SM Lee utus surat takziah kepada balu Almarhum Syed Isa Semait
Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Isnin (7 Jul) mengutus surat takziah kepada balu mantan Mufti Negara Syed Isa Semait.
Kepimpinan Almarhum Syed Isa meletakkan MUIS di barisan hadapan pemikiran dan amalan Islam di Singapura. (Gambar: MUIS)
Dalam suratnya kepada Puan Sharifah Muznah Mohammad Alhaddad, SM Lee menzahirkan rasa dukacita mendalam atas pemergian tokoh ulung agama Islam, yang sudah dikenalinya sejak 1988.
"(Pada waktu itu) Parlimen sedang menimbangkan usulan untuk mewujudkan kumpulan perwakilan berkumpulan demi memastikan kaum minoriti diwakili di parlimen. Saya merupakan anggota Jawatankuasa Pilihan yang menimbangkan pindaan Perlembagaan itu.
"Shaikh, yang pada waktu itu adalah Mufti, tampil semasa perundingan awam Jawatankuasa tersebut untuk memberikan pandangannya. Kepada Jawatankuasa itu, beliau dilihat sebagai seseorang yang sangat berpengetahuan tentang ajaran Islam, dan bagaimana kewajipan beragama boleh disesuaikan dalam konteks kehidupan berbilang kaum," kata SM Lee.
SM Lee turut mendedahkan bahawa jawapan-jawapan yang diberikan Almarhum kepada Jawatankuasa itu menunjukkan pemahaman mendalam beliau mengenai isu-isu sensitif dan penting kepada negara.
Interaksi lain SM Lee bersama dengan Almarhum selepas itu mengukuhkan lagi pandangan tersebut, tambah beliau.
Almarhum Syed Isa berkhidmat sebagai Mufti selama hampir empat dekad dan pernah terlibat dalam pelbagai peranan penting termasuk sebagai anggota Majlis Presiden bagi Hak Masyarakat Minoriti (PCMR), Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama (PCRH), serta menyokong penubuhan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) selepas peristiwa 9/11.
"Khidmat cemerlang beliau selama hampir empat dekad, beliau menangani banyak perkara sensitif, termasuk tugas-tugas kewarganegaraan, ekstremisme, dan pemeliharaan keharmonian sosial. Kepimpinan beliau yang tenang dan tabah amat penting dalam membimbing masyarakat Melayu/Islam, serta memperkukuh kepercayaan dan perpaduan antara kaum dan agama yang berbeza di Singapura," kata SM Lee lagi.
Kepimpinan Almarhum juga meletakkan MUIS di barisan hadapan pemikiran dan amalan Islam di Singapura.
Menurut SM Lee, Almarhum sentiasa memberi penekanan kepada penyelidikan dan pemodenan pemikiran agama, serta berusaha gigih untuk menaik taraf institusi-institusi agama kita dan memperkukuh pendidikan Islam.
"Beliau mahu umat Islam di Singapura berpegang kepada prinsip dan panduan yang kukuh dalam menangani isu-isu baharu dan kompleks, agar dapat hidup sebagai Muslim yang turut memainkan peranan penting dalam negara berbilang agama yang harmoni," tambah SM Lee.
Berikut kami lampirkan utusan takziah SM Lee kepada balu mantan Mufti Negara Syed Isa Semait:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.