Skip to main content

Singapura

SME SG dibantu guna AI, Lenovo peruntuk hingga S$1 juta cipta bersama 10 prototaip

Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) akan diberikan bantuan supaya dapat menggunakan kecerdasan buatan atau AI, untuk mencipta aliran kerja atau metrik perniagaan.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Jan 2026 09:34PM Dikemas Kini : 15 Feb 2026 09:57AM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) akan diberikan bantuan supaya dapat menggunakan kecerdasan buatan atau AI, untuk mencipta aliran kerja atau metrik perniagaan.

Syarikat teknologi Lenovo memperuntukkan sehingga S$1 juta bagi sokongan hadwe, kejuruteraan dan khidmat latihan, untuk mencipta secara bersama 10 prototaip AI.

Tujuannya adalah untuk memaparkan bagaimana alat-alat digital dan AI dapat diterapkan dalam setiap operasi seperti sistem mengoptimumkan jumlah pelanggan runcit dan khidmat pelanggan makanan dan minuman (F&B) automatik.

Antara hasilnya mungkin memperhalusi proses harian dengan penggunaan 'chatbot' atau jalan penyelesaian untuk membantu pengilangan dan logistik.

Perjanjian tersebut diumumkan di Festival AI Asia, anjuran Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME).

Salah satu tumpuan utama tahun ini adalah untuk membentuk apa yang disebut sebagai pekerja "fasih AI", iaitu yang berupaya merapatkan jurang antara alat teknikal dengan nilai-nilai perniagaan.

"Pengukuhnya ialah kepercayaan kami untuk membantu SME membentuk semula pekerjaan dan bukan sahaja bergantung kepada pendekatan mengurangkan jumlah pekerja dan mengurangkan kos sahaja.

"Kami maklum bahawa gaji semakin naik, dan tindak balas kami seharusnya adalah menyingkirkan tugasan bernilai rendah dan mencipta jawatan fasih AI yang baharu, bagi memastikan pekerjaan kekal bermakna dan syarikat menjadi berdaya saing," kata Presiden ASME, Ang Yuit.

"Sepanjang beberapa bulan akan datang, Enterprise Singapore juga akan bekerja rapat dengan syarikat-syarikat untuk mengenal pasti masalah dan bekerjasama dengan industri untuk mencari penyelesaian yang lebih memenuhi keperluan SME.

"Nantikan pengumuman daripada pemerintah dalam beberapa minggu atau bulan yang akan datang.

"Kami akan yakinkan anda bahawa kami serius dalam menggalakkan penggunaan AI dalam semua syarikat-syarikat kita, bukan hanya untuk yang sudah maju," kata Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital, Jasmin Lau.
Sumber : CNA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita