Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim sokongan semasa soal siasat polis bakal liputi suspek muda 16 & 17 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu skim sokongan bagi suspek muda semasa disoal siasat agensi penguatkuasaan undang-undang akan diperluaskan untuk meliputi remaja yang berusia 16 dan 17 tahun.

Ia akan dinaikkan secara bertahap-tahap dari April 2023, umum Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling di Parlimen.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyasarkan peluasan skim tersebut selesai menjelang Oktober tahun depan.

"Ini hanya boleh dilakukan apabila jumlah relawan AA bertambah," kata Cik Sun, merujuk kepada relawan dari Skim Orang Dewasa yang Wajar bagi Suspek-Suspek Muda (AAYS).

Di bawah AAYS, orang dewasa yang wajar - seorang relawan yang bebas dan terlatih - diaktifkan bagi semua suspek berusia bawah 16 tahun semasa proses soal siasat polis.

MHA menyatakan tahun lalu bahawa ia sedang menyemak semula skim itu untuk menilai sama ada ia boleh diperluaskan kepada suspek yang berusia 16 dan 17 tahun. Ini ekoran kes Justin Lee, seorang suspek dadah berusia 17 tahun, yang mati setelah terjatuh dari tempat tinggi, beberapa bulan selepas dia ditangkap.

Justin ditangkap pada Februari 2021 dan didakwa atas kesalahan mengedar dadah pada Jun, sebelum dia dibebaskan dengan ikat jamin. Dia meninggal dunia pada 16 September.

Biro Narkotik Pusat (CNB) melancarkan siasatan tentang bagaimana Justin dilayan dan disoal siasat selepas ibunya mendakwa dia diperlakukan dengan dengan kasar semasa proses itu.

Meskipun agensi itu merumuskan bahawa Justin dilayan "secara profesional" dan "adil" semasa disoal siasat, dan dia "tidak diperlakukan dengan kasar" apabila dimasukkan ke dalam lokap, kes itu menimbulkan persoalan daripada para Anggota Parlimen (AP) ketika itu tentang protokol agensi penguatkuasaan undang-undang ketika berurusan dengan suspek muda.
Pada Selasa, Cik Sun menjawab soalan yang diajukan AP Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) yang meminta perkembangan proses semakan ke atas AAYS dan sama ada terdapat perlindungan yang mencukupi apabila polis menyoal siasat suspek muda.

"Kita sedia maklum suspek muda mungkin memerlukan lebih banyak sokongan semasa disoal siasat," kata Cik Sun.

“Lantas, seberapa boleh, polis akan menyoal siasat suspek muda di balai polis, jauh dari tempat sekolah atau tempat kerja mereka," tambah beliau.

“Sekiranya soal siasat perlu dilakukan di sekolah atau tempat kerja, polis akan memastikan pihaknya tidak menarik perhatian yang tidak perlu atau mencetuskan rasa malu kepada suspek muda berkenaan. Misalnya, polis mungkin akan tampil dalam pakaian biasa dan menggunakan kenderaan yang tidak bertanda."

Cik Sun menambah polis akan memaklumkan kepada ibu bapa tentang penangkapan dan siasatan yang dijalankan ke atas suspek muda "secepat mungkin" melainkan tindakn tersebut boleh menjejas siasatan."
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan