Skip to main content

Singapura

SMRT tegaskan pelantikan Neo Kian Hong berdasarkan nilai peribadi dan ciri kepimpinan

Syarikat pengendali kereta api, SMRT, hari ini (21 Apr) menegaskan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif barunya, Encik Neo Kian Hong, dilantik kerana beliau berpegang kepada nilai-nilai penting dan mempunyai ciri-ciri sebagai seorang ketua.

Anggaran Waktu Membaca:
SMRT tegaskan pelantikan Neo Kian Hong berdasarkan nilai peribadi dan ciri kepimpinan

Encik Neo Kian Hong. (Gambar: Kian Hong Neo/ Facebook)

Diterbitkan : 21 Apr 2018 08:02PM Dikemas Kini : 21 Apr 2018 08:04PM

SINGAPURA: Syarikat pengendali kereta api, SMRT, hari ini (21 Apr) menegaskan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif barunya, Encik Neo Kian Hong, dilantik kerana beliau berpegang kepada nilai-nilai penting dan mempunyai ciri-ciri sebagai seorang ketua.

Dalam rencana forum Straits Times, Naib Presiden Komunikasi Korporat SMRT Cik Margaret Teo turut menggariskan "beberapa kriteria utama dan pertimbangan" dalam pemilihan ketua baru SMRT.

"Panel yang menemu duga Encik Neo Kian Hong berasa kagum terutama sekali dengan nilai-nilai keperibadiannya dan ciri-ciri kepimpinannya," tulis beliau. Beliau menambah, pengalaman dalam industri turut "dipertimbangkan dalam proses (pemilihan)".

Surat Cik Teo sebagai menjawab rencana forum Straits Times yang diterbitkan pada Khamis (19 Apr), di mana seorang penulis, Dr Michael Loh Toon Seng menyatakan bahawa beliau "kecewa" dengan keputusan SMRT untuk memilih "seorang lagi ketua eksekutif" yang tidak mempunyai "pengalaman yang relevan".

Encik Neo, 54, masih menyandang jawatan Setiausaha Tetap bagi Pembangunan Pertahanan. Beliau juga merupakan mantan Ketua Pasukan Pertahanan dan dilantik sebagai seorang pengarah bukan eksekutif Singapore Technologies Engineering pada Jun lalu.

"Dengan segala hormatnya, mengapa mereka melantik seorang lagi ketua SMRT yang sama sekali tidak mempunyai pengalaman dalam industri pengangkutan, tidak pernah bekerja dalam sektor privet atau menyandang jawatan dalam lembaga mana-mana syarikat, apa lagi dalam syarikat dengan nilai S$1 bilion?," tulis Dr Loh.

Sebagai menjawab kenyataan itu, Cik Teo berkata bahawa panel juga menilai sama ada calon memahami tentang kepentingan dalam sektor pengangkutan awam tempatan.

"Panel juga menimbangkan tentang kelayakan Encik Neo dalam bidang kejuruteraan. Mereka juga yakin beliau boleh bekerja dengan pasukan jurutera landasan yang komited dan profesional," tulis beliau.

"Sebagai pengerusi DSO National Laboratories dan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas serta keupayaan dalam bidang kejuruteraan, sistem perolehan dan penyenggaraan."

Oleh sebab itu, SMRT memutuskan untuk memberikan jawatan ini "kepada seorang rakyat tempatan yang mempunyai nilai kepimpinan yang baik dan semangat untuk berkhidmat dengan SMRT dan, paling penting sekali, untuk penumpang kami," tulis beliau. Beliau juga menyatakan bahawa Encik Neo mampu memberi motivasi dan memupuk semangat yang tinggi dalam kalangan kakitangannya.

Pelantikan Encik Neo akan berkuat kuasa pada 1 Ogos selepas Encik Desmond Kuek melepaskan jawatannya.

Encik Kuek, CEO SMRT buat masa ini, juga merupakan mantan Ketua Pasukan Pertahanan. Beliau akan melepaskan jawatannya selepas berkhidmat selama lima setengah tahun dengan SMRT.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita