Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SM Tharman umum usaha peringati legenda P Ramlee

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah jawatankuasa berbilang kementerian ditubuhkan bagi mengusahakan sebuah projek bagi memperingati legasi P Ramlee.

Jawatankuasa yang diterajui Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) itu juga melibatkan beberapa agensi lain termasuk Lembaga Warisan Negara dan Lembaga Perpustakaan Negara.

Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam mengumumkan usaha tersebut di majlis pecah tanah bagi merasmikan kerja-kerja peningkatan Jalur Budaya Geylang Serai pada Sabtu (10 Jun).

"Saya sudah berbincang dengan para menteri, Dr Maliki, Encik Masagos dan Encik Edwin Tong. Kementerian-kementerian itu sudah bersetuju yang kita akan lakukan sesuatu untuk mengabadikan warisan P Ramlee buat generasi akan datang. Bukan sahaja sebagai sesuatu dari masa lalu tetapi sebagai bahagian berterusan dalam budaya pelbagai kaum Singapura," jelas Encik Tharman dalam ucapannya.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Allahyarham P Ramlee merupakan seorang seniman untuk semua kaum di Singapura dengan karya-karyanya dinikmati segenap lapisan masyarakat, tidak kira kaum mahupun usia.

"Beliau selalu tumpukan perhatian kepada orang biasa, kedua-duanya dalam kisah komedi mahupun sedih tentang orang biasa. Ceritanya selalu berkisarkan tentang masyarakat. Walaupun dalam komedi-komedinya, ada sudut masyarakat padanya. Jadi, beliau seseorang yang istimewa," kata Encik Tharman.

Dalam ucapannya itu, Encik Tharman juga sempat menyanyikan bait-bait lagu Getaran Jiwa:

Getaran Jiwa
Melanda Hatiku
Tersusun Nada
Irama dan Iagu

Encik Tharman berkata meskipun lagunya mudah tapi cukup menggoncang jiwa dan mengusik nurani.

"Saya baru-baru ini menulis di Facebook tentang P Ramlee dan saya terkejut melihat respon yang saya terima dari semua orang dari semua kaum dan ternyata, ramai yang mahu kita lakukan lebih untuk abadikan legasinya buat generasi akan datang," jelas Encik Tharman.

Beliau juga gembira dimaklumkan tentang usaha WGS yang akan menayangkan filem-filem P Ramlee di Persada Budaya mulai Julai.

Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai, Dr Mohamad Maliki Osman, turut menyokong dan mengalu-alukan usaha ini. 

"Saya rasa terharu apabila SM Tharman mengajukan projek ini di mana beliau ingin kita sama-sama sebagai satu masyarakat memajukan karya-karya Allahyarham P Ramlee. Ini saya rasa adalah langkah pertama untuk kita sama-sama akur bahawa penting untuk kita menghargai sumbangan Allahyarham P. Ramlee dan yang penting juga adalah bahawa anak-anak muda kita tahu apakah sumbangannya," kata Dr Maliki Osman.

Beliau berharap bahawa dengan usaha untuk mengabadikan karya-karya P. Ramlee, ia dapat menjadi pemacu dan inspirasi buat anak-anak muda yang berkecimpung dalam arena seni.

A
Gambar: Sumber Web 

KEPRIHATINAN ENCIK THARMAN TERHADAP MASYARAKAT MELAYU DIHARGAI

Dalam pada itu, Dr Maliki turut memuji Encik Tharman yang terus menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

"Encik Tharman merupakan pemimpin yang begitu intim hubungannya dengan masyarakat Melayu, beliau juga sangat sensitif dengan pembangunan masyarakat Melayu. Geylang Serai menjadi salah satu ikon di mana beliau ingin terus melihat pembaharuan dan menjadi pusat di mana ramai masyarakat Melayu kita terus ke sini," kata Dr Maliki.

Meskipun projek Jalur Budaya Geylang Serai itu lebih tertumpu kepada budaya Melayu dan warisan Geylang Serai, Dr Maliki menekankan bahawa ia adalah untuk semua rakyat Singapura.

Semangat inklusif ini kata Dr Maliki juga ditonjolkan Encik Tharman.

"Dia merupakan satu 'champion' dari segi aspek masyarakat kita yang berbilang kaum ini. Beliau merupakan seseorang yang begitu inklusif dari segi pemandangan beliau dan kita begitu terharu dengan sumbangan beliau terhadap masyarakat kita dan keprihatinan beliau terhadap masyarakat dan pembangunan masyarakat kita," tambah Dr Maliki.

Menteri Kanan Tharman juga melahirkan penghargaannya kepada semua yang memainkan peranan dan mengambil bahagian dalam menjayakan keseluruhan proses menjayakan projek Jalur Budaya itu.

Menurut beliau, ia melibatkan sekitar 10,000 individu.

Ini termasuk mereka yang memberi maklum balas, menyumbang idea dan mengambil serta dalam pertandingan rekaan.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan