Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SLA buka tender jual Tanjong Katong Complex dengan tempoh pajakan 30 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Oct 2024 07:44PM Dikemas Kini : 19 Oct 2024 12:32AM

SINGAPURA: Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah meletakkan Tanjong Katong Complex sebagai tapak untuk dijual dengan tempoh pajakan selama 30 tahun, dengan tender dibuka selama sekitar empat bulan mulai Jumaat (18 Okt).

Bangunan ikonik itu menjadi mercu tanda masyarakat Melayu di kawasan Geylang Serai.

Apabila dinaik taraf kelak, Tanjong Katong Complex akan mempunyai "ruang khusus untuk perniagaan Melayu" demi mengekalkan nilai-nilai budaya yang kaya di kawasan itu, menurut SLA.

"Pembida tender yang berjaya akan menyelia pengurusan hartanah itu, dan menumpukan ruangnya kepada penyewa yang pakar dalam perniagaan Melayu demi memastikan tumpuan berterusan untuk meraikan, menyokong dan mengekalkan perniagaan dan nilai warisan Melayu," kata SLA.

Dr Maliki Osman, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Jalur Budaya Geylang Serai, berkata ramai anak muda membuka kedai di bazar Ramadan setiap tahun, dan beliau berharap beberapa bahagian Tanjong Katong Complex boleh digunakan untuk memupuk perniagaan-perniagaan sedemikian.

Sebagai contoh, mungkin terdapat pajakan selama tiga bulan untuk orang ramai mencuba idea perniagaan mereka.

"Kami mahu mewujudkan sebuah ruang yang bertenaga di Tanjong Katong Complex (TKC) mana usahawan muda Melayu boleh mencuba perniagaan mereka," katanya kepada para wartawan semasa taklimat media.

Sekurang-kurangnya 1,500 m persegi ruang mesti diperuntukkan kepada perniagaan budaya Melayu dan ruang inkubasi keusahawanan. Ini merupakan ruang sama yang sebelum ini diambil oleh perniagaan Melayu.

"Jika ekosistem berkembang dan ia...berjaya menarik lebih banyak perniagaan anak muda Melayu, maka semuanya baik sekali, kerana kami mahu perkara itu berlaku," tambah Dr Maliki.

Kompleks itu juga akan menempatkan ibu pejabat MENDAKI, pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan perpustakaan awam.

Ciri ikonik bangunan itu akan dikekalkan, termasuk tiang-tiang yang menghadap Tanjong Katong Road, dan empat struktur berbentuk silinder di setiap sudut bangunan.

Inisiatif ini sejajar dengan "wawasan yang lebih luas" untuk merubah kawasan Geylang Serai, kata SLA.

Mempunyai pejabat-pejabat Melayu/Islam yang penting di TKC akan menekankan komitmen untuk menjadikan Geylang Serai sebagai jalur budaya yang tersendiri, kata Dr Maliki.

"(Kami mahu) melihat kawasan yang bertenaga, yang cukup menarik untuk orang ramai dari semua lapisan masyarakat - masyarakat Melayu melihatnya sebagai nadi masyarakat, namun ia juga menjadi kebanggaan semua rakyat Singapura," tambahnya.

Pemaju juga mesti menyediakan ruang awam luar untuk acara-acara kemasyarakatan seperti pameran, konsert dan bazar, serta meningkatkan ketersambungan untuk para pejalan kaki.

Keluasan lantai kasar minimum ialah 19,000 meter persegi, iaitu keluasan lantai sedia ada TKC. Pemaju boleh mengusulkan bangunan tambahan sehingga lima tingkat, dengan jumlah keluasan lantai kasar maksimum 30,166 meter persegi.


"NAFAS BAHARU DAN PERSPEKTIF BAHARU"

Pada 2021, SLA mengumumkan bahawa TKC akan ditutup untuk kerja-kerja naik taraf besar-besaran mulai separuh kedua 2023. Sejak itu, SLA dan agensi-agensi lain telah mengkaji pilihan yang berbeza dan memutuskan untuk menjual bangunan itu.

"Kami fikir ia mungkin memberi nafas baharu dan perspektif baharu," kata Dr Maliki, yang menambah bahawa pengendali privet mungkin lebih berkesan daripada pegawai pemerintah dalam menyusun campuran penyewa.

“Ahli perniagaan akan tahu cara menjalankan perniagaan dengan cukup baik,” katanya. "Kami menyusunnya secara meluas dan jelas untuk mereka, (kemudian) kami menyerahkannya kepada mereka."

Dengan pemahaman yang baik tentang budaya dan sejarah, apa yang dihasilkan sepatutnya sesuatu yang agak berbeza daripada Paya Lebar Quarter yang terletak berdekatan, tambahnya.

Encik Wang Wei, Pengarah Penjualan Tanah SLA, berkata MUIS, MENDAKI dan perpustakaan awam adalah "asas-asas utama" untuk TKC yang akan dinaik taraf. "Ini adalah kelebihan yang benar-benar akan menjadikan bangunan ini sangat tersendiri, dan kami berharap bakal pembida tender, mengiktiraf ciri-ciri ini dan oleh itu, mengatur dengan sewajarnya."

Tender akan ditutup pada 25 Feb 2025. Mereka yang berminat perlu mengemukakan saranan konsep dan harga tender kepada SLA.

Saranan konsep akan dinilai terlebih dahulu sebelum disenarai pendek untuk dipertimbangkan. Bidaan tertinggi akan memenangi tender, dan ia dijangka akan diumumkan pada separuh pertama 2025.

SLA menjangkakan kerja-kerja ubah elok dan naik taraf TKC akan disiapkan pada separuh pertama 2029, lewat tiga tahun daripada yang diumumkan sebelum ini.

"Walaupun terdapat sedikit kelengahan, masa itu penting untuk memikirkan hasil yang lebih baik yang boleh kita lihat, berbanding dengan apa yang diusulkan sebelum ini," kata Dr Maliki.

BEKAS PENYEWA TKC KECEWA PERLU TUNGGU LEBIH LAMA

Beberapa bekas penyewa di TKC bimbang tentang tarikh pembukaan semula yang lebih lama.

"Kalau boleh kami hendak pulang ke TKC tetapi dengan berita yang diberi yang pembangunannya dilewatkan lagi untuk selama tiga tahun, kami kurang pasti. Tempoh enam tahun adalah terlalu lama jadi kami tidak dapat tentukan yang kami akan pulang semula ke sana. Juga harus pertimbangkan keadaan dan faktor lain seperti sewa," kata Cik Norien Hamzah dari Butik Sultana.

Begitu juga dengan pasangan suami isteri Cik Mardiah Kamarudin dan suaminya Encik Abdul Nagib Abdul Aziz yang memiliki kedai pakaian An-Nahl.

Mereka sudah berniaga di TKC selama 18 tahun sebelum berpindah ke City Plaza pada Julai 2023.

"Kami merasa kecewa sebab kami mengharapkan 2026 dapat pindah ke sana kerana sejak berpindah ke sini, perniagaan agak kurang kerana tidak ramai yang tahu ada kedai-kedai Melayu di sini. Perniagaan kami merosot sebanyak 70 peratus sejak berpindah ke City Plaza," kata Cik Mardiah, 65 tahun, kepada BERITA Mediacorp.

Suaminya juga bimbang tentang kesan berpanjangan kepada perniagaan mereka.

"Jika ia siap pada 2029, kami tidak tahu bagaimana untuk meneruskan perniagaan kami. Kebanyakan penyewa yang berpindah dari TKC ke City Plaza dan KINEX tidak dapat bertahan; ramai yang sudah keluar. Jika keadaan ini berterusan, kami mungkin terpaksa tutup perniagaan kami.

"Kami berharap agar pihak pemerintah dapat memberikan bantuan. Kami suami isteri sudah berusia, dan sangat mengharapkan perniagaan kami dapat terus bertahan. Jika terpaksa menunggu lama dalam keadaan yang sukar ini, kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi," keluh beliau.

Sumber : CNA/AW/RR/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan