Skip to main content

Singapura

SMCCI, Maybank meterai MOU pacu inisiatif halal, pertumbuhan SME di SEZ Johor-SG

Anggaran Waktu Membaca:
SMCCI, Maybank meterai MOU pacu inisiatif halal, pertumbuhan SME di SEZ Johor-SG

SMCCI, Maybank meterai MOU pacu inisiatif halal, pertumbuhan SME di SEZ Johor-SG. (Gambar: Maybank)

Diterbitkan : 11 Jul 2025 02:26PM Dikemas Kini : 11 Jul 2025 02:30PM
KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (SMCCI) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Maybank Singapore Ltd bagi memperkukuh inisiatif yang memberi tumpuan kepada industri halal serta menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (SME) di kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat (11 Jul), SMCCI dan Maybank Singapore memaklumkan bahawa kerjasama itu akan menumpukan kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan akan diperluas ke seluruh rantau ASEAN.

“SMCCI akan memberi bimbingan kepada ahlinya berkaitan penubuhan perniagaan, kemasukan pasaran, penyelesaian ruang kerja, perkembangan dasar serta risikan pasaran.

“Maybank pula akan melengkapi usaha SMCCI melalui penyediaan rangkaian lengkap huraian perbankan, selain meneruskan kolaborasi sedia ada menerusi ‘myimpact Microbusiness Programme’, yang memperkasa usahawan kurang mendapat perkhidmatan melalui latihan perniagaan, bimbingan dan dana permulaan,” menurutnya.

Sekitar 300 anggota SMCCI bakal meraih manfaat daripada sokongan yang dipertingkat ini serta peluang yang diperluaskan di peringkat serantau.

Presiden SMCCI Dr Abdul Malik Hassan berkata pihak dewan melihat permintaan yang semakin meningkat daripada ahlinya untuk meneroka peluang di JS-SEZ dan rantau ini, khususnya dalam sektor halal.

“Dengan bekerjasama bersama Maybank, kami memperkukuh ekosistem sokongan kepada para usahawan yang bersedia untuk berkembang.

"Bersama-sama, kami berhasrat memudahkan pertumbuhan rentas sempadan dan membantu perusahaan milik Melayu/Muslim di Singapura meneroka landskap serantau,” katanya.

Ketua Perbankan Islam Maybank Singapore Sazzali Sabandi berkata ekonomi halal merupakan sektor yang berkembang pesat dengan potensi besar di seluruh ASEAN.

Beliau berkata minat yang semakin meningkat dari Thailand, Vietnam dan Kemboja juga membolehkan negara-negara tersebut merebut sebahagian daripada pasaran halal global, yang dianggarkan mencecah US$5 trilion (S$6.4 trilion) menjelang 2030.

“Dengan kehadiran Maybank di kesemua 10 negara ASEAN, kami berupaya menyokong SME dengan huraian kewangan dan alat yang tepat untuk merebut peluang rentas sempadan,” katanya.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita