Skip to main content

Singapura

SM Lee akan hadiri sambutan ulang tahun ke-80 Sultan Brunei

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jul 2026 11:43AM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 02:46AM
  • Menteri Kanan Lee Hsien Loong mengetuai delegasi Singapura ke Brunei dari 14 hingga 17 Julai bagi menghadiri sambutan hari keputeraan Sultan Hassanal Bolkiah yang ke-80.
  • Lawatan ini melibatkan penyertaan dalam upacara rasmi, pertemuan dengan Sultan dan kerabat diraja, serta anggota Angkatan Bersenjata Singapura di Brunei.
  • Pemimpin Singapura seperti Presiden Tharman, Perdana Menteri Lawrence Wong dan Goh Chok Tong turut mengutus ucapan tahniah kepada Sultan Brunei, menekankan hubungan erat kedua-dua negara.
  • Mereka menghargai kepimpinan Sultan Hassanal Bolkiah dan menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Menteri Kanan Lee Hsien Loong mengadakan lawatan ke Brunei bermula Selasa (14 Jul) hingga Jumaat ini selaku wakil pemerintah Singapura ke majlis sambutan hari kelahiran Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang ke-80.

SM Lee akan menghadiri upacara perbarisan kawalan kehormat diraja dan majlis pengurniaan darjah kebesaran pada Rabu (15 Jul), serta majlis jamuan diraja pada Khamis sebagai sebahagian daripada sambutan rasmi tersebut, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin (13 Jul).

SM Lee dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada sultan dan ahli kerabat diraja yang lain.

Beliau juga akan bertemu dengan barisan menteri serta anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang sedang menjalani latihan di Brunei.

SM Lee akan diiringi oleh isterinya serta Encik Goh Pei Ming, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga.

PEMIMPIN SINGAPURA UTUS UCAPAN TAHNIAH

Para pemimpin Singapura pada Isnin (13 Jul) mengutuskan ucapan tahniah kepada Sultan Brunei sempena hari keputeraan baginda, dengan menekankan kepimpinan baginda serta hubungan erat yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

Dalam warkah beliau, Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata Brunei meraih keamanan, kestabilan, dan kemajuan selama berdekad-dekad di bawah kepimpinan Sultan Hassanal Bolkiah.

"Wawasan dan gagasan bijaksana Tuanku untuk pemodenan dan pembangunan Brunei telah meningkatkan taraf hidup generasi rakyat Brunei," kata Presiden Tharman.

Beliau turut menghargai sumbangan Sultan Hassanal Bolkiah dalam memupuk "hubungan istimewa dan berkekalan" antara Singapura dan Brunei.

"Ia adalah hubungan yang boleh dijejaki kembali daripada keakraban dan semangat setia kawan antara almarhum Seri Begawan dengan Encik Lee Kuan Yew, dan ia terus berkembang menerusi ikatan peribadi yang terjalin antara Tuanku dengan setiap Perdana Menteri Singapura," kata Presiden Tharman.

Singapura amat berterima kasih atas sokongan padu Sultan Hassanal Bolkiah terhadap hubungan dua hala kedua-dua negara, yang telah membawa perkongsian dan kerjasama ke tahap baharu dan akan memberi manfaat kepada generasi seterusnya, tambah beliau.

"Isteri saya Jane dan saya mendoakan agar Tuanku dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri terus dikurniakan kesihatan yang baik, serta dilimpahi kebahagiaan dan kesejahteraan yang berpanjangan. Kami berharap dapat menyambut kedatangan Tuanku berdua ke Singapura dalam masa terdekat," kata Presiden Tharman.

Perdana Menteri Lawrence Wong menyatakan dalam suratnya bahawa Sultan Hassanal Bolkiah "memimpin Brunei dengan cekap" mengharungi cabaran-cabaran luar biasa dalam dunia yang berubah dengan pantas sejak kemerdekaan negara itu pada 1984.

Sambil menarik persamaan antara kedua-dua negara, PM Wong berkata kedua-dua Brunei dan Singapura adalah negara kecil yang mesti kekal terbuka kepada dunia sambil berdiri teguh.

"Bahawa rakyat Brunei daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat menikmati keamanan, keharmonian, dan kemakmuran hari ini sememangnya menjadi bukti kepada kepimpinan cemerlang Tuanku," katanya.

Hubungan istimewa antara kedua-dua negara telah bertahan mengharungi masa hasil sokongan padu Sultan Hassanal Bolkiah selama ini, tambah PM Wong.

"Kerjasama pertahanan dua hala dan kewangan kita yang teguh telah menjadi batu asas kepada hubungan mantap kita," katanya, sambil menarik perhatian bahawa kedua-dua negara memperingati ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan pada tahun ini dan ulang tahun ke-60 Perjanjian Pertukaran Mata Wang pada tahun depan.

"Saya yakin bahawa kerjasama kita, berasaskan kepercayaan dan rasa hormat bersama, akan terus diperkukuh pada tahun-tahun mendatang dan membawa lebih banyak peluang untuk pembangunan serta kesejahteraan rakyat kita," kata PM Wong.

Dalam surat SM Lee kepada Sultan Hassanal Bolkiah, beliau menyatakan bahawa hari keputeraan baginda merupakan satu "mercu tanda bersejarah".

"Ayah saya amat menghargai hubungan beliau dengan Seri Begawan. Bersama-sama, mereka telah meletakkan asas bagi persahabatan yang istimewa dan diyakini antara kedua-dua negara kita," kata SM Lee.

"Ia merupakan satu penghormatan besar bagi saya untuk bekerjasama dengan Tuanku dalam meneruskan usaha tersebut, dan saya berbesar hati kerana generasi pemimpin seterusnya di kedua-dua belah pihak memahami sepenuhnya betapa pentingnya hubungan kita ini serta komited untuk terus mengembangkannya pada masa hadapan."

Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong dalam warkahnya berkata menjadi satu keistimewaan buat beliau kerana dapat bekerjasama dengan Sultan Hassanal Bolkiah untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala Singapura dan Brunei.

"Negara kita kekal sebagai rakan karib hingga ke hari ini. Pada tahun-tahun mendatang, saya yakin Singapura dan Brunei akan terus meneroka kerjasama baharu demi kebaikan rakyat kita," kata Encik Goh.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita