SM Lee Hsien Loong beri penghormatan kepada Siti Hasmah, kenang jasa dan semangat hidupnya
Menteri Kanan (SM) Lee Hsien Loong melahirkan rasa sedih atas pemergian Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada Isnin (28 Sep).
Lee Hsien Loong bersama Dr Mahathir Mohamad dan Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Mei 2018. (Gambar fail: MDDI/Kenji Soon)
- Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong menyampaikan rasa sedih melalui Facebook atas pemergian Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada Isnin, 28 September.
- Encik Lee mengenang Dr Siti Hasmah sebagai insan mesra, berbudi bahasa, bersemangat dan lucu, serta aktif bermain biola hingga usia 90-an untuk amal.
- Beliau turut menghormati jasa Dr Siti Hasmah sebagai doktor yang banyak menyumbang kepada kesihatan rakyat Malaysia, terutama wanita, kanak-kanak dan keluarga.
- Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada usia 100 tahun, meninggalkan Dr Mahathir dan tujuh anak.
Dalam catatan di Facebook, Encik Lee berkata beliau sudah mengenali Dr Siti Hasmah sejak sekian lama dan sentiasa senang bertemu dengannya.
“Beliau seorang yang mesra dan berbudi bahasa, penuh semangat serta mempunyai selera humor yang cukup baik,” kata Encik Lee.
Beliau turut mengenang perbualan mereka mengenai rasa cinta Dr Siti Hasmah kepada muzik dan biola. Menurut Encik Lee, Dr Siti Hasmah terus membuat persembahan sehingga usia 90-an, termasuk bagi mengumpul dana untuk kegiatan amal.
“Semangat beliau dalam menjalani kehidupan amat luar biasa,” katanya.
ABDIKAN HIDUP UNTUK PERTINGKAT KESEJAHTERAAN RAKYAT
Encik Lee turut memberi penghormatan kepada sumbangan Dr Siti Hasmah sebagai seorang doktor yang mengabdikan sebahagian besar hidupnya untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, khususnya wanita, kanak-kanak dan keluarga.
Encik Lee berkata beliau dan isterinya, Ho Ching, akan sentiasa mengenang Dr Siti Hasmah.
“Kami mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya kepada Dr Mahathir dan keluarganya dalam waktu yang sukar ini. Semoga beliau bersemadi dengan tenang,” kata Encik Lee.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada pagi Isnin (28 Sep) pada usia 100 tahun.
Beliau meninggalkan Dr Mahathir dan tujuh orang anak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.