SM Lee akan terima anugerah tertinggi Darjah Kebesaran Matahari Terbit Jepun pada 9 Mei
Menteri Kanan Lee Hsien Loong akan menerima anugerah Darjah Kebesaran Matahari Terbit pangkat Grand Cordon, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa (29 Apr).

Menteri Kanan Lee Hsien Loong diiktiraf atas sumbangannya dalam memperkukuhkan hubungan antara Jepun dengan Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
Anugerah Darjah Kebesaran Matahari Terbit diberikan kerajaan Jepun kepada para individu sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang mereka kepada Jepun serta rakyatnya, menurut MFA sebagai menjawab pertanyaan media.
Anugerah tersebut diperkenalkan pada 1875, dan 'Grand Cordon' merupakan pangkat tertingginya.
Terdahulu pada Selasa, Kedutaan Jepun di Singapura mengumumkan di laman webnya bahawa anugerah itu diberikan kepada Encik Lee sebagai sebahagian daripada upacara Dekorasi Diraja Warganegara Asing oleh Maharaja Jepun untuk Musim Bunga tahun 2025.
Selama tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri Singapura dari 2004 hingga 2024, Encik Lee “memberikan sumbangan besar dalam memperkukuh hubungan dan memupuk persahabatan antara Jepun dengan Singapura,” menurut kedutaan tersebut.
Jurucakap MFA berkata: “Singapura amat menghargai keputusan pemerintah Jepun untuk menganugerahkan Darjah Kebesaran Matahari Terbit pangkat Grand Cordon kepada Menteri Kanan Lee Hsien Loong.
"Ia mengiktiraf sumbangan besar Menteri Kanan Lee dalam membangunkan hubungan antara Singapura dengan Jepun."
Jurucakap itu menambah bahawa hubungan rapat dan lama antara kedua-dua negara “terbukti dengan hubungan politik dan ekonomi yang kukuh, serta kerjasama dalam pelbagai bidang.”
Media Jepun melaporkan bahawa seramai 3,990 individu akan menerima anugerah sempena musim bunga 2025 di Jepun, termasuk mantan Perdana Menteri Naoto Kan dan mantan Speaker Dewan Perwakilan Tadamori Oshima.
Dalam kalangan penerima anugerah itu, terdapat 107 warga asing dari 45 negara dan wilayah, termasuk Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, mantan duta Amerika Syarikat ke Jepun William Hagerty, dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach, yang juga akan dianugerahkan Darjah Kebesaran Matahari Terbit pangkat Grand Cordon.
Para penerima anugerah 'Grand Cordon' serta anugerah kedua tertinggi – iaitu peringkat emas dan perak – akan menerima anugerah mereka daripada Maharaja Naruhito dan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba di Istana Maharaja di Tokyo pada 9 Mei, menurut laporan media Jepun.
Mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew turut dianugerahkan Darjah Kebesaran Matahari Terbit pangkat Grand Cordon pada 1967.
Pada 2016, mendiang secara anumerta dianugerahkan Darjah Bunga Paulownia pangkat Grand Cordon.
Penerima Darjah Kebesaran Matahari Terbit pangkat Grand Cordon terdahulu termasuk mantan Duta Besar Singapura ke Jepun, Lim Chin Beng pada 2004, Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong pada 2011, dan mantan Timbalan Perdana Menteri S Jayakumar pada 2012.
Pada 2026, Singapura dan Jepun akan memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Awal bulan ini, Encik Lee mengatakan bahawa Jepun memainkan peranan bermanfaat menstabilkan rantau Asia Pasifik yang lebih luas, semasa pelancaran buku 'The Land of the Rising Sun and the Lion City: The Story of Japan and Singapore'.
Beliau mengatakan bahawa Singapura mengalu-alukan sumbangan Jepun kepada rantau ini, dengan Jepun menjadi “rakan dan sekutu yang setia” selama lebih setengah abad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.