Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Slam adakan konsert di SG pada 10 Jun sempena ulang tahun ke-30

Anggaran Waktu Membaca:
Slam adakan konsert di SG pada 10 Jun sempena ulang tahun ke-30

Konsert Slam sempena ulang tahun ke-30. (Gambar: Greendoor Studios)

BERITAmediacorp: Untuk para penggemar kumpulan Slam, anda pasti tidak akan hanya ‘Rindu Bayangan’ mereka lagi kerana mereka bakal menghangatkan pentas The Star Theatre, Singapura dengan sebuah konsert pada 10 Jun menerusi lagu-lagu hits yang satu ketika dahulu menjadi siulan ramai.

Ini merupakan konsert pertama Slam di Singapura selepas vokalisnya, Zamani, menjalani pembedahan tulang belakang untuk membetulkan postur tubuh beliau. Kali terakhir Slam mengadakan konsert di sini ialah pada 2012 di Suntec City.

Konsert kali ini dianjurkan bersempena ulang tahun ke-30 kumpulan Slam, menurut penganjurnya – Greendoor Studios, yang kebetulan juga menyambut ulang tahun ke-20 syarikat.

Penjualan tiket bagi konsert Slam itu sudah mula laku bak pisang goreng panas. Malah, tiket-tiket VIP sudah habis terjual dalam masa dua jam konsert itu diumumkan!

Para peminat akan dapat mengimbau kenangan menerusi bait-bait lirik popular kumpulan itu sepanjang 3 dekad yang lalu seperti ‘Kembali Merindu’, ‘Tak Mungkin Berpaling’ dan ‘Gerimis Mengundang’.

Tahukah anda bahawa lagu Gerimis Mengundang ciptaan komposer Saari Amri berjaya dirakam semula dalam 30 versi saduran oleh penyanyi pelbagai negara dan bahasa sebelum ini?

Yang pasti, para peminat yang selama ini ‘Sabar Menanti’ kemunculan semula kumpulan Slam di Singapura bakal merasakan ‘Manisnya Rindu’ itu pada 10 Jun nanti.

PEMBEDAHAN TULANG BELAKANG HAMPIR 100% PULIH

Ramai peminat mengetahui bahawa Zamani selamat menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada 7 November tahun lalu di salah sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan eksklusif dengan BERITAmediacorp, Zamani - yang ditemani oleh isterinya bernama Julie yang juga bertindak sebagai pengurus beliau - kini kelihatan lebih sihat dan mampu berdiri tegak setelah menjalani pembedahan.

“Alhamdulillah semakin hari semakin membaik sekarang dah lebih dari 3 bulan bermakna saya rasa hampir 96 peratus pulih setelah pembedahan tulang belakang,” pelantun suara merdu itu memberitahu BERITAmediacorp.

Sebelum ini, apabila diberitahu oleh pemain bass Slam iaitu Lily bahawa Slam bakal mengadakan konsert berskala besar di Singapura, Zamani berasa agak bimbang.

“Cuma saya cakap ia bergantung pada tahap kesihatan saya sebab takut tak dapat pulih kembali tapi setelah penganjur datang untuk tanda tangan kontrak, saya dah rasa lega dan yakin,” ujar Zamani.

Malah, beliau sudah mula menerima tawaran bernyanyi secara solo untuk mengembalikan staminanya sebagai persiapan untuk konsert di Singapura kelak.

“Sebenarnya saya mencari-cari langkah untuk kembalikan stamina saya, untuk kembalikan suara. Jadi sekarang ini saya banyak ambil undangan nyanyian, di mana saya berlatih sekali untuk kembalikan kayakinan diri saya kembali. Macam mana saya nak dapatkan balik ‘tone’ suara saya, macam mana saya nak menyanyi balik macam dulu.

“Masih belum dapat 100 peratus tapi Alhamdulillah benda itu boleh dapatlah kalau kita betul-betul berlatih. Bila berlatih dengan Slam nanti saya rasa Insha Allah,” tambah beliau.

KONSERT SLAM “AURANYA LAIN”

Slam dijangka mempersembahkan sebanyak 20 hingga 24 buah lagu pada malam konsert nanti. Zamani, mewakili Slam, tidak menafikan mereka ”akan sediakan beberapa buah lagu yang mungkin peminat akan minta” pada malam tersebut.

Meskipun bukan lagu penuh tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat tunaikan permintaan peminat yang hadir.

Apabila ditanya mengapa mereka mengadakan konsert pascapandemik di Singapura, ini jawapan Zamani: “Sebab pihak penganjur Greendoor yang mula menawarkan kepada kami. Jadi rentetan daripada itu, kami dapat tajaan pula untuk buat di Malaysia. Terima kasih kepada pihak Greendoor yang membuka jalan ini,” kongsi Zamani.

Untuk konsert tersebut, sudah semestinya Slam inginkan yang terbaik. Namun Zamani turut berkongsi apa yang terpendam dalam isi hatinya semasa pertemuan dengan BERITAmediacorp:

“Jauh di sudut hati kita nak buat sesuatu agar dapat sambutan yang baik untuk peminat-peminat Singapura. Cuma sebab saya ada juga masuk Singapura dan Johor untuk buat acara solo jadi saya ada rasa sedikit kebimbangan takut orang dah biasa tengok saya. Tapi saya yakin mungkin sebab kali ini dengan Slam pula auranya lain.”

Selain itu, Slam juga akur bahawa kumpulan itu harus bersaing dengan penyanyi solo serta kumpulan lain yang turut mengadakan konsert pada tarikh yang tidak jauh dari konsert mereka nanti.Bermakna, para peminat mempunyai banyak pilihan untuk memilih konsert yang mana yang ingin ditonton.

“Saya secara peribadi dan saya yakin anggota Slam yang lain rasa sama. Kita yakin pada rezeki sebab kita pun tahu persaingan ada di mana-mana pun. Mungkin selepas pandemik masing-masing nak buat konsert. Jadi sama-samalah kita cari rezeki. Saya yakin rezeki itu akan ada yang dah ditentukan oleh Allah.

“Cuma apa yang kami boleh buat ialah cuba bagi komitmen 100 peratus atau mungkin 200 peratus untuk pastikan peminat-peminat Slam tahu Slam akan adakan konsert di Singapura,” jelas Zamani lagi.

ORANG MASIH INGAT NAMA SLAM

Menyentuh tentang kejayaan kumpulan itu untuk bertahan sehingga 30 tahun dalam industri, Zamani berkata nama ‘Slam’ yang terus melekat pada setiap anggotanya meski bergerak solo mungkin membawa tuah.

“Kita bersyukur kepada Allah kerana masih panjangkan lagi usia kumpulan Slam ini. Ada di antara kami masih aktif, contohnya Shah. Mungkin dia bawa nama Slam. Saya pun masih aktif secara tak langsung bawa nama Slam juga. Eddie pun aktif. Kami tetap bawa nama Slam.Mungkin atas sebab nama itu saya rasa orang masih ingat lagi nama Slam. Alhamdulillah.”

Menurut Zamani, kumpulan Slam meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk konsert di The Star Theatre nanti.

“Kalau tidak silap pada awal pandemik bila konsert dimulakan di Malaysia semula, Slam yang mulakan di Planery KLCC. Jadi kalau boleh kita nak bawa momentum itu ke Singapura dan jadikan ia satu konsert yang boleh dijadikan sebagai kenangan manis untuk kami dan semua peminat di Singapura,” kata beliau.

Tiket-tiket dalam kategori selain VIP dan berharga S$177, S$157, S$137 dan S$97 masih boleh diperolehi menerusi www.sistic.com.sg atau hubungi talian 63485555.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan