Skip to main content

Singapura

SMRT didenda S$3 juta atas kelemahan operasi, penyenggaraan hingga cetus gangguan EWL

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jun 2025 06:05PM Dikemas Kini : 03 Jun 2025 11:10PM
SINGAPURA: Pengendali pengangkutan awam SMRT akan didenda S$3 juta atas kelemahan-kelemahan yang membawa kepada insiden dan gangguan MRT selama enam hari berikutnya di Laluan Timur-Barat (EWL) pada September 2024.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Selasa (3 Jun), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan bahawa kelemahan-kelemahan itu termasuk kerja-kerja penyenggaraan yang dilanjutkan menjangkaui jadual yang ditetapkan, disebabkan oleh kelengahan pada ketibaan MRT baharu akibat COVID-19.

Sistem amaran yang tidak berfungsi pada hari kejadian mungkin boleh mencegah gangguan itu, menurut laporan Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) yang turut dikeluarkan pada Selasa (3 Jun).

Pada 25 Sep, komponen rosak yang dikenali sebagai kotak gandar (axle box) tertanggal dari MRT dan jatuh ke landasan, menyebabkan 'undercarriage bogie' - atau kekaki bogi - tercabut dari landasan antara Stesen MRT Dover dan Clementi.

Ini mengakibatkan kerosakan yang meluas pada landasan dan peralatan lain, dan menjejas perkhidmatan MRT di sembilan stesen dari Boon Lay ke Queenstown.

Dianggarkan 500,000 daripada 2.8 juta perjalanan MRT terjejas setiap hari sepanjang tempoh gangguan tersebut, dengan perkhidmatan MRT disambung semula enam hari kemudian pada 1 Okt.
Bas yang menawarkan khidmat ulang-alik percuma menunggu di Stesen MRT Buona Vista menyusuli gangguan pada Laluan Timur-Barat pada 26 Sep 2024. (Gambar: CNA/Vanessa Lim)
MENGAPA DENDA S$3 JUTA?

Dalam menentukan denda sebanyak S$3 juta, LTA menyatakan bahawa ia mengambil kira SMRT telah menanggung kos pembaikan serta menyediakan bas ulang-alik percuma, perkhidmatan bas biasa dan perkhidmatan MRT ulang-alik di stesen-stesen yang terjejas.

SMRT juga menyediakan perjalanan percuma kepada penumpang yang turun di Stesen Jurong East dan Buona Vista sepanjang enam hari gangguan itu berlaku.

Jumlah kos pemulihan perkhidmatan SMRT berjumlah lebih S$10 juta.

Pembayaran denda itu yang akan dikutip oleh LTA akan disalurkan kepada Dana Pengangkutan Awam, yang akan membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan pengangkutan awam mereka.

SMRT akan diberi peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Pengangkutan.

PENGAJARAN YANG DIPEROLEHI

Selepas kejadian itu, SMRT telah menarik balik perkhidmatan semua MRT KHI yang telah melebihi perjalanan 500,000 km sejak baik pulih terakhirnya, kata LTA. Ia kemudian menjalani aktiviti baik pulih untuk kotak gandar sebelum khidmatnya disambung semula, dan kerja-kerja itu telah disiapkan pada Oktober 2024.

LTA juga telah membangunkan program penghantaran dipercepatkan untuk MRT Movia yang baharu, dengan sokongan sumber tambahan daripada SMRT dan pelbagai kontraktor, untuk mengurangkan kelengahan akibat COVID-19. Ini akan membolehkan semua khidmat MRT KHI ditamatkan menjelang suku ketiga 2025.

SMRT menyatakan dalam catatan Facebooknya pada Selasa (3 Jun) bahawa ia akan terus bekerjasama rapat dengan LTA untuk "menyokong usaha pembaharuan dan peningkatan aset, menyediakan penyenggaraan MRT yang berkesan dan mengekalkan prestasi sistem".

LTA selanjutnya akan menjalankan audit untuk menilai kesempurnaan penilaian kejuruteraan pengendali rel; dan kesesuaian sebarang langkah yang dilaksanakan seperti pelarasan operasi, pemantauan yang dipertingkatkan dan peningkatan kerja-kerja penyenggaraan, kata TSIB.

Kumpulan Kerja Semakan Keselamatan dan Keandalan Rel juga telah ditubuhkan oleh SMRT, LTA dan Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan untuk menyemak dan meningkatkan sistem dalam bidang-bidang seperti pengurusan kitaran hayat, pembaharuan aset, peningkatan sistem dan amalan penyenggaraan merentasi ekosistem rel.

“Sebagai sebahagian daripada semakan itu, kumpulan kerja itu juga telah melibatkan pengendali kereta pai bawah tanah luar negara di Guangzhou dan Taipei untuk pembelajaran bersama,” kata LTA.
Sumber : CNA/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita