Skip to main content

Singapura

Skim VTL - apa yang berlaku jika anda positif COVID-19 di luar negara?

Dengan peluasan skim Laluan Perjalanan bagi Penumpang yang Sudah Divaksin (VTL) ke lagi sembilan negara selain Jerman dan Brunei, rakyat Singapura kini boleh melakukan perjalanan ke negara-negara itu dan pulang tanpa dikenakan kuarantin.

Anggaran Waktu Membaca:
Skim VTL - apa yang berlaku jika anda positif COVID-19 di luar negara?

(Gambar: shawnanggg/ Unsplash)

Diterbitkan : 19 Oct 2021 07:48PM Dikemas Kini : 19 Oct 2021 07:54PM

SINGAPURA: Dengan peluasan skim Laluan Perjalanan bagi Penumpang yang Sudah Divaksin (VTL) ke lagi sembilan negara selain Jerman dan Brunei, rakyat Singapura kini boleh melakukan perjalanan ke negara-negara itu dan pulang tanpa dikenakan kuarantin.

Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, Britain dan Amerika Syarikat akan menjadi sebahagian daripada aturan itu mulai Selasa (19 Okt), manakala Korea Selatan pula bermula 15 November.

Namun apa yang akan berlaku jika anda jatuh sakit atau diuji positif COVID-19 semasa berada di luar negara?

Berikut ini langkah-langkah yang perlu diambil pelawat dari Singapura di negara-negara berikut sejajar dengan syarat dan peraturan kesihatan dan sempadan setiap destinasi.

UNITED KINGDOM

Menurut laman kerajaan Britain, pelawat dari Singapura yang lengkap divaksin perlu menempah dan membayar bagi ujian swab COVID-19, yang perlu dilakukan sebelum tamat hari kedua mereka di England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Mereka yang tiba mulai 24 Oktober boleh mendapatkan ujian mudah yang lebih murah dan bukan ujian Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR).

Mereka juga perlu mengisi borang pengesanan penumpang 48 jam sebelum tiba di Britain.

Menurut Gov.UK, langkah-langkah berikut perlu diambil sekiranya seseorang jatuh sakit atau diuji positif COVID-19:

- Duduk di rumah dan segera asingkan diri jika mengalami simptom

- Buat janji temu online bagi ujian swab COVID-19 atau hubungi 119

- Jika seseorang itu diuji positif, beliau mesti mengasingkan diri selama 10 hari

- Tempoh pengasingan bermula sebaik sahaja mengalami simptom atau dari masa menjalani ujian jika tidak bergejala

- Mereka boleh kembali ke rutin biasa dan berhenti mengasingkan diri selepas 10 hari jika sudah tidak bergejala atau jika mereka hanya mengalami batuk atau hilang deria bau

- Jika seseorang itu masih mengalami demam panas, terus asingkan diri dan dapatkan nasihat perubatan

- Kontak rapat bagaimanapun tidak perlu mengasingkan diri jika mereka sudah lengkap divaksin atau berusia bawah 18 tahun dan enam bulan jika belum divaksin.

Mediacorp sudah bertanya kepada Suruhanjaya Tinggi Britain di Singapura untuk mengesahkan sama ada protokol-protokol COVID-19 ini dikenakan ke atas pelawat sudah lengkap divaksin dari Singapura.

KOREA SELATAN

Menurut laman Kedutaan Republik Korea di Singapura, semua pelawat sudah lengkap divaksin perlu menyerahkan keputusan negatif ujian PCR yang dilakukan 72 jam sebelum berlepas.

Mereka juga perlu menjalani satu lagi ujian PCR sebaik tiba di Korea Selatan. Mereka yang akan berada di negara itu lebih lapan hari harus menjalani ujian PCR pada hari keenam atau ketujuh selepas ketibaan mereka.

Menurut laman Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan, langkah-langkah berikut perlu diambil sekiranya seseorang jatuh sakit disebabkan COVID-19:

- Segera asingkan diri dan hubungi Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea di talian 1339

- Terdapat pusat-pusat pemeriksaan yang didirikan di Korea Selatan di mana seseorang boleh menjalani ujian

- Pelawat yang diuji positif COVID-19 dipindahkan ke sebuah hospital atau pusat rawatan kejiranan bergantung kepada tahap teruk sakit yang dialami

- Bagi yang mengalami simptom, mereka hanya dibenarkan pulang jika tidak lagi mengalami demam tanpa memakan ubat dan keputusan dua ujian PCR yang dibuat selang 24 jam antara satu sama lain mesti negatif

- Bagi kes tidak bergejala, pesakit harus menjalani ujian PCR pada hari ketujuh. Jika keputusannya positif, mereka perlu menjalani satu lagi ujian PCR pada hari ke-14. Jika keputusan negatif, seorang doktor akan memutuskan tarikh untuk mereka menjalani dua ujian PCR selang 24 jam antara satu sama lain dan kuarantin hanya ditarik balik sekiranya kedua-dua ujian negatif.

- Pemerintah Korea Selatan akan menampung kos berkaitan ujian, penggunaan kemudahan pengasingan dan rawatan

- Kontak rapat orang yang dijangkiti juga perlu mengasingkan diri selama 14 hari dari hari terakhir mereka terdedah kepada pesakit

Mediacorp sudah bertanya kepada Kedutaan Korea Selatan di Singapura untuk mengesahkan sama ada protokol-protokol COVID-19 ini dikenakan ke atas pelawat sudah lengkap divaksin dari Singapura. Bagaimanapun wakilnya menyatakan perincian pentadbiran belum lagi dimuktamadkan.

PERANCIS

Menurut Kedutaan Perancis di Singapura, pelawat yang sudah lengkap divaksin di sini mesti menunjukkan bukti status vaksinasi serta akuan bersumpah bagi mengesahkan mereka tidak mengalami sebarang simptom COVID-19 atau ada kontak dengan individu yang positif COVID-19 sebelum bertolak.

Pelawat dari Singapura tidak perlu menjalani sebarang ujian swab sebaik tiba di Perancis.

Mereka juga boleh memperolehi Pas Kebersihan, menerusi aplikasi mudah alih pengesanan kontak Perancis yang dipanggil TousAntiCovid, yang diperlukan bagi penerbangan domestik atau perjalanan jarak jauh menaiki kereta api. Pas itu membolehkan mereka menukar sijil vaksinasi Singapura kepada Sijil Digital Vaksinasi Covid Kesatuan Eropah.

Jika tidak, pelawat boleh menjalani ujian PCR atau ART di sebuah farmasi, yang akan memberikan Pas Kebersihan yang sah digunakan selama 72 jam.

Versi fizikal sijil vaksinasi yang ditukar itu dan keputusan negatif ujian PCR yang dijalani di Perancis juga boleh digunakan.

Berikut langkah-langkah jika pelawat jatuh sakit atau diuji positif COVID-19 di Perancis:

- Pelancong harus mengasingkan diri di sebuah bilik hotel atau di mana mereka menginap jika mengalami simptom COVID-19 dan hubungi doktor tempatan menerusi panggilan telefon.

- Terdapat talian bantuan dengan harga standard yang boleh dihubungi, iaitu 09 72 72 99 09. Ia membantu pelawat mencari klinik berdekatan

- Seorang doktor akan menentukan simptom-simptom dan meminta pesakit yang disyaki positif COVID-19 supaya membuat janji temu bagi ujian COVID-19

- Pesakit itu kemudian akan menjalani ujian PCR dan ART COVID-19 di pusat-pusat ujian yang boleh dijumpai di kebanyakan bandar merata Perancis.

- Selepas itu, mereka perlu terus mengasingkan diri sehingga mendapat keputusan ujian

- Jika positif, mereka perlu mengasingkan diri selama 10 hari dari tarikh simptom pertama. Jika masih demam pada akhir tempoh 10 hari, mereka perlu terus mengasingkan diri selama lagi 48 jam

- Jika positif tanpa sebarang gejala, mereka perlu mengasingkan diri selama 10 hari dari tarikh mereka jalani ujian COVID-19

- Jika simptom memburuk, mereka boleh hubungi khidmat kecemasan 15 menggunakan talian Perancis atau 112 dari talian bukan Perancis

- Jika pelawat perlu melanjutkan tempoh penginapan disebabkan tempoh pengasingan diri selama 10 hari, ini perlu dibiayai sendiri

- Sebaik sahaja seseorang diuji positif, semua pelawat dalam kumpulan yang sama dianggap kes kontak dan perlu menghubungi pusat ujian untuk membuat janji temu bagi menjalani ujian swab, menurut Kedutaan Perancis di Singapura

- Jika keputusan ujian negatif, mereka tidak lagi perlu mengasingkan diri dan boleh meneruskan jadual lawatan mereka

ITALI

Menurut lembaga pelancongan Itali, para pelawat dari Singapura yang sudah lengkap divaksin perlu:

- Menunjukkan bukti vaksinasi

- Isi borang pengesanan penumpang

- Tunjukkan keputusan negatif ujian swab dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di Itali

- Kedutaan Itali di Singapura mengesahkan bahawa langkah-langkah berikut perlu diambil jika mereka jatuh sakit atau diuji positif COVID-19 semasa di Itali:

- Hubungi penguasa kesihatan daerah tempatan jika seseorang mengesyaki dijangkiti COVID-19.

- Pihak berkuasa akan membantu mengaturkan ujian kecemasan. Jangan datang ke pusat perubatan atau ke farmasi.

- Individu itu mesti mengasingkan diri selama 10 hari di tempat penginapan jika diuji positif COVID-19

- Individu itu tidak boleh mengalami sebarang simptom sekurang-kurangnya tiga hari sebelum menjalani ujian swab COVID-19

- Pelawat yang dijangkiti boleh mengasingkan diri di sebuah hotel jika pihak hotel bersetuju menempatkan mereka sepanjang tempoh kuarantin

- Jika pelawat tidak dapat mencari tempat penginapan yang sesuai, penguasa tempatan mungkin memerlukan mereka tinggal di kemudahan pilihan mereka - yang dipanggil 'hotel Covid' sepanjang tempoh pengasingan

- Ini perlu dibiayai sendiri oleh pelawat

- Jika pelawat yang dijangkiti memerlukan bantuan hospital, mereka perlu menanggung kosnya

- Kontak rapat kes positif COVID-19 tidak diperlukan menjalani kuarantin jika keputusan ujian swab COVID-19 mereka negatif

SEPANYOL

Menurut laman rasmi pelancongan Sepanyol, semua pelawat yang lengkap divaksin perlu mengisi borang kawalan kesihatan, yang akan menjana satu kod QR yang perlu ditunjukkan apabila menaiki pesawat dan sebaik tiba di Sepanyol.

Mereka yang tiba dari Singapura tidak perlu menjalani ujian swab semasa ketibaan di negara itu.

Berikut ini langkah-langkah yang perlu diambil jika mereka jatuh sakit atau positif COVID-19 semasa berada di Sepanyol:

- Asingkan diri di tempat penginapan dan elak daripada berjumpa dengan orang lain

- Hubungi penguasa kesihatan di daerah di mana pelawat menetap dan berdasarkan penilaian simptom, mereka akan ditetapkan sama ada pelawat berkenaan perlu menjalani ujian swab atau tidak

- Jika mengalami sakit teruk, hubungi talian 112

- Jika keputusan ujian positif, individu itu perlu menjalani kuarantin di tempat penginapan selama 10 hari dan menanggung kosnya sendiri

Kontak rapat kes positif perlu kuarantin diri mereka sendiri selama 10 hari, menurut Kedutaan Sepanyol di Singapura.

BAGAIMANA JIKA SUDAH SEMBUH TETAPI MASIH MEMBAWA VIRUS?

Pesakit COVID-19 masih boleh diuji positif meskipun mereka sudah sembuh memandangkan ujian-ujian mungkin mengesan fragmen-fragmen koronavirus walaupun ia tidak lagi berjangkit.

Memandangkan Perancis dan Sepanyiol tidak memerlukan keputusan negatif ujian swab COVID-19 sebagai syarat masuk ke negara-negara itu, penduduk Singapura yang sudah sembuh daripada virus tu masih boleh memasuki negara-negara tersebut.

Kedutaan-kedutaan lain yang memerlukan keputusan negatif sebelum berlepas atau sebaik ketibaan masih belum memberikan repons sama ada memo pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura akan diiktiraf untuk membolehkan pelawat masuk, jika keputusan ujian pelawat tersebut positif.

Bagi Amerika Syarikat, semua pelawat diperlukan untuk menunjukkan keputusan negatif ujian COVID-19, tidak kira status vaksinasi atau antibodi, 72 jam sebelum berlepas.

Itu menurut seorang wakil daripada Brand USA, iaitu sebuah agensi awam dan swasta yang menggalak lawatan ke Amerika Syarikat.

Ujian itu sama ada PCR atau ujian mudah ART.

Ini bermakna seorang penduduk Singapura yang sudah sembuh daripada COVID-19 tidak dibenarkan memasuki Amerika Syarikat jika keputusan ujiannya positif meskipun mendapat memo pelepasan MOH.

Pertanyaan mengenai protokol COVID-19 Amerika Syarikat belum lagi dijawab.

Pelawat dari Singapura perlu sentiasa memeriksa dengan agensi pelancongan mereka atau kedutaan negara yang ingin dikunjungi untuk mendapatkan kemas kini maklumat perjalanan. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita