tekanan selepas mesin itu dibuka untuk kerja-kerja pembaikan, walaupun ia adalah langkah keselamatan yang tertera dalam manual operasi mesin tersebut.

Tolok tekanan mesin itu dicatatkan sebagai rosak sejak Jun 2018 dan seorang pengurus penyelenggaraan kejuruteraan mengarahkan supaya ia dibuka.

Namun beliau terlepas pandang untuk memasangnya kembali.

Pekerja tidak diperlukan untuk memantau tekanan semasa mengendalikan mesin tersebut.

Pihak pendakwa Kementerian Tenaga Manusia Kimberly Boo berkata tolok tekanan itu bagaimanapun dapat memberikan isyarat kepada kakitangan jika terdapat sebarang peningkatan dalam tekanan apabila mesin itu digunakan.

SMRT juga gagal mengehadkan tekanan maksimum mesin tersebut menerusi penggunaan injap tekanan, yang dapat mengurangkan pendedahan para kakitangan kepada kuasa jauh lebih besar daripada yang diperlukan bagi kegunaan mesin itu.

Tekanan maksimum bagi mesin penekan hidraulik itu dianggarkan sekitar 98 tan, yang jauh melebihi tekanan yang diperlukan untuk mengendalikan tugas mengeluarkan dan memasang komponen mesin pada hari itu, yang masing-masing mempunyai berat 1.4 tan dan 3.3 tan.

Pengendali kereta api itu juga gagal memastikan bahagian dalam mesin itu dipasang dan dikunci bagi mengelakkan berlaku sebarang anjakan komponen.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita