SMRT siasat gangguan kereta api di Laluan Circle, NSL
SMRT menyatakan pihaknya sedang menyiasat masalah bekalan tenaga yang berlaku pada pagi Ahad (26 Mei) yang menyebabkan gangguan pada khidmat kereta api di Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Circle (CCL).
Gangguan khidmat MRT pada pagi 26 Mei (Gambar ihsan: Kannan)
SINGAPURA: SMRT menyatakan pihaknya sedang menyiasat masalah bekalan tenaga yang berlaku pada pagi Ahad (26 Mei) yang menyebabkan gangguan pada khidmat kereta api di Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Circle (CCL).
Dalam catatan Facebook yang memberikan perincian mengenai insiden hari ini, SMRT menyatakan masalah bekalan tenaga pertama berlaku pada 4.45 pagi di stesen MRT Raffles Place di laluan NSL.
Apabila khidmat kereta api bermula, kekerapan operasinya terjejas antara stesen Newton dengan Marina South Pier.
Menurut SMRT, khidmat kereta api beransur pulih secara bertahap-tahap sejak 7.25 pagi selepas para juruteranya dikerahkan untuk menangani masalah itu.
Sekitar setengah jam selepas SMRT mengumumkan di Twitter bahawa masalah di NSL sudah ditangani, ia mengumumkan satu lagi masalah bekalan tenaga di CCL yang tidak berkaitan dengan insiden sebelumnya.
Menurut SMRT lagi, masalah bekalan tenaga di CCL berlaku pada 7.35 pagi antara stesen Marina Bay dengan Bayfront. SMRT menambah bahawa khidmat kereta api kembali beroperasi seperti biasa sekitar 7.50 pagi.
Ini disusuli dengan masalah yang sama di NSL. Pada 8.26 pagi, SMRT menulis di Twitter bahawa masalah yang sama mengakibatkan khidmat kereta api ditiadakan antara Orchard dengan Marina South Pier.
Khidmat kereta api disambung semula sekitar 8.50 pagi.
Khidmat bas percuma disediakan sepanjang tempoh gangguan tersebut. Pengendali kereta api itu menambah, para kakitangannya turut dikerahkan ke stesen-stesen terjejas bagi membantu para penumpang.
SMRT menyatakan pihaknya sedang menyiasat punca insiden dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami para penumpang akibat gangguan khidmat kereta api.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.