Skip to main content

Singapura

SM Teo lancar kapal selam keempat RSN kelas Invincible di Jerman

Anggaran Waktu Membaca:
SM Teo lancar kapal selam keempat RSN kelas Invincible di Jerman

Kapal selam baru 218SG, Impeccable setelah dirasmikan di Kiel, Jerman pada 13 Dis 2022. (Gambar: AFP/Gregor Fischer)

SINGAPURA: Kapal selam baharu Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) kelas Invincible dilancarkan di bandar Kiel di Jerman.

Dipanggil 'Inimitable', ia merupakan yang terakhir daripada empat kapal selam, yang direka bentuk khas buat Singapura.

Di acara pelancaran kapal selam tersebut, Menteri Kanan Teo Chee Hean berkata, Singapura memerlukan rakan kerjasama yang kukuh dan berwibawa di seluruh dunia bagi mengharungi cabaran-cabaran bersama seperti melindungi laluan maritim global.

Kapal selam baharu lagi canggih itu dibina khusus bagi perairan tropika yang lebih hangat.

"RSN memainkan peranan penting dalam memastikan laluan perkapalan yang selamat dan dilindungi di perairan sekitar Singapura, dan lautan yang bersambung di Laut India dan Laut China Selatan," kata Encik Teo.

"Ia berbuat demikian dengan kerjasama tentera laut lain. Kapal-kapal selam baharu kami akan meningkatkan keupayaan RSN dalam memenuhi misi melindungi laluan perhubungan laut di rantau kita. Semua negara akan meraih manfaat apabila laut kita selamat dan terlindung," tambahnya.

Perjalanan ke arah pemodenan RSN bermula pada 2013 apabila Kementerian Pertahanan (MINDEF) memeterai kontrak dengan syarikat ThyssenKrupp atau TKMS, untuk memperoleh dua kapal selam jenis 218 SG.

Lagi dua kapal selam kemudian dibeli pada 2017.

Kapal selam kelas Invincible sepanjang 70 meter tersebut bertujuan menggantikan kapal Challenger dan Archer-class yang semakin usang dan dibina lebih 40 tahun lalu.

Kapal-kapal selam baharu itu juga direka khas bagi persekitaran operasi dan kakitangan Singapura.

Contohnya, mempunyai ruang yang lebih sesuai buat tubuh rakyat Singapura.

"Ia direka untuk melihat dengan lebih baik, mengesan lebih jauh dan bertindak lebih pantas, bagi mendorong kami mencapai kejayaan misi. Pasukan projek menyerap pelbagai teknik inovasi reka bentuk, model dan simulasi untuk mengenal pasti huraian-huraian ideal yang memenuhi syarat-syarat teknikal Tentera Laut sambil mengoptimumkan teknik penghasilan," kata Ketua Operasi, Pejabat Projek Kapal Selam RSN, Leftenan Kolonel Xander Lim.

Sebelum menghadiri upacara pelancaran kapal selam 'Inimitable' ini, SM Teo juga bertemu dengan Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius.

Kedua-dua pihak mengesahkan hubungan pertahanan yang kukuh lagi mendalam antara Jerman dengan Singapura serta kerjasama dua hala bagi program kapal selam.

SM Teo menambah, kerjasama Singapura-Jerman akan berterusan, dengan TKKMS menyediakan latihan teknikal bagi anggota RSN.
Sumber : CNA/NY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita