Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skuter bermotor jadi teman setia bagi yang sukar berjalan

Kemunculan skuter bermotor membawa perubahan besar kepada golongan yang sukar berjalan.

Anggaran Waktu Membaca:
05:46 Min
Skuter bermotor jadi teman setia bagi yang sukar berjalan

SINGAPURA: Kemunculan skuter bermotor membawa perubahan besar kepada golongan yang sukar berjalan.

Apakan tidak, jika sebelum ini mereka tidak mampu bergerak atau berjalan jauh, kini mereka bebas ke mana-mana sahaja dan boleh hidup berdikari.

Namun tanpa penyelidikan khusus mengenai skuter jenis itu serta tiadanya peraturan bagi mengawal penggunaannya, alat bantu bergerak yang semakin popular itu mula menimbulkan beberapa keprihatinan.

SKUTER TEMAN SETIA

Sejak menjalani pembedahan pada ibu jari kakinya, Encik Mohamed, 72 tahun, sukar berjalan jauh.

Namun hidupnya sudah berubah dengan adanya skuter bermotor.

Skuter itu sudah menjadi teman setianya sejak setahun lalu.

Sama ada menemani isterinya ke pusat dialisis, mahupun ke kedai-kedai dan pasar berhampiran, skuter beroda empat itu memberi kebebasan baginya untuk hidup berdikari, selagi baterinya masih ada.

"Saya pergi mana-mana pun saya nak jalan, keluar saja dari rumah, mesti saya pakai skuter ini, sebab saya berjalan sudah tak kuat sangat. Jadi kalau ada skuter ini, ada kesenangan bagi saya," kata Encik Mohamed.

KURANGKAN KEUPAYAAN FIZIKAL

Setakat ini, masih banyak yang belum diketahui tentang kesan penggunaannya dalam jangka panjang.

Namun beberapa kajian menggambarkan, alat bersifat pasif ini boleh mengurangkan keupayaan fizikal penggunanya di samping menimbulkan beberapa masalah kesihatan.

Menurut Ahli terapi cara kerja, Nani Adilla: "Antara kesan-kesannya adalah meningkatkan lagi risiko penyakit kardiovaskular, meningkatkan berat badan ataupun melemahkan otot-otot dan sendi lutut. Jadi kita sarankan, perlu seimbanglah. Alat mobiliti atau alat skuter bermotor ini tidak seharusnya menjadi pengganti, sebaliknya ia harus digunakan untuk membantu pergerakan mereka. Jadi berjalanlah sebanyak mungkin teruskan gaya hidup aktif dan berjalan walaupun jarak pendek."

Satu lagi kebimbangan yang timbul adalah kurangnya latihan di kalangan penggunanya.

PENGGUNA PERLU DILATIH

Menurut satu tinjauan antarabangsa, hanya 25 peratus pengguna skuter menjalani latihan yang betul.

Di Singapura sendiri, latihan bagi menggunakan skuter tidak diwajibkan.

Sesiapa juga boleh membelinya tanpa perlu mendapatkan penilaian doktor kecuali mereka menerima subsidi pemerintah seperti dari Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Emas.

Para penerima subsidi perlu menjalani pemeriksaan dengan seorang ahli terapi.

Di unit terapi cara kerja di Hospital Tan Tock Seng, yang juga sebahagian daripada National Healthcare Group (NHG), penilaiannya meliputi beberapa aspek seperti daya penglihatan, kebolehan bergerak serta kognitif.

Para pesakit kemudian akan dilatih menggunakan alat yang sesuai bagi keperluan mereka, sebelum diuji dalam situasi hidup sebenar.

"Selepas penilaian sekurang-kurangnya 3 hingga 4 sesi latihan di dalam rumah, kawasan kejiranan dan juga di tempat pengangkutan awam seperti stesen MRT sebab kadang kala situasi di klinik tidak sama dengan apa yang kita lihat di luar. Dalam sesi latihan, kita akan melihat kemahiran si pengguna menggunakan skuter bermotor ini secara selamat," ujar Dr Nani.

SKUTER DISALAH GUNA

Peraturan jalan raya turut ditekankan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Skuter yang sepatutnya bergerak di laluan pejalan kaki, sebaliknya digunakan secara haram di jalan-jalan raya.

Ini amat berbahaya kepada penggunanya dan juga orang lain.

Di Britain, kemalangan yang melibatkan skuter bermotor dilaporkan berlaku sekerap empat kali seminggu.

Tahun lalu sahaja, alat pergerakan itu terlibat dalam lebih 200 kemalangan, naik lebih seganda berbanding 2012.

Pada masa ini, Singapura tidak mengumpulkan data serupa.

Namun sedang bilangan skuternya terus bertambah, tidak mustahil jika suatu hari nanti, Singapura juga mengalami keadaan yang sama akibat kurangnya peraturan serta prasarana yang sesuai.

Dr Chan Mei Ling, Ketua Ahli Terapi Cara Kerja, di Hospital Tan Tock Seng berkata: "Malahan, sekarang pun, kita sudah dapat melihat beberapa kejadian di mana pengguna tidak menunggang skuter di laluan pejalan kaki, tetapi di jalan raya kerana mereka tidak ada prasarana yang sesuai di kawasan kejiranan mereka untuk menggunakan alat sedemikian ketika di luar dan ini sesuatu yang amat menakutkan.

Pengarah Pengurusan syarikat Falcon Mobility Warren Chew berkata setakat ini, beliau sudah melihat dua kemalangan kecil melibatkan pelanggannya yang menggunakan skuter bermotor.

Apa yang membimbangkan adalah para pengguna skuter bermotor di sini tiada perlindungan insurans, tidak seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Pada masa ini, jika mereka mengalami kemalangan, mereka tidak ada perlindungan insurans. Para pengguna perlu membayar semua kos membaiki skuter bermotor. Tapi saya berpendapat sedang bilangan pengguna skuter bermotor terus bertambah, ini akan menjadi satu masalah," kata Encik Chew

Encik Chew menyarankan agar setiap skuter bermotor didaftarkan sebagai alat perubatan, selain mewajibkan para penggunanya membeli insurans bagi menggunakan alat itu.

Sungguhpun begitu Dr Chan menekankan bukan pengawalan, tetapi usaha semua pihak berkepentingan, yang akan dapat melindungi para pengguna serta orang-orang di sekeliling mereka.

"Bermula dari sistem jagaan kesihatan di mana rujukan dibuat bagi golongan yang memerlukan skuter itu serta kerjasama rapat dengan ahli terapi cara kerja dalam sistem tersebut dan sehinggalah usaha mendidik para pengguna serta keluarga dan sanak saudara mereka dengan betul. Para ahli terapi juga perlu keluar untuk menilai prasarana sedia ada dan memberi maklum balas kepada LTA bagi membuat peningkatan," ujar Dr Chan.

"Kemudian masyarakat di sekeliling pula perlu menerima kehadiran golongan sedemikian apabila mereka menggunakan skuter mereka di sekitar kawasan kejiranan dengan selamat," tambahnya.

Apapun langkah yang diambil, ia diharap menguntungkan semua pihak dan menggalakkan golongan seperti Encik Mohamed untuk terus menjalani kehidupan dengan yakin, aktif dan berdikari. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa