Skip to main content

Singapura

SMRT, SBS Transit tingkat keandalan khidmat MRT, perkenal komponen tenaga baharu

Anggaran Waktu Membaca:
SMRT, SBS Transit tingkat keandalan khidmat MRT, perkenal komponen tenaga baharu

SMRT melabur lebih S$1 juta dalam sebuah mesin 'welding' baharu bagi meningkatkan mutu landasan di seluruh rangkaiannya. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Para pengendali sistem MRT di Singapura sedang memperhebatkan usaha bagi meningkatkan keandalan landasan dan sistem tenaga bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selamat untuk penumpang.

Sebagai contoh, SMRT melabur lebih daripada S$1 juta bagi sebuah mesin kimpalan (welding) baharu untuk meningkatkan mutu landasan di seluruh rangkaiannya - sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengukuhkan keandalan keseluruhan sistem MRT.

Langkah ini diambil kerana landasan menjadi haus selepas digunakan selama beberapa dekad.

Bagi menangani isu ini dan memastikan keselamatan rangkaian, SMRT menjalankan kerja penggantian landasan setiap hari.

NAIK TARAF PRASARANA MRT

Sejak Februari lalu, SMRT menggunakan mesin kimpalan 'flash butt' baharu untuk menyambung segmen landasan dengan lebih lancar dan tepat berbanding sebelum ini.

Mesin tersebut beroperasi setiap hari dari pukul 1.30 pagi hingga 4.30 pagi, menggabungkan dua segmen landasan sepanjang 18 meter menjadi satu segmen sepanjang 36 meter.

Sekitar lima segmen dihasilkan setiap malam dan dihantar ke seluruh rangkaian Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat bagi menggantikan landasan yang rosak atau haus.

SMRT menyatakan mesin itu memberikan ketekalan yang lebih tinggi kerana sistem automatiknya meluruskan kedua-dua segmen landasan dengan tepat.

Ini menandakan perubahan daripada kaedah manual yang sebelum ini menggunakan logam cair untuk menyambung landasan melalui acuan.

“Sistem ini direka khas untuk landasan kami yang unik dan terhad dari segi ruang di Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat,” kata Encik Guan Junwei, timbalan pengarah penyenggaraan prasarana landasan di SMRT Trains.

“Ini meningkatkan kecekapan kami sebanyak 20 peratus dan menambah baik tahap keandalan.”

SMRT menambah bahawa mesin baharu ini juga mengurangkan masa kimpalan daripada 40 minit kepada hanya 15 minit, serta berupaya mengurangkan tenaga kerja untuk mengendalikannya.

Setakat ini, lapan jurutera dan kakitangan teknikal dilatih untuk menyokong operasi dan penyenggaraan mesin tersebut.

Syarikat itu juga menyatakan bahawa ia akan terus melabur dalam tenaga kerja dan teknologi bagi meningkatkan operasi sistem MRT.

PENGGANTIAN KOMPONEN UTAMA

Sementara itu, beberapa komponen tenaga di Laluan Timur Laut (NEL)sedang diganti lebih awal daripada yang dijadualkan.

Stesen Potong Pasir, yang dikendalikan oleh SBS Transit, merupakan yang pertama di sepanjang NEL menerima penggantian 'rectifier transformer'.

Komponen ini, yang membekalkan tenaga elektrik untuk menggerakkan MRT, diganti lebih awal bagi memastikan prestasi dan keselamatan berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Divisyen MRT SBS Transit, Encik Lee Yam Lim, berkata 'rectifier transformer; biasanya mempunyai jangka hayat sekitar 30 tahun.

“Namun, kami tidak akan menunggu sehingga 30 tahun sehingga ia rosak untuk menukarnya. Buat masa ini, 'rectifier transformer' tersebut telah beroperasi selama kira-kira 23 tahun,” katanya.

“Jadi kami menjalankan pemantauan berterusan, menilai keadaan beban dan faktor risiko sebelum melakukan penggantian.”

Beliau menekankan bahawa penyenggaraan pencegahan amat penting bagi mengekalkan keandalan sistem untuk para penumpang harian.

Lebih 50 orang terlibat dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan, yang mengambil masa satu hujung minggu bagi setiap penggantian. Setelah dipasang, 'transformer' baharu perlu diuji sebelum digunakan sepenuhnya.

Terdapat 16 'rectifier transformer' di NEL, dan SBS Transit merancang untuk menyelesaikan semua kerja penggantian dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pelan untuk menggantikan 'rectifier transformer' pada sistem LRT Sengkang-Punggol serta Laluan Circle juga sedang dirancang.

Bulan lalu, sebuah pasukan petugas keandalan MRT baharu dibentuk, terdiri daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), SMRT dan SBS Transit.

Langkah ini diambil selepas sekurang-kurangnya 15 gangguan MRT berlaku dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

Antara peranannya adalah mengenal pasti komponen yang perlu diganti, dinaik taraf, atau memerlukan penyenggaraan tambahan, serta menilai sama ada program pembaharuan sistem tenaga NEL boleh dipercepatkan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita