Skim Wajib Pelabelan Tenaga Kuasa diluaskan, rangkumi lebih banyak jenis lampu
Skim Wajib Pelabelan Tenaga Kuasa yang membantu para pembeli memilih peralatan rumah yang lebih cekap tenaga akan diluaskan bagi meliputi lebih banyak jenis lampu.
SINGAPURA: Skim Wajib Pelabelan Tenaga Kuasa yang membantu para pembeli memilih peralatan rumah yang lebih cekap tenaga akan diluaskan bagi meliputi lebih banyak jenis lampu.
Menteri Negara bagi Sekitaran dan Sumber Air Amy Khor mengumumkan demikian hari ini (24 Mac) di satu acara bagi menggalak kanak-kanak serta keluarga mereka mengamalkan tabiat mesra alam.
Skim Wajib Pelabelan Tenaga Kuasa kini meliputi alat penghawa dingin, peti sejuk, mesin pengering baju, televisyen serta lampu kegunaan am.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang meninjau untuk meluaskan lagi skop itu bagi merangkumi lebih banyak jenis lampu sebagai sebahagian daripada satu rundingan awam.
Dr Amy Khor berkata bahawa kini terdapat juga lebih banyak jenis peti sejuk yang cekap tenaga di pasaran sejak skim itu diperkenalkan pada 2008.
Beliau berkata bahawa model-model sedemikian membentuk sekitar tiga suku daripada penjualan dalam tahun 2016.
Dr Khor juga berkongsi perkembangan mengenai Geran Tindakan Iklim SG yang membantu syarikat-syarikat mengurangkan kos menganjurkan program-program menyokong Tahun Tindakan Iklim.
Beliau selanjutnya berkata bahawa pihak-pihak berminat boleh berdaftar kepada NEA mulai bulan depan sehingga hujung tahun ini.
Setiap kumpulan boleh menerima sehingga $5,000 bagi projek yang ingin dijalankan.
Dr Khor ditemui di acara 'Just One Earth' atau Karnival Joe Day di Hab Tampines Kita di mana pelbagai kegiatan diadakan untuk seisi keluarga mengamalkan tabiat mesra alam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.