SLA lantik ketua eksekutif baharu mulai 1 Mei
Encik Calvin Phua akan dilantik sebagai ketua eksekutif Penguasa Tanah Singapura (SLA) mulai 1 Mei, menurut Kementerian Undang-Undang dalam satu kenyataan media pada Rabu (2 Apr).
Timbalan Setiausaha (Dasar) Kementerian Undang-Undang Calvin Phua (kiri) akan mengambil alih sebagai ketua eksekutif SLA dari Encik Colin Low. (Gambar: MinLaw)
Beliau akan menggantikan Encik Colin Low, yang menjawat peranan sebagai ketua eksekutif SLA sejak 12 April 2021.
Encik Phua kini adalah timbalan setiausaha (dasar) di Kementerian Undang-Undang.
Beliau berkhidmat di beberapa kementerian sebelum menyertai Kementerian Undang-Undang dan sebelum ini merupakan timbalan setiausaha di Kementerian Pengangkutan.
Semasa berkhidmat di Kementerian Undang-Undang, Encik Phua memimpin usaha untuk mengukuhkan sistem undang-undang Singapura dan meningkatkan akses kepada keadilan, termasuk pembangunan Pejabat Peguam Bela Awam (PDO).
Beliau juga bekerja dengan beberapa institusi untuk meningkatkan keupayaan dan meningkatkan tawaran Singapura sebagai sebuah hab huraian pertikaian antarabangsa.
Bagi mengurangkan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19, Encik Phua turut memimpin pelaksanaan rangka kerja undang-undang yang memberi bantuan kepada perniagaan dan individu yang terjejas.
"Kami mengalu-alukan untuk terus bekerjasama dengan Calvin dalam peranan baharunya sebagai ketua eksekutif SLA, dan kami yakin bahawa beliau dapat meneruskan usaha Colin dan membawa SLA ke tahap yang lebih tinggi lagi," kata Setiausaha Tetap Kementerian Undang-Undang Luke Goh.
Pengerusi Lembaga Pengarah SLA Yeoh Oon Jin berkata "wawasan strategik dan kepakaran terbukti" Encik Phua akan memberikan kesinambungan sedang SLA memulakan lembaran pertumbuhan yang baharu.
Sejak dilantik sebagai ketua eksekutif SLA, Encik Low diiktiraf kerana mengoptimum dan menyegarkan semula tanah dan hartanah negara bagi pelbagai kegunaan ekonomi, sosial dan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.